🏀🧪 BAB 37

4K 190 13
                                    

SEBULAN sudah berlalu, hubungan Davira dan Ryaz masih lagi tidak seperti dulu. Masing-masing menyepi, membawa diri. Namun, di sebalik keheningan hubungan itu, Davira semakin mesra dengan Aryan. Seolah-olah ada magnet yang mengikat, di mana ada Davira, pasti Aryan setia di sisinya.

Keakraban mereka mula menarik perhatian orang sekeliling. Desas-desus mulai tersebar, mereka dikatakan bercinta. Aryan hanya tersenyum setiap kali mendengar cerita itu, membiarkan orang terus berteka-teki. Tapi tidak Davira. Dia lebih memilih untuk tidak memberi sebarang komen, hanya diam mendengar.

"Kita nak pergi mana lepas ni, Vira?" Aryan bertanya sambil mengiringi langkah Davira yang pantas, seolah-olah mengejar sesuatu yang tidak dapat dikejar.

"Tak tahu lah. Rasa macam semua barang dah beli. Kita pergi beli donut nak? Lepas tu kita makan kat taman kolej je nanti." Davira bersuara, matanya sesekali melirik ke arah Aryan.

Aryan tersenyum, seperti biasa. "Boleh juga. Jom!"

Davira menghela nafas pendek, lega kerana Aryan sentiasa bersedia mengikut rentaknya tanpa banyak soal.

"Awak nak yang mana, Aryan?" soal Davira.

Matanya ralit memerhati barisan donut berwarna-warni yang tersusun rapi di hadapannya. Ada yang berkilat dengan lapisan gula, ada pula yang dihiasi dengan pelbagai topping yang menggoda selera.

Aryan yang lebih asyik melihat Davira daripada donut, ketawa kecil. "Mana-mana je. Saya makan semua. Tolak batu, kertas, gunting je," jawabnya selamba, bibirnya melukis senyuman nakal.

Davira menjeling tajam. "Orang tanya betul-betul, dia main-main pula," suara geramnya terkeluar, tapi Aryan hanya tersengih tanpa rasa bersalah.

"Lah, betul lah saya cakap. Awak pilih je, semua saya makan." Aryan mengulang jawapan yang sama, langsung tidak terkesan dengan jelingan Davira.

Davira mengeluh pendek. "Yelah, kalau tak makan nanti, saya sumbat semua donut ni dalam mulut awak," ugut Davira.

Aryan ketawa lagi, menikmati setiap detik kecil yang dikongsi mereka berdua. Bagi Aryan, masa bersama Davira terasa ringan dan bebas. Tiada paksaan, hanya kebahagiaan sederhana yang dia tak mahu lepaskan.

Davira mengalihkan pandangan semula ke arah deretan donut. Mata bulatnya meneliti satu persatu. Donut coklat gelap, satu dengan inti strawberi dan satu lagi dengan salutan gula perang.

Tangan kecilnya lincah memilih tiga jenis donut, lalu dia menyerahkan kepada pekerja kedai dengan senyuman manis. "Tiga ni ya."

Selesai membayar, Davira memegang plastik berisi donut dengan hati puas. "Done. Jom, pergi taman kay kolej!" ujar Davira sambil tersenyum lebar, melangkah keluar dari kedai.

Aryan mengikut di sebelahnya, sentiasa bersedia untuk apa saja yang akan datang, selagi dia berada di sisi Davira.

Ryaz yang kebetulan berada di tempat yang sama memandang Davira dari jauh, hatinya sakit setiap kali melihat gadis itu tersenyum bila bersama Aryan.

Pelbagai cara sudah dia cuba untuk memujuknya, namun semua usahanya sia-sia. Bunga yang sudah dibeli dan dihadiahkan kepada Davira tidak memberi makna, tiada balasan yang diterima. Mesej-mesejnya tenggelam dalam kesunyian, panggilan yang dialihkan tanpa dijawab. Dia sudah kehabisan idea untuk memujuk hati gadis itu.

Pertama kali dalam hidupnya, dia tidak berjaya untuk memujuk gadis kecil itu. Keluhan perlahan terbit di mulutnya. Ryaz berfikir tentang semua kenangan manis yang pernah mereka kongsikan, kenangan yang kini terasa semakin menjauh. Dia tak mahu hubungan mereka terus dingin seperti salji di puncak gunung.

Amor Mio ©️Where stories live. Discover now