1. Badut.

1.4K 17 0
                                    

Terik matahari di waktu tengah hari menjalar ke kulitku. Mataku, dikecilkan untuk mengecam objek yang dicari. Puas kornea mataku memerhati sekeliling, tapi kelibat masih tidak juga muncul.

"Hah. Haus." aku mengeluh.

Lantas tangan kananku memusingkan arah, cuba mencapai botol air yang berada pada beg sedang aku sandang, tanpa bantuan mata.

Dapat.

Aku menarik keluar botol dari kocek simpanannya dan tanpa menunggu aku membuka penutup botolnya, lalu minum sisa baki air yang tinggal hingga habis.

Lega. Tekakku yang perit dek kering kini segar-bugar.

"Sekejap betul dia menghilang." aku mengomel seorang diri.

Hisham.

Itu yang aku cuba cari sejak keluar kelas tadi.

*

"Hisham! Tunggu!" aku cuba merapati dia yang sudah pun berada di luar kelas, berjalan dengan menyanyikan lagu girang dan ketawa sendiri.

Hisham menoleh padaku, lalu berlari. Aku juga membuka langkah untuk mengejarnya agar tidak ketinggalan.

*

"Kenapalah dia lari. Aku cuma.. nak tanya je kot." aku bertanya diri sendiri sambil melangkah keluar dari perkarangan sekolah. Sekolah yang telah susut bilangan pelajarnya kerana masing-masing sudah pulang ke rumah, untuk menikmati waktu tengah hari ini masakan ibu mereka, atau mungkin juga di kedai makan mamak, atau restoran makanan segera. Waktu persekolahan telah tamat 10 minit yang lalu.

Aku pula, sedang menunggu kedatangan ayahku, yang membawa kereta Honda Civic miliknya, untuk menghantarku pulang ke rumah. Namun, kelibatnya masih belum kelihatan. Pasti ayah masih meeting. Getus hatiku.

Aku membawa diri ke hujung bangunan luar sekolah. Berhenti pada sebatang tiang elektrik. Aku sekadar memerhati kereta yang lalu-lalang pada jalan di kawasan sekolahku, berharap antara kereta yang lalu di situ, ialah milik ayahku.
Hampa. Ayahku belum datang lagi.

Sedang menguis batu-batuan kecil dengan hujung kasutku. Terdengar satu nyanyian kecil di sebalik tiang elektrik yang aku sedang berdiri. Aku kenal suara itu.

Hisham.

Perlahan-lahan, aku menjengukkan kepalaku di balik tiang. Tepat sangkaanku, Hisham di situ bersama seekor kucing.

"Hisham." aku memegang kemas bahu kanannya, agar Hisham tidak lari seperti tadi. Hisham terkejut, dan menepis sedikit tanganku.

"Jangan lari. Aku cuma nak bercakap dengan kau je. Boleh kan?"

Hisham merundukkan kembali wajahnya, menghadap anak kucing yang berguling manja depannya.

"Kucing ni.. kesian dia. Dia selalu datang kat aku. Bermain dengan aku." Hisham ketawa kecil setelah habis bercakap.

"Kenapa kau suka ketawa walaupun perkara tu tak lucu mana? "
"Kenapa kau suka buat lawak dalam kelas, lepas tu kau ketawa, walaupun.. tak ada yang ketawa pada lawak kau? "
Aku ingin bertanya dua perkara ini pada Hisham. Namun, aku tak tahu bagaimana untuk mulakan.

*

"Hisham, berapa kali cikgu nak pesan.. kalau kucing atau haiwan lain, bukan 'dia' tapi 'ia'." Cikgu Bahasa Melayu, Cikgu Ain membetulkan kesalahan yang Hisham lakukan dalam penulisannya. Hisham tersengih-sengih apabila ditegur.

"Kenapa awak ketawa? Ada yang lucu?"

"Tak lah, cikgu. Sebab.. saya fikir.. kucing macam sesuai jika guna 'dia'. Dia kan sama macam kita, ada perasaan?" Hisham ketawa kecil setelah habis bercakap. Rakan sekelasnya hanya memandang kosong pada Hisham yang sedang mengekek ketawa di hadapan meja guru. Cikgu Ain hanya mampu geleng kepala mendengar jawapan dari Hisham.

"Ambil buku awak ni, nanti betulkan mana yang cikgu bulatkan tu. Salah tau."

Hisham akur dan kembali ke tempat duduknya. Senyuman tidak putus dari bibir nipisnya.

*

"Kenapa kau tak balik rumah lagi, Hisham?" aku cuba untuk berbual-bual dengannya.

Hisham senyap tanpa jawapan.

"Emm. Kau tunggu mak atau ayah kau ambil ke?"

- geleng.

"Mak aku kerja. Jauh dari rumah. Lagipun, mak aku tak ada kereta nak ambil aku kat sekolah."

"Ayah kau?"

"Ayah aku pun tak ada kereta. Tapi.. ayah aku duduk kat rumah je."

"Ayah kau.. tak kerja?"

"Tak. Mak aku je yang kerja."

"Mak kau kerja apa?"

Jeda. Hisham memandang tepat pada mata aku sebelum menjawab.
"Kerja kat pejabat."

"Oh, ok apa mak kau kerja pejabat." aku menguntumkan senyuman pada Hisham. Kerja kat pejabat tu sudah dikira bagus.

"Tapi, cuma kerja bersihkan pejabat."

Senyumanku mati. Aku menundukkan kepala.

"Jadi. Kenapa kau tak nak balik rumah?"

Diam. Tiada jawapan.

"Kau takut dengan ayah kau ke. Ayah kau garang?"

Hisham tersenyum nipis.

"Ok la, Arman. Aku nak balik dulu ya." Hisham bangun dari duduknya dan anak kucing tadi juga sudah menghilang entah ke mana.

"Hisham.. kenapa kau suka.. buat lawak.. lepas tu kau ketawa pada lawak kau sendiri.. [walaupun takde siapa yang ketawa pada lawak kau.]"

"Sebab aku nak kawan sekelas ketawa dengan lawak aku."

Aku terkedu mendengar jawapannya, kerana tiada siapa yang pernah rasa terhibur dengan lawaknya. Hisham perlahan-lahan meninggalkan aku.

Hisham tersenyum nipis, bagi Hisham, tak perlulah Arman atau rakan sekelasnya tahu, kenapa dia suka berlawak dan mengetawakan lawaknya sendiri.

Hisham mahu rakannya ketawa, sekaligus menyembuhkan luka yang bersalut kemas dalam pakaian uniform sekolahnya, dek libasan ayah tirinya.

Koleksi Cerpen.Where stories live. Discover now