MUNGKINKAH? 1

1.9K 34 0
                                    

"Gila ke laki kau ni, Rissa?,"

Arisa menyapu air mata yang membanjiri pipi. Wajah bapanya yang kelihatan marah dipandang dengan rasa hiba. Bapanya wajar marah dan dia wajar menerima balasan ini barangkali. Berat untuk dia bercerita tetapi, terasa beban yang ditanggung sudah tidak mampu digalas. Sudah terlalu penat dia melayan kerenah Radhi. Semakin hari semakin sulit untuk dia berdepan dengan perangai Radhi. Semakin hari Radhi semakin sengaja mahu menyakitkan hatinya. Semakin mencabar sabarnya. Dia berharap Radhi akan berubah. Dia berdoa agar Radhi menjadi lelaki yang pernah dicintai sepenuh hati sebelum mereka bergelar suami isteri. Tetapi semua itu mungkin cuma akan menjadi mimpi. Jauh sekali untuk digapai sebagai realiti.

"Itulah. Dari dulu lagi ayah tak berkenan kamu berkahwin dengan Radhi tu. Cinta konon. Tengoklah apa jadi dengan kamu sekarang ni? Kurus kering makan hati. Inilah yang kamu dapat sebab nak pertahankan sangat cinta kamu tu. Kan?,"

Arisa tunduk. Hujah bapanya tidak mampu dia patahkan. Saat ini, dia akui kebenaran kata-kata bapanya. Cinta bagai tidak membawa erti lagi padanya. Separuh mati dia pertahankan Radhi. Bermatian dia cuba yakinkan ibu dan bapanya, Radhi adalah jodoh yang terbaik untuknya. Tetapi hari ini sudah terbukti dia silap. Dia silap dan bapanya benar.

"Silap Rissa. Rissa mengaku semuanya salah Rissa. Tapi, sebelum kahwin dia tak macam ni, ayah. Dia baik,"perlahan dia bersuara.

Haji Salleh mengeluh perlahan. Ikutkan geramnya, memang mahu dia hamburkan segala rasa marah yang terpaksa dipendam kerana sayangkan anak. Walau berat hatinya, dia akur dengan permintaan Arisa. Dengan separuh hati, akhirnya Radhi terpaksa diterima sebagai menantu. Tetapi, melihat kesedihan Arisa saat ini, dia tidak sampai hati. Segalanya telah berlaku. Walau diluahkan segunung marah sekalipun, mustahil kemarahan itu dapat memulihkan keadaan.

"Sudahlah. Tak guna nak cakap benda yang dah berlaku,"sudahnya, dia bersuara dengan nada sedikit kendur.

Arissa terus menunduk.

"Dia dah jauh berubah, ayah... dia bukan Radhi yang Rissa kenal dulu,"lemah luahan yang meniti di bibir.

"Lelaki ni, kalau dah dapat isteri gaji besar sikit, naik kepalalah dia. Nak pula, jenis yang malas kerja macam suami kamu tu. Tengoklah macam-mana dia buat pada kamu? Nasib baik tak ada anak lagi. Kalau ada anak, macam-mana? Bertambah-tambah beban kamu. Yang seronok... dialah. Siang malam tahunya berjoli... berjudi,"

Arisa mengeluh panjang. Buntu memikirkan masalah yang semakin menyesakkan kepala. Sebolehnya dia tidak mahu menyusahkan bapanya. Tetapi, apabila semuanya sudah tidak mampu untuk dia harungi sendirian, cuma bapanya yang dia ada untuk mengadu. Dan, kata-kata bapanya itu ada benarnya. Jelas Radhi hanya mengambil kesempatan padanya. Dia menjadi tabung duit bagi Radhi. Dia menjadi tempat melampiaskan nafsu bagi Radhi. Dia menjadi tempat Radhi melepaskan amarah setiap kali pulang ke rumah dengan muka kelat disebabkan kalah judi. Semenjak berkahwin, dia seakan tidak bermakna langsung pada lelaki itu. Kasih Radhi hilang dari matanya. Cinta Radhi juga ghaib entah ke mana. Yang tinggal cuma satu kenyataan yang membuat hatinya tersayat pilu. Dia bagai boneka untuk kesenangan Radhi.

"Sakit dada ayah ni tengok gelagat laki kamu tu. Bekerja malas. Orang kiri kanan duk sibuk bercerita. Angkut anak dara orang sana. Angkut anak dara orang sini. Sekarang dah gatal nak kahwin lagi pulak? Siapa yang nak tanggung bini dia nanti? Kamu?,"kali ini, sedikit keras suara yang meniti di bibir Haji Salleh. Berbaur geram nada yang sampai ke telinga Arisa.

Arisa tersentap. Mengangkat muka merenung wajah bapanya. Air mata yang ditahan dari tadi, kini menitis jatuh ke pipi. Perlahan dia menggeleng. Tingkah Radhi sudah cukup menghancurkan perasaannya. Selama dua tahun dia 'menikmati' cinta suci Radhi. Cinta yang penuh dengan caci-maki dan air mata. Silap besar dia agungkan cinta sehingga sanggup ingkar pada teguran bapanya. Pada nasihat arwah ibunya. Rupa-rupanya cinta suci itu cuma omong kosong. Hakikatnya cinta langsung tidak bernilai.

MUNGKINKAH?Where stories live. Discover now