Prolog

7 1 0
                                    

Ian berlari sekuat hatinya menuju ke arah yang dia sendiri pun tidak pasti hala tujunya. Nafasnya tercungap-cungap, raut wajahnya kelihatan cemas bagaikan dikejar zombi.

Ian sempat berhenti dan menoleh ke sekelilingnya. Apa yang remaja lelaki itu nampak hanyalah suasana kota Cybercity yang tenggelam dalam kegelapan malam. Seolah-olah bekalan elektrik terputus, tiada satu pun cahaya lampu yang menerangi bandar itu - hatta cahaya tiang lampu jalan sekalipun.

'Dia dah tak kejar aku ke?' Monolognya sendirian. Ian menoleh ke belakangnya dan membetulkan cermin mata bulatnya, cuba memastikan 'entiti misteri' yang mengejarnya tadi sudah hilang dari kawasan tersebut.

Tatkala Ian menoleh kembali ke hadapan, dia terperanjat apabila dia melihat sesosok lelaki bersut mekanik dan bersayap besi, sedang terbang di hadapannya! Wajah lelaki itu agak samar-samar, namun Ian dapat merasakan yang lelaki itulah yang mengejarnya sebentar tadi.

"Kau... Kau sebenarnya siapa? Ke... Kenapa kau kejar aku?!" Ian cuba memberanikan diri untuk berhadapan dengan lelaki misteri itu.

Lelaki itu menyeringai senyuman yang cukup sinis. Perlahan-lahan, dia terbang dekat ke arah Ian. Semakin lelaki itu menghampiri, Ian dapat merasakan aura kuasa api yang semakin membahang dari lelaki itu. Sehinggakan Ian mula merasa berpeluh dan panas, meskipun suasana malam di kota Cybercity itu agak dingin.

"Aku adalah kau." Bisik lelaki itu perlahan. Anak matanya yang merah menyala itu memandang tajam ke arah Ian yang ketakutan di hadapannya.

Belum sempat Ian mahu berkata apa-apa lagi, tiba-tiba lelaki bersayap itu merasuki badan Ian. Ian mengerang kesakitan, seolah-olah ada api yang menyambar seluruh tubuh badannya.

Rasa sakit yang menyengat mengalir di seluruh tubuhnya, membuatnya menggigil. Ian menggenggam perutnya, merasakan panasnya api yang melingkari jiwanya. Sayap merah besar tiba-tiba bertumbuh secara misteri, membuatkan darah keluar membuak-buak dari belakang badannya. Ian juga dapat merasakan rambutnya mula tumbuh panjang dan otot-otot badannya menjadi semakin besar.

Perubahan pelik yang berlaku secara pantas itu membuatkan Ian mengerang, menggigit bibirnya bagi menahan kesakitan. Dia sempat melihat rupa parasnya melalui pantulan lopak air di atas jalan utama kota Cybercity.

Alangkah terkejutnya Ian apabila dia melihat dirinya yang berubah 360 darjah. Dia bukan lagi remaja lelaki yang berpenampilan nerd, tetapi kini dia sudah berubah menjadi seorang lelaki dewasa separuh garuda api yang berbadan tegap.

"Tidak, ini bukan diri aku yang sebenarnya! Aku manusia, bukan Hybrid! TIDAAAAAAKKKKK!!!!!!" Jerit Ian, di tengah kegelapan malam kota Cybercity.

Agents Of Étoile #1: Kebangkitan HeroWhere stories live. Discover now