Aku cuma seorang pemuda malas yang sering tercicir serba serbi di dalam kehidupan. Namun nasib aku baik, aku sering dikurnia dengan pelbagai peluang dan ruang hanya untuk memastikan nasib aku tidak berakhir sebagai seorang pemalas yang tidak berjasa kepada agama, bangsa dan negaranya. Dari saat aku dilahirkan, mencurah-curah bantuan yang dihulurkan. Ayah tidak perlu mengeluarkan biaya yang mahal saat aku hendak dilahirkan kerana ayah seorang kakitangan kerajaan. Dia menghantar ibu ke hospital yang segala perbelanjaannya ditanggung oleh kerajaan. Mulai dari detik itu, aku tidak henti-henti menerima bantuan dan pertolongan, tidak putus-putus, menjangkau ke hari ini.
☁☁☁☁☁☁☁
Hari ini adalah hari minggu yang luar biasa di dalam hidupku. Sebentar sahaja lagi, nama aku akan bergema di dalam dewan serba gah yang terletak di atas bukit ini, tempat berkumpulnya para cendekiawan daj ilmuwan yang rata-ratanya adalah bumiputera, pemilik asal tanah bertuah ini.
"Mohd Azne bin Mohd Hazlin"
Nama aku lancar dipanggil oleh emcee yang merupakan seorang pelajar dari sebuah fakulti yang terkenal di universiti ini. Walaupun ini kali kedua merasai pengalaman berkonvo, aku masih lagi gugup untuk naik ke atas pentas. Perasaannya cukup berbeza. Sungguh.
Pentasnya dihias indah, cahaya terang benderang, hadirin bertepuk riang, cocok dengan majlis ini yang merupakan kemuncak kepada tamatnya sesi pembelajaran bagi mereka yang diharapkan mampu untuk menyelesaikan masalah-masalah dunia. Mereka ini kelak adalah golongan yang bakal disegani dan dipandang tinggi oleh masyarakat. Sekurang-kurangnya oleh mereka yang masih percaya bahawa kesemua lulusan universiti itu ada wibawa tersendiri dan boleh mandiri di dalam duniawi.