Bab 1

3.1K 39 8
                                    

Sepanjang bulan Julai di tahun kedua di universiti sehinggalah bulan Januari tahun yang berikutnya, hari-hari Tsukuru Tazaki dipenuhi dengan melayan fikiran untuk mati sahaja. Dalam jangkamasa itu, dia telah menyambut hari lahir yang ke-20, namun peristiwa itu berlangsung tanpa membawa sebarang makna. Setiap hari yang berlalu semakin meyakinkan dirinya bahawa membunuh diri adalah langkah yang paling wajar dan rasional. Sehingga ke hari ini, dia masih tertanya-tanya mengapa dia tidak meneruskan sahaja hasratnya pada ketika itu. Pada waktu itu, melangkah bendul yang memisahkan antara hidup dan mati adalah lebih mudah daripada menelan sebiji telur mentah.

Mungkin juga keinginan Tsukuru untuk mati terlalu mendalam dan tulus sehinggakan mindanya tidak mampu memikirkan kaedah yang setara dengan hasrat di hatinya itu. Namun itu bukan isu sebenar. Sekiranya pintu maut berada di hadapan matanya pada ketika itu, pasti dia akan menolak daun pintu itu tanpa ragu-ragu. Pasti dia akan melakukannya tanpa berfikir panjang, seolah-olah itu suatu perkara biasa. Malangnya, atau mungkin juga nasibnya baik, pintu itu tiada berdekatan dengannya.

Seringkali Tsukuru Tazaki terfikir, mungkin ada baiknya mati sahaja. Kalau dia mati, dunia seperti yang dikenalinya tidak akan wujud lagi. Idea yang begitu mempesona. Dunia ini tidak akan wujud lagi dan segala hakikat di dunia ini akan terhapus. Sepertimana kewujudannya terhenti, realiti dunia ini juga akan lenyap buatnya.

Namun begitu, pada waktu yang sama, Tsukuru sebenarnya tidak faham mengapa dia perlu berdamping begitu rapat dengan kematian pada waktu itu. Tentu sahaja ada pencetus yang kukuh, namun mengapa agaknya keinginannya untuk mati begitu meluap-luap dan begitu kuat kuasa tarikannya sehingga ia menjadi bagaikan awan hitam yang menyelubungi dirinya selama hampir setengah tahun? Menyelubungi-ya, itulah gambaran yang paling tepat untuk menerangkan keadaannya pada waktu itu. Umpama kisah Nabi Yunus yang ditelan ikan paus dan terperangkap di dalam perut makhluk itu, begitulah Tsukuru terperangkap di dalam perut kematian, dan di dalam lohong yang suram itu, dia menghabiskan hari-hari tanpa tarikh.

Tsukuru hidup sebagai seorang somnabulis; orang yang telah mati tetapi tidak sedar yang dirinya adalah bangkai hidup. Sebaik sahaja terbitnya mentari, dia akan bangun dari tidurnya, menggosok gigi, memakai mana-mana pakaian yang paling mudah untuk dicapai, pergi ke universiti dan mencatatkan nota di dalam kelas. Hidupnya adalah sebuah rutin yang ditentukan oleh jadual waktu yang terpampang di depan mata. Tsukuru umpama orang yang sedang dilanda ribut, yang berpaut erat pada tiang lampu agar tidak terbang dibawa angin. Dia tidak akan bercakap dengan sesiapa melainkan jika perlu. Sebaik sahaja tiba di biliknya, di mana dia tinggal seorang diri, Tsukuru hanya akan duduk di atas lantai sambil menyandarkan tubuhnya ke dinding dan termenung keseorangan memikirkan tentang kematian, atau tentang hidup yang sudah tiada serinya lagi. Apa yang terlihat di hadapannya, hanyalah gegaung gelap yang terus bersambung ke teras bumi yang sedia ternganga. Dia hanya dapat melihat sebuah kekosongan yang membentuk kepulan-kepulan awan tebal yang berpusaran, dan apa yang kedengaran baginya hanyalah suara kesunyian yang begitu mendalam, bingit menekan gegendang telinga.

Jika dia tidak memikirkan tentang kematian, mindanya kosong. Tidak sukar sebenarnya untuk mematikan minda. Dia tidak membaca akhbar, tidak mendengar muzik dan tiada nafsu seksual. Segala apa yang berlaku di dunia tidak membawa sebarang makna buatnya. Apabila sudah penat berkurung di dalam bilik, dia akan keluar dan berjalan-jalan di kawasan berhampiran tanpa tujuan. Atau dia akan ke stesen keretapi, duduk di bangku, sambil memerhatikan keretapi datang dan pergi untuk sekian lama.

Setiap pagi dia akan mandi dan membasuh rambutnya dengan teliti, dan dua kali seminggu dia akan membasuh baju-baju kotornya. Walau apa pun keadaannya, dia masih menitik-beratkan kebersihan. Perkara-perkara itu masih lagi dia pegang. Membasuh pakaian, mandi dan memberus gigi. Namun, soal makan-minum tidak lagi dihiraukannya. Pada waktu tengahari, dia akan makan di kantin universiti, tetapi selain itu, jarang sekali dia mengambil sebarang makanan yang berkhasiat. Setiap kali terasa lapar, dia akan ke pasaraya berhampiran untuk membeli epal ataupun sayur-sayuran, dan makan begitu sahaja. Kadangkala hanya sekadar menjamah roti kosong, dan meneguk susu terus daripada kotaknya. Dan apabila tiba waktu tidur, dia akan meneguk segelas kecil wiski, seperti ubat. Ada bagusnya yang dia bukan jenis orang yang kuat minum, hanya dengan sedikit wiski sudah cukup untuk membawanya ke alam mimpi. Namun begitu, tidurnya juga kosong tanpa dilawati sebarang mimpi. Ada ketika di mana mimpi tercetus, kesedaran akan segera menerpa, bagaikan tergelincir ke cerun yang licin tanpa tempat untuk berpegang. Segalanya kosong.

(Preview) TSUKURU TAZAKI TANPA WARNA - terjemahan novel Haruki MurakamiWhere stories live. Discover now