Petang itu Johan terlihat Syiha menantinya di lobi. Sempat dia memandang sekeliling sebelum mendekati Syiha.
"Abang hantar balik," ucap Johan sebelum terus berlalu ke keretanya.
Bukan main riang lagi gadis itu sambil mengekori Johan. Kembang setaman hidungnya saat membuka pintu sebelah pemandu. Sempat berharap semua orang melihat dirinya mendapat tempat istimewa dalam hidup lelaki itu; mungkin bakal menduduki kerusi kereta itu secara tetap tidak lama lagi.
Namun Johan tidak terus menggerakkan kereta pergi. Hairan Syiha dengan gelagat kekasihnya. Macam sedang kusut.
"Ada apa, abang?"
"Abang ada sesuatu nak katakan," ujar Johan perlahan. Sudah beberapa hari dia bertangguh. Dia sudah tidak sanggup untuk mengelak lagi.
"Apa?" balas Syiha ceria. Besar harapannya untuk mendengar berita baik hari ini.
"Abang dah tak boleh dekat dengan Syiha lagi. Abang harap Syiha faham keadaan abang sekarang," jelas Johan perlahan.
Terbeliak mata Syiha memandang Johan. Harapan tadi bak kaca terhempas ke batu. Tidak sangka dalam sekelip mata Johan berubah pendiriannya. Ini tidak ada lain, tentu Johan sudah mula tergila-gilakan isterinya semula!
"Abang, sampai hati abang buat Syiha macam ni," keluh Syiha dengan mata yang mula berkaca. "Abang tahu kan, yang Syiha betul-betul cintakan abang? Syiha tak boleh hidup tanpa abang!"
"Abang tahu, tapi abang terpaksa buat keputusan macam ni, Syiha. Abang dah janji dengan isteri abang yang abang takkan teruskan hubungan ni lagi," balas Johan pasrah.
"Jadi abang buat keputusan sebab dia yang paksa abang? Perasaan abang pada Syiha macam mana? Patutlah sekarang abang asyik mengelak daripada Syiha," rintih Syiha kesayuan.
Johan terdiam dalam pada dia menghela keluhan sendirian. Memang dia sudah banyak berjanji kepada Syiha. Tetapi dia tidak berdaya. Salah seorang antara dua wanita ini harus dilepaskan. Dan dia tidak sanggup melepaskan isterinya.
"Abang, Syiha akan bunuh diri kalau abang tinggalkan Syiha!" ugut Syiha nekad.
"Syiha, jangan sampai macam tu. Berdosa buat macam tu."
"Habis tu, abang main-mainkan perasaan Syiha, tak berdosa? Abang tahu tak selama ni Syiha yakin dengan cinta abang. Tapi rupa-rupanya tak! Abang ni lemah. Abang tiada pendirian! Baru macam ni abang dah mengalah. Kerana dia, abang sanggup lukakan hati Syiha. Hidup Syiha dah tiada maknanya lagi kalau abang dah tiada lagi dengan Syiha," tegas Syiha bersungguh-sungguh.
"Tapi abang terpaksa, Syiha. Bukan abang sengaja nak lukakan hati Syiha. Tapi hati isteri abang pun penting juga. Dia tak boleh terima semua ni," balas Johan mulai resah dengan penerimaan Syiha.
"Habis tu, Syiha ni macam mana? Abang ingat Syiha boleh terima ni semua dengan mudah? Abang ingat mudah Syiha nak lupakan abang? Syiha tak boleh, bang. Syiha betul-betul sayangkan abang," balas Syiha dan tanpa segan-silu tangan Johan dicapainya.
Johan menghela keluhan lagi. Serba salah dia dengan rayuan Syiha. Kini Johan mula tersepit oleh rasa tidak sampai hati. Hakikatnya Syiha juga disayanginya. Perlahan dia menarik semula tangannya daripada genggaman gadis itu. Biar gadis itu mengerti ada pengorbanan yang harus dilakukan. Dan dia tidak main-main saat ini.
"Syiha sanggup jumpa isteri abang kalau itu yang abang mahu."
"Jangan, Syiha! Jangan sesekali Syiha buat macam tu. Abang tak suka! Hal abang dengan isteri abang, biar abang yang uruskan!" tegah Johan serius. Dia tidak suka Syiha masuk campur urusannya dengan Lyn.
"Habis tu macam mana? Takkan abang nak putuskan hubungan kita?" Syiha terus menangis.
Johan hanya diam tidak tahu harus berkata apa lagi untuk memujuk. Dia tahu Syiha memerlukan masa untuk menerima hakikat ini. Begitu juga dengan dirinya.
YOU ARE READING
Dicurangi Lagi
General FictionCurang? Perkataan itu pantang bagi semua isteri atas dunia ini. Begitu juga dengan Azlyn. Ketika di kemuncak bahagia, dia diuji dengan kecurangan suaminya Johan. Johan telah membuat hubungan dengan gadis muda di pejabatnya. Sebagai perempuan, sudah...