BAB 3

1 1 0
                                    

Aku mengawasi Ams1 ketika dia perlahan bangkit dari pembaringannya, lalu bersandar di pinggir meja. Wajahnya yang masih menampakkan senyuman tipis menambah misteri yang sedang bermain di kepalaku. Apa yang sebenarnya dia maksudkan dengan "proses sebelum itu"? Jantungku berdegup lebih laju, mungkin kerana rasa ingin tahu yang semakin membesar.

Ams1 memandangku seolah dia tahu apa yang sedang bermain dalam fikiranku. Dia mengangkat alisnya sedikit, sebelum akhirnya berkata, "Satu hari nanti kau akan tahu. Tapi bukan sekarang. Kau harus bersedia."

Aku terdiam, tidak pasti bagaimana harus menjawab. Aku cuba menenangkan fikiran dan kembali fokus kepada tugasku. Tidak lama kemudian, loceng interkom berbunyi, tanda bahawa waktuku dengan Ams1 hampir tamat.

"Aku akan hantar sampel darah ini ke makmal," kataku, sambil berusaha mengubah topik. Aku berharap dapat menjauh dari perbualan yang semakin mendalam ini. Namun, Ams1 tidak membalas. Dia hanya menatapku dengan mata yang penuh rahsia, membuatkan aku berasa semakin cemas.

Aku melangkah ke arah pintu, membawa picagari berisi sampel darah Ams1 dengan berhati-hati. Setiap langkahku terasa berat, seolah ada beban yang tak terlihat menggantung di atas bahuku. Sejak awal eksperimen ini, aku sudah menjangkakan adanya risiko, tetapi tidak pernah terfikir bahawa risiko itu mungkin melibatkan aspek yang lebih peribadi, atau lebih tepat, sesuatu yang belum aku fahami sepenuhnya.

Ketika aku hampir sampai di pintu, suara Ams1 kembali memecah kesunyian. "Kau tahu... penyelidikan ini bukan hanya soal apa yang kau dapat dari tubuhku. Ia juga tentang apa yang kau sanggup berikan."

Aku berhenti sejenak, memandangnya. "Apa maksudmu?" tanyaku, suara sedikit bergetar.

Ams1 tersenyum lagi, kali ini lebih lebar. "Kau akan tahu. Setiap keputusan ada harga yang harus dibayar."

Aku menelan air liur dan melangkah keluar dari bilik, tetapi kata-katanya terus berputar di dalam fikiranku. Apa maksud "harga" yang dia maksudkan? Dan apa pula yang perlu aku berikan dalam eksperimen ini?

Dalam diam, aku terfikir apakah penyelidikan ini bakal membawa lebih banyak persoalan daripada jawapan. Sesuatu tentang Ams1 membuatkan aku rasa tidak tenang. Tapi penyelidikan ini sangat penting, bukan hanya untukku, tetapi untuk seluruh pasukan. Aku harus teruskan walau apa pun risikonya.

.......…...

Penyelidikanku berjalan dengan lancar setakat ini, dan Meena turut terlibat dalam eksperimen tersebut. Aku baru sahaja mentafsirkan beberapa data penting yang diterima dari rakan sekerja lain. Waktu rehat tiba, namun aku masih menggunakan masa ini untuk meneliti hasil eksperimen.

"Tidak habis lagi?" Meena menyapaku dari belakang, sambil tersenyum. Dia dan Boonsri, rakan setugasku, sudah selesai makan di kantin. Meena meletakkan beberapa makanan di mejaku. "Jangan lupa makan, ya," katanya ceria sebelum melangkah ke meja kerjanya sendiri.

Aku tersenyum dan mengangguk. "Terima kasih, Meena." Kemudian aku menutup skrin data di hadapanku dan mencapai roti kegemaranku. Meena tersenyum lagi, puas melihat aku akhirnya berehat. Sementara itu, Boonsri yang lebih pendiam menghampiri rak spesimen dan mula bekerja dalam senyap, seperti biasa.

Aku memandang Boonsri dari jauh. Dia bukan sombong, tapi lebih kepada sifat pemalunya yang selalu membuatkan dia kelihatan seperti menyendiri. Dalam kehidupan sebelumnya, Boonsri telah mati di tangan Atm4 yang hilang kendali, suatu peristiwa yang masih menghantui fikiranku hingga kini. Wajahku berubah muram ketika kenangan itu kembali.

Meena, yang perasan perubahan di wajahku, memandang dengan risau. "Aira, kenapa ni? Tak sedap ke makanannya?" dia bertanya, cuba memancing reaksi. Aku tersentak dari lamunan.

THE DARK STORY OF THE GREATEST SCIENTISTSWhere stories live. Discover now