Khabar untuk Rakyat

68 5 0
                                    

TOPI dibetulkan. Baju kemejanya dimasukkan ke dalan seluar. Basikalnya dituntun sambil melangkah satu langkah ke satu langkah. Lampu suluhnya disuluh sepanjang jalan tanah merah yang sepi. Angin sejuk pagi berpuput lembut membuai daun-daun pokok getah. Bakul di hadapan basikalnya masih penuh dengan surat khabar Utusan Melayu yang perlu dihantarnya ke beberapa buah rumah.

Dia terpaksa bertolak awal dari rumahnya untuk menghantar surat-surat khabar itu bagi mengelak daripada bertembung dengan pasukan polis Jepun atau lebih dikenali sebagai kempeitai yang amat kejam. Walau seberat manapun tugas yang perlu dilaksanakannya, dia harus melakukannya juga amanah yang sudah diberikan kepadanya.

Bunyi kereta kedengaran. Ahmad menunggang basikalnya. Kayuhannya semakin laju. Sesekali dia menoleh ke belakang untuk mengambil tahu sekiranya dia diekori. Kayuhannya terhenti. Nafasnya tercungap-cungap.

"Mereka sudah mula bergerak pada awal pagi. Tugas aku kini semakin berbahaya." Matanya merenung tajam ke satu sudut ladang getah. Dia menyambung kayuhannya.

Setelah beberapa minit berbasikal, Ahmad tiba ke sebuah kampung. Langit masih belum menunujukkan sinarnya. Dia meninggalkan senaskhah surat khabar di hadapan setiap rumah di kampung itu sebelum meneruskan perjalanannya. Ketika dia sedang merentasi jambatan, cahaya dapat dilihatnya menyinsing keluar di dada langit.

Kayuhannya diteruskan. Beberapa minit kemudian Ahmad tiba di sebuah kampung lain. Tugasnya diteruskan seperti biasa. Bahunya di sentuh. Satu senyuman menyapanya. "Oh, Pak Hamid. Apa khabar?"

"Khabar baik. Apa tajuk utama hari ini?"

"Mereka menyeru kita supaya berhati-hati dengan pihak Jepun. Mereka mempunyai niat lain ketika menewaskan British dan menjajah Tanah Melayu." Mereka berdua duduk di sebuah kedai. Senaskhah surat khabar dihulurkan kepada Pak Hamid.

"Sudah lebih kurang seminggu mereka menduduki Tanah Melayu. Mereka sudah mula membuka tembelang mereka. Mereka mempunyai tujuan lain. Semuanya demi kepentingan mereka. Persis," bebel Pak Hamid sambil menelaah surat khabar yang baru diberikan kepadanya sebentar tadi. Muka suratnya dibelek satu per satu.

Ahmad menghirup kopi yang dipesannya. Topinya diletakkan di atas meja bulat yang berada dihadapannya. Pahit. Itulah kopi kegemarannya. Setiap hari dia akan singgah di kedai itu untuk berehat dan melepaskan penat lelahnya sambil meminum beberapa cawan kopi sebelum kembali ke kampungnya. Dia mendapat kepuasan apabila tugasnya dihargai dan disokong oleh penduduk-penduduk kampung.

Sungguh berat tanggungjawab yang dipikul lelaki seawal usia 20-an itu. Dia menjalankan satu usaha yang mulia. Sanggup meletakkan nyawanya di hujung tanduk semata-mata untuk menyebarkan khabar berita kepada penduduk-penduduk kampung berhampiran. Dia sudah bekerja sebagai penghantar surat khabar selama dua tahun sebelum kedatangan Jepun ke Tanah Melayu.

Setelah habis menghirup air kopi, Ahmad memakai topinya lalu berdiri. "Pak Hamid, izinkan saya pulang dahulu. Saya risau kerana kempeitai sudah mula bergerak."

"Silakan. Kopi kamu Pak Hamid bayarkan nanti. Hati-hati." Pak Hamid mengangkat tangan ke arah Ahmad yang turut mengangkat tangan ke arahnya.

Ahmad mendapatkan basikalnya lalu perlahan-lahan dikayuhnya pulang ke tempat kerjanya untuk mendapatkan upahnya pada hari itu. Dia sangsi apabila bosnya, Encik Halim kelihatan muram pada hari itu. Ahmad tersengih-sengih tatkala masuk ke pejabat Encik Halim.

"Dukacita saya terpaksa memaklumkan kepada kamu bahawa tugas kamu setakat di sini sahaja," kata Encik Halim lemah.

Bebola mata Ahmad membesar. Terkejut. "Kenapa, Encik Halim?" Dahinya berkerut.

