BAB 1

5 1 0
                                    

Langit di atas planet Zem X kelihatan kelam, seakan mencerminkan kekeliruan yang memenuhi fikiranku. Ada banyak misteri di dunia ini yang belum dapat aku rungkaikan, meskipun aku telah lama mencuba. Hari ini, adalah tahun 0032 di planet ini-delapan tahun sejak aku tiba dengan satu misi penting yang harus aku laksanakan. Namun, ada satu misteri yang paling sukar untukku fahami, sesuatu yang tak pernah aku jangkakan, walaupun sudah berulang kali aku menyelidikinya.

Tahun 0024 adalah detik pertama kakiku menjejak tanah Zem X. Pada mulanya, segalanya terasa tenang. Tugasku sebagai saintis dalam bidang sumber manusia adalah untuk mengkaji kehidupan di planet ini. Kehidupan mereka, biologi mereka, segala-galanya. Tetapi ada satu perkara yang tidak pernah aku sangka akan terjadi. Aku menghembus nafas berat. Pada tahun 0042, aku akan mati. Tidak, aku 'telah' mati. Dan kini, aku berada sepuluh tahun sebelum itu, kembali ke masa lalu, seakan ditarik ke dalam teka-teki yang lebih besar daripada apa yang mampu aku bayangkan.

Aku ingat saat-saat terakhirku dengan jelas. Hukuman gantung di hadapan penduduk Zem X. Suara mereka, wajah mereka, semua itu masih segar dalam ingatanku. Namun, persoalan besar kini menghantui fikiran-adakah aku akan melalui kematian itu sekali lagi? Atau ada jalan untuk mengubah takdirku?

Sedang aku tenggelam dalam pemikiran yang mengganggu, sebuah suara lembut menyapa dari belakang. Aku berpaling dan melihat Ams1-makhluk asal planet ini. Dia telah menjadi teman rapatku di sini. Tubuhnya jauh lebih sasa daripada manusia, dengan ketinggian sekitar 2.10 meter. Warna kulitnya berubah-ubah mengikut suasana sekeliling, sesuatu yang sentiasa mengagumkan aku. Bagiku, Ams1 adalah makhluk yang unik dan anehnya... cantik.

"Kenapa Cik Aira nampak gelisah?" tanya Ams1, suaranya rendah tetapi penuh perhatian.

Aku tersentak dari lamunan. "Aku risau," jawabku perlahan, memberikan senyuman hambar.

Ams1 melangkah lebih dekat, tangannya yang besar dan kuat menyentuh bahuku dengan lembut. "Apa kau takut kalau kau tidak dapat kembali ke Bumi?" soalnya, matanya yang tajam memerhatiku dengan penuh tumpuan.

Aku menggeleng, "Bukan itu yang aku risaukan. Aku takut apa yang akan berlaku padaku sebelum aku sempat kembali ke Bumi."

Dahinya berkerut, jelas tidak memahami sepenuhnya apa yang aku maksudkan. "Kenapa?" soalnya lagi, kali ini menggenggam tanganku erat, seolah-olah cuba menyalurkan rasa tenangnya kepadaku. "Beritahu aku, Aira."

Aku ketawa kecil, cuba meredakan suasana. "Apa kau mahu jadi tikus makmalku?" Aku bergurau, cuba melupakan kekalutan di kepalaku.

Namun, reaksinya mengejutkan aku. Dia tersenyum tipis, tapi serius. "Oh, aku dengan hati yang rela," balasnya. Gurauan itu nampaknya telah disalah tafsir.

Aku berhenti ketawa, memandangnya dengan rasa tidak percaya. "Apa kau serius?"

Dia mengangguk tanpa ragu. "Kau yang menawarkannya. Kau tak boleh berpatah balik sekarang."

Aku terdiam. Bagaimana mungkin aku menggunakan Ams1 sebagai subjek eksperimen? "Aku hanya bergurau..." bantahku, suara bergetar dengan kekesalan.

Genggamannya semakin erat, tetapi bukan dalam cara yang menakutkan-lebih seperti dia cuba meyakinkan aku. "Kau tak boleh bergurau tentang perkara sebegini. Aku telah membuat keputusan untuk menolongmu. Seharusnya kau berasa gembira."

"Hah?"

Tiba-tiba, dia menunduk dan mencium tanganku dengan penuh hormat. Aku cuba menarik tanganku, tetapi tenaganya jauh mengatasi kekuatanku. Aku tidak mampu melepaskan diri.

"Aku betul-betul bergurau," ulangku, sedikit tergamam dengan tindakannya.

Namun, dia hanya tersenyum lagi. "Mulai hari ini, aku adalah tikus makmalku," katanya dengan nada tegas, langsung mengabaikan bantahanku.

THE DARK STORY OF THE GREATEST SCIENTISTSWhere stories live. Discover now