Untitled Part 1

114 1 3
                                    

OMAR. Gabby. Aril. Panggil apa sahaja yang dirasakan sesuai pada pendengaran. Dia tak kisah. Ada yang bilang namanya unik. Jarang sekali didengar. Dia tak tahu namanya pemberian siapa. Ibunya tak pernah mahu bercerita tentang itu. Lebih tepat lagi mereka memang jarang benar bercakap berdua. Boleh dihitung jumlah patah perkataan dalam sebulan. Pada setiap pertemuan itu, pasti Omar yang dahulu menegur. Setiap kali itu juga sapaan itu dibiar sepi oleh ibunya selain menggumam. Hanya sekali ibunya benar-benar bercakap banyak menggunakan pelbagai perkataan dengan nada yang tinggi. Marah. Sungguh panjang lebar sehingga Omar tak sempat menyampuk selain menangis mendengar kata-kata ibunya. Itu mungkin kali terakhir seingatnya. Ah, dia tak mahu fikir atau simpan perkara itu dalam memori. Dia tak suka.

MATAHARI PAGI memancar memasuki celah langsir yang berterbangan ditiup angin. Biasan cahaya itu mengenai wajah Omar yang sedang tidur pulas. Dia membawa belakang tangan melindungi mata yang silau disimbah cahaya. Belum terasa mahu buka mata. Sekiranya perlu, dia tak tahu tujuan apa dia bangkit tidur seawal itu. Sepanjang 18 tahun hidupnya, tiada satu hari pun buat Omar rasa teruja ingin bangkit dari mati sementara itu. Tiada.

Tak lama selepas dia tidur kembali, Omar diganggu pula dengan alarm dari jam locengnya. Tangan meraba mencari mana letak jam loceng miliknya itu. Satu-satu hartanya selepas rumah kecil ini. Deringan itu bergema makin bingit.

"Mana pulak ni." Omar menggumam sendiri dalam bengang. Dia angkat juga tubuhnya dari baring, menggosok mata yang terasa kelat. Pandangan nampak berceratuk-memecah dari biasan air mata. Omar pejam celik mata beberapa kali. Imej yang tadinya kembang jadi elok seperti sedia kala. Dia mengitar ingatan dimana letak benda itu. Sungguh, seingatnya ia masih berada disebelahnya dia terlena malam tadi. Ah, dah ingat! Dalam selimut! Gumpalan selimut busuk dicapai dan diurai. Bunyi nada itu makin nyaring. Cis, pagi-pagi dah buat onar. Mengganggu ketenteraman sungguh!

Huh!

OMAR memerhati pantulan dirinya dalam cermin. Serius wajahnya menilik diri sendiri. Matanya bergerak dari bawah memerhati kasut koyak, seluar dan baju lusuh yang tersarung pada badan. Baru atau tidak itu bukan hal penting buatnya. Dia cuma mahu nampak elok. Seringkali dia disalah anggap sebagai antagonis kepada masyarakat hanya kerana pakaian buruknya. Ah, orang sekeliling takkan pernah faham masalah orang lain. Mereka hanya pandai menghukum ikut tekak sendiri. Tak lama, Omar menatap pula mata sendiri. Memerhati satu lagi perbezaan pada diri sendiri yang sering menjadi perhatian ramai orang. Pada Omar, perbezaan itu buat dia benci pada diri sendiri. Sunglasses Ray Ban di sarung menutupi anak matanya yang berbeza warna. Satunya coklat cair, dan satu lagi berwarna biru. Pelik. Tetapi itu sebahagian dari dirinya juga. Omar senyum pada refleks diri sendiri. Sekarang, dia tak nampak berbeza pun.

GADIS itu masih berdiri di situ sejak beberapa hari yang lalu. Hari ini, biar sepuluh kali leher Omar tergeliat menoleh memerhati, dia tetap di situ tak bergerak seperti patung cendana. Orangkah atau apakah? Berdiri dengan tongkat ditangan. Barangkali dia buta, duga hati Omar. Dia mencebik sendiri. Sejak bila pula pandai menyibuk hal orang ni, Omar. Buat kerja kau diam-diam macam selalu. Perhatian dialih semula pada kasut di tangan. Fokus Omar, fokus. Kasut itu perlu diserahkan pada tuannya petang nanti.

"Ahh!" Jeritan nyaring dari arah gadis itu berdiri. Dia sudah terjelepok jatuh mencari tongkatnya yang tercampak tidak jauh dari tempatnya berdiri tadi. Terduduk meraba-raba sekeliling dimana kebarangkalian tersentuh tongkat itu sangat tinggi.

Omar garu kepala. Dia toleh kiri kanan, tak ada orang yang baru lalu diruang pejalan kaki itu serasanya. Tak ada pula terasa ada aura bekas manusia lalu sebentar tadi. Omar kembali memandang gadis itu yang masih meraba lantai marmar yang penuh dengan kotoran yang jelas dilihat dengan mata.

Pilihan apa yang dia punya. Omar tinggalkan kasut di atas lantai. Baru sahaja dia bangkit mahu membantu, sekonyong-konyong gadis itu tersentuh hujung tongkatnya. Omar tak jadi berdiri tegak. Ah, dia tak sepatutnya mengambil kisah seperti selalu. Sebelum ini, orang jatuh longkang dihadapannya pun tak pernah mahu di tolong. Tak perlu berlagak seperti kau malaikat jika hatimu tidak sesuci itu, Omar.

Duka Hati Seorang Gabriel OmarWhere stories live. Discover now