2. Ayah.

729 17 0
                                    

Ayah, ingat lagi tak?

Masa tu, umur saya baru 5 tahun. Ayah pukul saya, dengan penuh rasa marah.

Hanya kerana, saya tak sengaja menconteng kertas kerja ayah yang penting dan perlu dibentangkan hari esok. Berang betul ayah pada masa itu.

Mujur, ada ibu yang menenangkan amukan ayah. Meredakan tangisan saya yang teresak-esak dalam dakapannya. Betapa saya takut, melihat mata cerlung ayah waktu itu.

Ayah.
Ingat lagi tak.

Waktu itu, malam raya. Dan saya berumur 9 tahun. Betapa ramainya sanak saudara yang tinggal bertandang di rumah Nenek Ecah, emak kepada ibu. Pada malam raya itu, kita semua berasa sangat gembira dan berkongsi pelbagai cerita.

Tapi, saya masih takut dengan mata ayah yang berurat merah apabila memandang tajam kepada saya.

Apa salah saya, ayah?

Saya cuma mahu bermain masak-masak dengan sepupu perempuan saya. Salahkah, ayah?

Kenapa ayah, tidak suka benar melihat saya bermain dengan anak perempuan. Bukankah mereka comel?

Ayah.
Masih ingat lagi tak?

Pada malam sebelum kita balik ke rumah kita, ayah ada duduk berbual bersama Pak Long Rahman.

Ayah ingat lagi tak, dialog ayah bersama Pak Long?

"Kenapa kau biarkan anak engkau jadi begitu, Azwar. Nanti dah besar makin teruk! " Ujar Pak Long Rahman tegas.

"Bukan saya tak ada larang. Hari ini kita marah dia, esok buat lagi. Biasalah, budak-budak. " kepala ayah menekur memandang kaki milik ayah.

" Agaknya kau manjakan dia sangat tak! " dengus Pak Long Rahman.

"Ya Allah. Abang Long.. saya sendiri pun tak mahu lihat anak tunggal saya jadi begitu! Saya sendiri runsing dengan keadaan dia. " tegas ayah lagi.

" Dah tu, 'rawatlah' anak kau tu. Jangan dibiar. Nanti dah besar, memalukan! "

"Saya berusahalah ni, Abang Long! Mana ada saya duduk diam dan biarkan aje dia macam tu. "

Keadaan senyap seketika. Ayah bangkit dari duduk.

Ayah meraup muka, cuba untuk bertenang diri.
" Saya sendiri takkan mengaku dia anak saya kalau saya tak tengok, dengan mata kepala saya sendiri, masa sambut kelahiran si Syamil di wad dulu. "
Ayah meninggalkan Pak Long Rahman yang duduk terkedu mendengar ayat ayah.

Saya bersandar pada balik dinding, di tempat saya mencuri dengar perbualan ayah dan Pak Long Rahman.

Ayah, ayah tak sayang saya ke? Kan hanya saya anak ayah?

Saya menangis tanpa bunyi. Sehingga hari ini, ayat ayah itu masih melekat kuat pada kotak ingatan saya. Tak pernah hilang walau satu ayat.

*

" Abang, sayang ada berita baik. "

" Apa dia sayang? "

"Saya.. mengandung 3 minggu dah, abang. "

" Alhamdulillah! Abang berharap sangat anak kita seorang perempuan. "

" Sayang juga sama, abang. Mesti seronok bila ada anak perempuan. " ibu mengusap-usap perutnya yang masih kelihatan kempis. Tinggi sungguh harapan ibu ayah untuk memiliki anak perempuan.

*

Ayah, sejak hari itu. Saya sedaya-upaya untuk menjauhi makhluk yang bernama perempuan, meskipun hati saya membuak-buak untuk bermain permainan bersama mereka.

Tapi, naluri keperempuan itu masih melekat, dalam diri saya, sangat kuat. Malah, kelembutan pada fizikal saya juga masih ada.

Ayah.
Hari ini. Berdirinya saya di sisi ayah, sebagai seorang lelaki yang gagah perkasa.

Tiada lagi sifat naluri perempuan, tiada lagi fizikal kelembutan.

Tapi, sayang. Ayah tidak sempat menyaksikan perubahan terbesar dalam hidup saya itu, kerana ayah telah dijemput Ilahi 2 tahun sebelumnya, kerana diserang sakit jantung.

Ayah.
Semoga ayah gembira dan bangga dengan perubahan saya ini. Saya lakukan ini, semata-mata kerana ayah. Hanya kerana ayat keramat pada malam sebelum kita pulang ke halaman rumah itu.

Ayat ayah telah menjadi tangkal untuk saya berubah, dan saya telah menunaikan janji saya.

Ayah.
Semoga ayah tenang di sana. Di tempatkan di kalangan orang beriman.

Al Fatihah, ayah.

Koleksi Cerpen.Where stories live. Discover now