QW 02

262 28 0
                                    

PINTU shoji café digeser ke tepi lalu Ayra menapak masuk ke dalam. Jarum jam baru saja menuding angka tujuh, tapi dia dah terpacak di sini. Tekad semalam nak bersarapan di café tapi tak kesampaian, jadi dia bawa ke hari ini.

Sementara menunggu waktu operasi café bermula, Ayra mula mengemas apa yang patut. Lengan kemejanya disinsing hingga ke siku. Sebelum itu, latar bunyi alunan kicauan burung dan sungai mengalir dipasang menerusi speaker. Baru bersemangat nak buat kerja.

Bahagian dapur yang dah sedia bersih turut dikemas. Clean freak. Mata dia bukan boleh tengok benda kotor sikit. Baru bulan lepas dia upah orang deep clean satu café. Itupun dia sendiri turun padang untuk menilai.

Sempat lagi Ayra membancuh matcha latte sambil menunggu sandwich tuna mayonya dipanaskan dalam microwave. Tak sempat Ayra ambil sarapan dekat rumah semata-mata nak lari dari ibu. Tadi dia singgah 7E aje sebelum ke sini.

Hampir dua jam Ayra melayan damai sendiri, pintu shoji utama yang terluncur ke tepi menggamit tumpuannya. Laptop yang masih terpapar manuskrip Canvas ditutup. Sofea muncul di balik dinding pintu dengan wajah terkejut melihat dia.

"Awal kau hari ni?" Sofea menapak dekat.

"Dari semalam gian nak breakfast sini." Pendek Ayra menjawab.

"Tulah. Tak pernah pernah business partner aku ni datang awal. Tak aku, Azar yang buka café. Nak tunggu kau. Huh, lambeeert lagi." Sofea terus mencapai mug matcha latte punya Ayra dan selamat teh hijau berasap tu dihirup seteguk dua.

Ayra buat muka. Tak sailang air orang tak sah minah ni.

"Fuh." Tergeleng kepala Sofea sambil menjilat hujung bibir. Muka Ayra yang dah meringis itu dipandang.

"Bukan Yuki Ayra la kalau air dia buat tak power. Buatkan untuk aku sekali." Sofea tayang sengih tak bersalah.

"Buat la sendiri. Aku nak sambung menulis."

"Yang dah dua bulan tak bergerak tu?"

Suara penuh sinis Sofea memang meminta kena jeling. Terus mencicit gadis itu ke dapur dengan gelak tawanya bila Ayra hantar lirikan tajam.

Ayra berdecit. Tumpuannya kembali terhala pada layar laptop. Microsoft word itu ditatap dengan jiwa yang dah kosong. Sejak belakangan ini Ayra rasa penulisannya makin lama makin hambar. Tak beremosi dan berjiwa.

Sama macam hidup dia sekarang.

"Stuck ke?" Sofea muncul duduk di depan Ayra bersama semangkuk udon. Pagi pagi lagi dah telan makanan berat.

"Entahlah. Tak tahu nak buat closure dia macam mana." Dah lebih seminggu Ayra cuba gali idea dalam kepala tapi tiada satu pun yang boleh memberi dia rasa puas andai adegan itu ditulis.

Senyap dua saat. Ayra pandang Sofea yang tiba-tiba diam.

"Apa?"

"Closure hidup sendiri pun tak selesai lagi, inikan nak selesai yang fiksyen punya."

"Sof, seriously?" Nada Ayra kedengaran tak percaya. Sofea memang sengaja nak rosakkan mood pagi dia atau, dia yang terlebih emosi?

"Okey okey sorry. Gurau jelah. Janganlah serius sangat."

Ayra mencebik. Bukannya marah sangat pun sebab apa yang Sofea katakan itu, dia sendiri tak boleh nak tepis kebenarannya.

"Ayra."

"Kenapa?" Ayra kerut dahi.

"Kalau aku tanya ni, kau jujur eh?"

"Apa dia?"

QARIZH WILDAN ©Where stories live. Discover now