"Kegiatan kita diharamkan oleh pihak Jepun. Nahas kita sekiranya terbongkar. Oleh itu, kegiatan kita terpaksa diberhentikan," terang Encik Halim.

Ahmad tunduk. Berat hatinya untuk menerima kenyataan bosnya itu. "Tolonglah saya, Encik Halim. Selama ini saya sudah lakukan yang terbaik sebagai seorang penghantar surat khabar. Saya betul-betul suka akan kerja saya. Hanya kerja ini yang boleh menampung perbelanjaan hidup saya dan ibu saya," rayu Ahmad.

"Saya minta maaf, tetapi tiada apa-apa yang saya boleh lakukan. Semua ini adalah arahan daripada pihak atasan. Mereka tidak akan mengeluarkan surat khabar ini lagi. Mereka khuatir akan keselamatan kita semua."

Ahmad berjalan keluar dengan hampa. Basikalnya dituntun menuju ke rumahnya. Aku tidak boleh berhenti, bentak hati kecilnya. Semua orang menantikan berita daripada aku. Aku tidak akan hampakan mereka.

Pada hari keesokannya, Ahmad bersiap awal seperti biasa. Langit masih gelap. Pakaiannya dipakai kemas. Topinya diletakkan di atas kepala seperti biasa. Dia menoleh ke kanan dan ke kiri sebelum menuntun basikalnya sepanjang lorong sempit di belakang rumahnya. Kemudian, dia mengayuh basikalnya ke kampung sebelah dengan bertemankan lampu suluh.

Setibanya dia di kampung sebelah, dia memperlahankan kayuhannya. "Berhati-hati dengan pihak Jepun. Mereka hanya tipu kita dengan slogan mereka. Mereka datang untuk menjajah kita," jerit Ahmad berulang-ulang ulang kali sebelum meneruskan perjalanannya ke kampung seterusnya. Hatinya puas.

Dia menjadi semakin seronok kerana dapat meneruskan kerjanya dengan menyampaikan khabar kepada rakyat Tanah Melayu yang memerlukan berita tentang perkembangan tanah air mereka. Segala rasa gentar di hatinya tidak diendahkan dan terus dibuang jauh ke lubuk hatinya.

Apabila dia sampai ke kampung seterusnya, perkara yang sama dilakukannya. "Berhati-hati dengan pihak Jepun. Mereka hanya tipu kita dengan slogan mereka. Mereka datang untuk menjajah kita. Mereka pengkhianat negara-negara Asia." Kayuhannya berhenti di hadapan kedai yang sering disinggahinya.

Ahmad melangkah masuk. Semua mata sedang memandangnya. Dia duduk di meja yang sama dengan Pak Hamid. "Senyap sahaja hari ni Pak Hamid," dia cuba menyakat Pak Hamid.

Pak Hamid terus membisu. Dua lelaki berpakaian seragam menghampiri mereka. Lengan Ahmad dicengkam kuat lalu diheret keluar daripada kedai itu. Sekilas pandang Ahmad dapat mengenali pakaian seragam itu. Kempeitai, bisik hatinya.

"Kamu memang suka cari masalah," marah salah seorang daripada lelaki berpakaian seragam itu. Ahmad disepaknya berkali-kali.

Kejadian itu tidak diendahkan orang sekelilingnya. Mereka takut mereka akan diseksa seperti Ahmad. Pak Hamid mengetap bibirnya. Walaupun berat mata memandang, terpaksa dipendam juga rasa belas kasihan. Ahmad terus diseksa dengan zalim.

Dua orang polis Jepun itu bercakap sesama mereka dalam bahasa Jepun. Salah seorang daripada mereka pergi mendapatkan sesuatu sementara seorang lagi mencengkam baju Ahmad. Barang yang diambil oleh polis Jepun itu dihulurkan kepada rakannya.

Mulut Ahmad dibuka luas. "Minum air sabun ini." Air sabun itu dituang ke dalam mulut Ahmad. Dia dipaksa menelan air sabun itu. Badannya dilepaskan. Terasa ngilu seluruh tubuhnya. Dia memuntahkan kembali air sabun itu. Sakit. Perutnya seperti dihakis oleh cecair pembersih itu.

Kedua-dua polis Jepun itu tersenyum sinis. Pedang yang terselit pada pinggangnya dihunus. Satu libasan dilepaskan memisahkan kepala dan tubuh Ahmad. Mati sebagai seorang yang berjasa. Pemberi khabar buat rakyat Tanah Melayu.

"Terima kasih, Ahmad. Kamu adalah anak bangsa yang patut dicontohi." Air mata mula jatuh berjuraian.


Khabar untuk RakyatWhere stories live. Discover now