Bab 1

1.2K 70 10
                                    

Satu bentuk senyuman terbentuk pada wajah Borhan saat beliau menjerang air panas. Sarapan paginya pada hari ini adalah megi kari seperti hari-hari sebelumnya, megi asam laksa yang didakwa sedap seperti dalam filem Istanbul Aku Datang adalah pembohongan terbesar dalam hidupnya, betul-betul selepas buat megi asam laksa tu, Borhan cirit-birit keesokan harinya. Ada kemungkinan besar asam itu tidak sebati dalam darah daging keturunannya. Maka megi kari sentiasa menjadi megi pilihan utama setiap kali singgah ke gerai Pak Abu. Sudah beribu-ribu iklan di televisyen yang mengiklankan berbagai jenis megi kari, kari letup, kari meletup-letup , kari terletup-letup, langsung tidak menarik perhatiannya. Biarlah keluar megi kari c4 sekalipun, perencah serbuk megi kari yang biasa itu tetap menjadi pilihan.

Sambil menunggu water-heaternya berketap menandakan air sudah masak, Borhan mengeluarkan sebungkus megi dari dalam laci mejanya.

"Satu mana cukup.." getus hati Borhan, lalu mengeluarkan lagi sebungkus megi.

"Dua cukup ke?" hatinya bertanda soal lagi.

Begitulah dilema yang dihadapi Borhan setiap pagi ketika ingin makan megi untuk sarapan. Borhan memang pelik, dalam banyak-banyak menu sarapan yang sihat-sihat dipilihnya juga megi yang sudah berjuta kali dikatakan tidak sihat itu. Tidak kiralah samada di dalam susur masa si pencicip mahupun status-status rakan muka bukunya yang persis seorang doktor bertauliah yang amat concern akan rakan-rakannya. Katanya boleh bengaplah, tak elok untuk buah pingganglah, banyak ajinamoto lah. Borhan kisah apa, asalkan perutnya kenyang, sudah. Ini kalaulah diketahui ibunya di Kampung Sungai Petai itu, sudah tentu dilumatkan cili brazil yang sebesar ibu jari itu. Biar berpeluh si Borhan tu menanggung azab seksa akibat tidak menjaga kesihatan diri.

Sejurus mengeluarkan bungkusan plastik megi itu, disusunnya bertingkat bungkusan megi itu di atas meja lalu dia pastikan alignment segi empat tepat bungkusan itu tidak senget sedikit pun. Kemudian diangkatnya tangan kanannya setinggi langit seperti gaya Heil Hitler sambil mata terpejam. Terkumat-kamit Borhan membaca ayat-ayat yang jika didengar dekat-dekat cumalah sebutan "megi kari sedap" diulang berkali-kali. Katanya Borhan dengan cara itu meginya akan menjadi lebih sedap dari megi rakan-rakannya yang lain. Tidak tahulah dari gua mana dia menuntut ilmu sedemikian namun dia seolah-olah berpegang teguh kepada ajaran sesatnya itu. Dibukanya mata secara tiba-tiba lalu terus memandang tepat ke arah 2 bungkusan megi yang bertindan di atas meja itu seperti tikus terjumpa keju. Dengan sekuat hati beliau menghentakkan tangan kanannya ke arah tindanan megi tersebut.

PAM!

Suasana hening seketika, burung-burung gagak yang hinggap di tingkap bilik Borhan turut terbang melarikan diri. Borhan tengok megi, megi tengok Borhan. Kesunyian itu berjaya berkekalan lebih kurang 10 saat lalu si Borhan menghentak bungkusan megi tersebut berkali-kali dengan lajunya.

PAM! PAM! PAM! PAM! PAM! PAM!

Saling tak tumpah seperti filem Ip Man 3 yang akan ditayangkan tidak lama di pawagam. Hatta hancur berderailah megi di dalam plastik itu menjadi cebisan-cebisan yang kecil namun tidak hancur sepenuhnya seperti debuan pasir di pantai. Pernah sekali jiran seasramanya Aziman bertanya kepada Borhan apakah sebabnya beliau bersedemikian rupa. Maka dijawabnya Borhan beliau tidak suka meginya panjang berjela kena sedut-sedut. Leceh. Beliau lebih suka meginya hancur-hancur agar mudah dimakan dan dihadam dewasa kelak nanti. Malah di dalam kelas kimia dahulu pun dia pernah belajar tentang rate of reaction dimana objek yang bersaiz kecil lebih mudah memberi reaksi dalam masa sekejap berbanding yang bersaiz besar.

