Malam itu, aku bersiap dengan penuh keterujaan. Tanganku menggenggam surat tawaran dari salah satu universiti fesyen terbaik di Itali. Sudah lama aku impikan saat ini, dan orang pertama yang aku mahu kongsikan berita ini ialah dia.
Dello.
Aku melangkah dengan yakin menuju ke tempat biasa kami bertemu. Fikiran aku penuh dengan gambaran reaksinya—mungkin dia akan tersenyum bangga, mungkin dia akan memeluk aku dan berkata betapa dia tahu aku mampu mencapainya. Tapi semua itu hancur sebaik aku tiba di situ.
Dello berdiri di hadapan seorang perempuan. Bukan sekadar berdiri, mereka terlalu rapat. Perempuan itu tersenyum lembut padanya, tangan mereka hampir bersentuhan. Mata Dello tidak seperti biasa. Dia kelihatan tenang, tapi di sudut hati aku, sesuatu merasakan ada lebih daripada sekadar perbualan biasa.
Darah aku berderau. Aku menelan air liur, cuba berfikir secara rasional, tapi hatiku sudah mendahului logik. Aku menggenggam surat tawaran itu lebih kuat sebelum berpaling. Langkahku laju, hampir berlari. Aku perlu jauh dari sini. Aku tak mahu dengar penjelasannya. Aku tak mahu melihat lebih banyak daripada apa yang sudah terpapar di depan mata.
Hujan mula turun renyai-renyai, tetapi aku tak peduli. Aku hanya mahu pergi sejauh mungkin. Nafasku tersekat-sekat. Segala memori, segala janji, terasa seperti omong kosong. Aku perlu keluar dari sini, dari hidupnya.
Sinar lampu jalan semakin kabur. Bunyi hon bertalu-talu. Satu saat dunia berpusing... dan semuanya menjadi hitam.
---
Aku terjaga dengan rasa pening yang menusuk. Bau antiseptik menusuk hidung. Bilik serba putih menyambut pandanganku yang kabur. Kepala aku terasa berat, seperti baru sahaja dibawa keluar dari mimpi yang panjang dan penuh kekeliruan.
“Rea?” Suara itu familiar.
Aku memalingkan kepala perlahan-lahan. Seorang lelaki berdiri di sisi katil. Wajahnya penuh dengan kebimbangan, tetapi aku kenal dia. Irfan. Adik aku.
Aku cuba bercakap, tetapi tekak aku terasa perit. Aku menelan liur, cuba mencari kekuatan untuk bersuara. “Irfan...?”
Matanya berkaca. Dia mengangguk pantas. “Ya, aku. Kau okay? Kau ingat aku?”
Aku mengangguk lemah. “Kau adik aku.”
Irfan mengeluh lega, tetapi dalam matanya masih ada kebimbangan yang sukar disembunyikan. “Kau ingat yang lain?”
Aku cuba mengingat. Nama-nama berterabur di dalam kepala aku seperti puzzle yang kehilangan kepingan penting. Aku cuba mengingati sesuatu, seseorang. Tapi semakin aku cuba, semakin kepala aku berdenyut.
“Aku... aku tak pasti.” Aku menggenggam selimut, nafas semakin berat. “Ada sesuatu yang hilang.”
Irfan berpaling ke arah sekumpulan manusia di hujung katil. Wajah mereka samar-samar dalam ingatan aku, tetapi ada sesuatu tentang mereka yang terasa... dekat.
Mereka semua berdiri di situ, melihat aku dengan ekspresi bercampur baur. Aku dapat rasa mereka penting dalam hidup aku, tapi sejauh mana, aku tak pasti.
“Rea... kau ingat kami?” Seorang wanita yang agak tinggi dengan sepasang mata berwarna coklat terang bersuara perlahan. Wanita itu memakai seragam formal peguam dengan mukanya yang agak lelah. Mungkin terkejar-kejar ke sini dari tempat kerja untuk melawat aku. Tiada tanda nama.
Aku cuba, benar-benar cuba, tetapi ia seperti bayang-bayang di dalam kabus. Aku hanya mampu menggeleng.
Kecewa jelas terpancar di wajah mereka, tetapi mereka cuba tersenyum. Aku dapat rasa kasih sayang mereka, walaupun memori aku tentang mereka masih kabur.
Tapi ada satu soalan yang berlegar dalam kepala aku, sesuatu yang terasa seperti kekosongan yang paling besar.
“Siapa... siapa yang aku terlupa?”
Mereka semua terdiam. Seperti ada sesuatu yang mereka tak sanggup katakan.
Aku menekan pelipis, cuba mengingat sesuatu yang terasa penting. Sesuatu yang sepatutnya aku tahu. Tapi ingatan aku seperti dinding kosong, tanpa sebarang jawapan.
Dan di tengah-tengah kekosongan itu, ada satu nama yang bermain di hujung lidah aku.
Tapi aku tak dapat mengucapkannya.

YOU ARE READING
HATINYA UNTUKKU | SLOW UPDATE
RomanceNama aku, Mazreah Elizabeth, seorang pelajar perniagaan yang menyambung pengajian di sebuah universiti di Itali, tidak menyangka bahawa pertemuan tak sengaja dengan seorang lelaki di sana akan mengubah hidupnya. Semuanya bermula dengan satu kejadian...