Part 7

231 5 0
                                    

"Bro, aku masuk tidur dulu lah, kau nanti masuk la bilik sebelah, bilik tu kosong, aku dah kemas apa-apa yang patut, kalau ada yang kurang tu, ko senyap-senyap dah la ye, syukurlah Malaysia masih aman, hahaha"

"Hahaha, takde hal la bro, kau bagi aku tumpang sini pun dah cukup baik dah, kau pergi la masuk tidur dulu, aku pun nak tidur dah ni, lahanat penat mengharung konvo hari ni"

Perbualan tamat di situ, masing-masing berlalu masuk ke bilik. Suasana senyap seketika. Rumah flat ini hanya mempunyai dua buah bilik. Agak tidak sesuai untuk mereka yang berkeluarga terutamanya yang mempunyai anak lelaki serta perempuan. Mungkin sewa rumah flat ini murah, penyebab Ikram menyewa di sini. Bukan mudah untuk mencari rumah sewa yang murah di kotaraya seperti ini.

٭٭٭

Bilik yang disediakan oleh Ikram untuk aku ni agak berdebu, mungkin kesan sudah lama tidak digunakan. Ikram hanya hidup membujang di dalam rumah ini, jadi ada logiknya jika bilik ini dibiarkan kosong sahaja tidak berpenghuni. Malah, jika Liza datang bermalam di sini pun, mereka berdua lebih selesa menggunakan satu bilik sahaja daripada menggunakan bilik secara berasingan. Itu teori ringkas daripada aku usai sejam lebih menginap di rumah flat ini.

Aku berbaring di atas toto yang agak hapak baunya. Aku anggap ini sebagai cabaran pertama di dalam kehidupan berdikari aku. Tiada lagi tilam empuk seperti yang pernah aku nikmati ketika menginap di kolej penginapan pelajar satu ketika dahulu. Kini, hidup aku serba kekurangan dan jika mau hidup selesa, aku perlu rajin berusaha bermula dari sekarang.

٭٭٭

Setengah jam sudah berlalu, aku masih belum boleh melelapkan mata. Aku syak ini disebabkan oleh masalah beralih tempat tidur. Aku memang ada masalah untuk tidur jika aku berada di satu tempat yang asing. Atas sebab itu, aku kurang gemar untuk melawat saudara-saudaraku yang bertebaran di kotaraya ini ataupun menghadiri seminar-seminar yang memerlukan aku bermalam di sesuatu tempat yang asing bagi diriku. Ini kerana, mendapatkan satu tidur yang berkualiti itu jauh lebih bermakna dan tidak tertanding nikmatnya dengan pertemuan sesama saudara atau makan percuma di seminar.

Sedang aku cuba untuk melelapkan mata, ingatanku kembali terhadap apa yang dikatakan oleh Ikram semasa kami bersembang. Perihal mencari pekerjaan yang berkait rapat dengan faktor rezeki itu buatkan aku teringat akan satu kisah yang berlaku terhadap seorang senior di universiti.

Dia seorang perempuan, kurang dari segi paras rupa tetapi amat bijak. Bijak itu boleh didefinisikan dalam banyak erti, bijak berkata-kata, bijak bertukang, bijak mempertahankan diri dan juga bijak menghafal. Senior aku ini tergolong di dalam golongan bijak yang terakhir itu. Bijak menghafal dia ini disokong dengan pencapaiannya yang tidak pernah gagal mendapat anugerah dekan setiap semester, bermula dari zaman diploma membawa ke zaman ijazah sarjana muda.

Jika dibuat kira-kira ringkas, beliau sudah mengenggam lebih kurang dua belas keping sijil anugerah dekan. Malah dengan pointer yang tinggi menjulang, dengan pantas kita mengandaikan dia tidak akan punyai masalah untuk mendapatkan pekerjaan yang bagus dengan gaji yang bagus sementelah menamatkan pengajian nanti.

Akan tetapi, jangan dilupa akan pepatah lama Melayu yang berbunyi, untung sabut timbul, untung batu tenggelam. Disangkakan langit akan cerah sehingga ke petang, tetapi akhirnya hujan turun di tengah hari. Kerja dijangkakan akan datang sendiri mencari tuan empunya badan tidak kunjung tiba. Sebaliknya, tuan empunya badan terkontang – kanting menunggu tawaran yang masih belum nampak bayangnya. Temuduga demi temuduga diharung satu persatu demi untuk mendapatkan pekerjaan. Genap setahun enam bulan bergelar penganggur terhormat, akhirnya si empunya badan mengalah. Atas nasihat rakan-rakan, pensyarah dan mungkin sebagai satu cara terakhir untuk lari dari masalah ini, tuan empunya badan nekad mengambil keputusan mengisi borang menyambung pelajaran secara atas talian.

Perkhabaran terbaru mengatakan bahawa beliau sedang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi dan sudah berkira-kira mau menjadi seorang pensyarah tatkala menamatkan pelajaran nanti. Mujurlah jika akhirnya dia mampu menyelesaikan masalah ini. Lamunan aku terganggu dek bunyi yang aku dengar dari bilik sebelah. Bunyi yang sepatutnya terhasil dari bilik mereka yang sudah halal perhubungannya sahaja.

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Sep 06, 2015 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

Loser AbadiWhere stories live. Discover now