Powerbank Berjenama Pineng

40 2 0
                                    

"Woi Malik! Bukak pintu ni Malik! Powerbank aku yang kau pinjam semalam mana? Aku nak pegi kerja ni. Lewat sangat dah ni."

Laung Zuhri seraya tombol pintu bilik Malik digomol rakus. Hampir sahaja pintu itu mahu disepak pecah, tapi tertunda hajatnya kerana takut wang deposit sewa akan hilang. Pak Atan pemilik rumah sewa Zuhri dan Malik bukannya jenis yang boleh dibawa bergurau. Pernah sekali Malik teleng seminggu ditampar Pak Atan sebab menyergah orang tua tu daripada belakang di kedai kopi hujung taman perumahan mereka. Sekali dikilas, kepala Malik berpusing 50 darjah ke arah kanan, sebelum terjelepuk sujud di atas jalan. Bila ditanya kenapa disergah orang tua tu, Malik menjawab, "Aku bukan nak sergah, aku menjerit lipas terbang kejar aku. Bukan kau tak tau lipas terbang tu adalah sejenis sumpahan alam yang telah membuatkan ramai lelaki sejati kecundang. Pak Atan tu pulak dia yang perasan lebih. Ingat aku kemaruk sangat nak bergurau senda dengan dia?" Tapi itu cerita lama. Sekarang ni mahu tak mahu pintu bilik Malik harus diranapkan, demi sebuah powerbank cap Pineng.

"Aku kira sampai tiga, kau tak bukak jugak tumbukan jurus puyuh hinggap di ranting silat pusaka turun temurun ni akan hinggap pulak kat keting kau Malik!"

"Mana boleh kau nak tumbuk kalau aku tak bukak pintu. Kemenangan berpihak kepada aku sekarang ni Zuhri. Kah kah kah. Yelah yelah, tunggu kejap aku bukak", balas si Malik dengan lawaknya yang sedia hambar.

Pintu bilik dikuak, lalu menampakkan satu sosok rupa yang kalau dilihat secara terus, boleh bergejolak isi perut. Itulah Malik. Paras rupanya sahaja boleh membuatkan anjing lari, bayi menangis dan gadis-gadis pengsan, bukan kerana kacak, tetapi kerana tidak mampu menanggung dugaan yang maha berat di depan mata. Tapi sayang, takut dengan lipas terbang.

"Nah. Ada lagi 30%. Cukuplah kan?"

"Dajei." Balas Zuhri ringkas, namun padat dan berisi.

Zuhri capai powerbank tersebut lalu terus bergegas menyarung kasut, siaga mahu ke pejabat. Jam susah pukul 830. Waktu pejabat Zuhri bermula pada pukul 8. Ini semua sebab Malik si durjana. Getus Zuhri sendirian. Mahu dimarah, dileter, bukannya Zuhri tak mahu. Tapi dia tak sanggup nak menatap wajah sahabatnya itu lama-lama. Sejak daripada tadika mereka bersahabat, tidak pernah sekali pun Zuhri menatap muka Malik lebih daripada 3 saat. Zuhri tidak sanggup. Bahkan jika Malik hilang diculik, dan polis terpaksa meminta bantuan Zuhri untuk memberi deskripsi tentang Malik sekalipun, Zuhri tak sanggup. Dia tak mahu berkongsi sengsara itu dengan sketch artist polis itu, atau siapa-siapa sahaja. Cukuplah Zuhri seorang yang terseksa.

Bergegas Zuhri keluar rumah bagai lipas kudung tanpa berkata apa-apa kepada Malik. Dia susah lambat. Ini semua sebab Malik.

Malik masih berdiri di hadapan pintu biliknya, memerhati gelagat Zuhri. "Zuhri, Zuhri. Sayang, hidup kau dihambakan kepada teknologi. Jika tiada sebuah penciptaan yang diberi nama powerbank cap Pineng itu, maka menggelupurlah kau memikirkan macam mana nak cas telefon pintar kau tu. Dulu suruh pakai Nokia je tak nak. Berlagak. Pui."

Malik ke dapur mahu menyediakan sarapan. Dia harus bersedia dengan perut yang terisi, agar dia punya tenaga untuk menempuh hari-hari getir sebagai seorang individu bergelar keyboard warrior. Perut harus kenyang, supaya segala makian dan ugutan di internet adalah ugutan dan makian yang berbunyi padu, dan tak terkalahkan. Sampai di meja makan di dapur, Malik terdiam, sebelum menggeleng kepala dan ketawa berdekah-dekah, membuatkan satu rumah bergema sehinggakan burung-burung yang hinggap di atas atap rumah berterabur terbang lari.

Sambil itu di dalam LRT, Zuhri menangis mengenangkan powerbank di tangan, tetapi telefonnya di atas meja makan di dapur.

Ini semua salah kau Malik!

Kembara Ke Lebuhraya PersekutuanWhere stories live. Discover now