Jika pada waktu pagi di bilik Aziman itu sudah tentu kedengaran bunyi hentakan meja yang kuat setiap hari dek kerana si Borhan membuat megi. Bukan sahaja bilik Aziman kedengaran, malah di Blok Kenangan nun hujung di sana juga kedengaran. Kebiasaannya pelajar junior pasti akan mengalami kejutan budaya setibanya ke kolej ini dek hentakan bingai si Borhanuddin Boya itu. Maka si senior dengan terpaksanya menerangkan kepada pelajar baru di sana untuk menenangkan keadaan.

"Oh itu si Borhan, dia tengah buat megi" penjelasan yang lazim didengari dari muncung-muncung mulut pelajar senior. Begitulah penangan megi Borhan. Malah pernah menjadi viral di laman sosial cara Borhan membuat megi dek kerana seolah-olah menyerupai ritual dari Raja Bomoh Malaysia di awal pembikinan megi Borhan itu.

Ketap!

Borhan yang baru sahaja selesai meng-karatekan megi tersebut dengan pantas mengalihkan pandangan ke arah water-heaternya.

"Nice!" kata Borhan sambil menyeringai.

Bekas Tupperware yang bersaiz empat segi tepat dikeluarkan dari laci makanannya lalu diletakkan di atas meja. Ditiup-tiupnya bekas itu khuatir jika ada bendasing seperti habuk halus atau sarang labah-labah masih lekat di dinding bekas plastik tersebut. Lalu bungkusan megi yang telah lumat ditumbuk tadi dikoyakkan dan ditaburkan ke dalam bekas Tupperware tadi.

Trrrrrrrrrr...

Bunyi cebisan megi yang hancur tadi kedengaran ketika bersentuhan dengan plastik Tupperware itu. Setelah habis sebungkus, sebungkus lagi ditaburkan ke dalam bekas itu. Air yang panas tadi dituangkan ke dalamnya dicampur sehingga paras dimana megi itu kelihatan 'lemas'. Kemudian Borhan tutup bekas itu dan membiarkannya di atas meja. Sambil menunggu itu, Borhan dengar radio Era.

"Aher her hek! Her her hok" gelak si Borhan mendengar lawak dari Cik Kiah dari corong-corong radionya. Saling tak tumpah seperti kerbau pendek. Buruk. Memang buruk.

Dia kalihkan pandangannya ke arah jam yang di gantung di depan meja belajarnya, waktu sekarang ialah 7:13 pagi. "Awal lagi..." monolog si Borhan. Kelasnya bermula pukul 8, dan baiknya tentang Borhan ni, subuhnya tidak pernah tinggal. Dia bangun seawal 6 pagi untuk solat dan seusainya solat dia akan menelefon ibunya untuk bertanya khabar dan bersiap ke kelas.

"Eh megi!" teriak Borhan.

Macam mana dia boleh lupa tentang megi, baginya ini satu malapetaka besar sedang menimpa, setelah hampir 15 tahun hidup bersama megi tidak mungkin dia akan miscalculate tentang waktu masak yang sebenar untuk megi yang lazat. Di dalam iklan biasanya diakatakan hanya perlu 2 minit, namun mengikut kajian Borhan dan pengalamannya. Megi itu haruslah tidak terlalu sekejap dan tidak terlalu lama direndam, lebih kurang tiga perpuluhan lima saat dan 56 milisaat sahaja waktu diperlukan sebelum serbuk kari dicampur.

Ini malapetaka! Dia sudah melebihi satu milisaat dan sudah tentu meginya tidak sedap kelak. Berjurai-jurai keringat keluar dari tubuh gempal Borhan. Sudah terbayang-bayang wajah-wajah orang yang disayanginya, monyet belaannya di kampung halaman serta senyuman rakan-rakannya berdesup masuk ke dalam ingatan Borhan seperti filem layar. Seraya itu beliau menitiskan air mata. Lalu ingin dibuatkan cerita, air matanya jatuh ke dalam megi.

Dalam keadaan sedih dan menahan sedih akibat kecuaiannya sendiri itu, dengan perlahan-lahan Borhan menyuapkan megi tadi ke dalam mulutnya. Sayup-sayup hatinya mengunyah megi yang sudah 'rosak' itu dan menelan...

Segera mata Borhan membuntang.

"Sedap gila babiiiiiiiiiiiii!" seraya menyeka peluh dan air matanya.

"Sedappp gila babiiiiiiiiiiiiiiii" jeritnya lagi berulang-ulang kali seperti Ah Chong yang baru sahaja usai membakar colok di depan rumah.

Tuk-Tuk-Tuk

Pintu Borhan yang ternganga luas dari tadi diketuk. Aziman berdiri di pintu biliknya sambil memandang pelik ke arah Borhan yang kelihatan seperti telah menemui satu elemen baru dalam perut bumi dan bakal diletakkan di dalam Periodic Table untuk mengharu-birukan lagi hidup pelajar jurusan sains.

"Kau makan babi pulak ke hari ni bongok?" balas Aziman ringkas dengan muka bersahaja.

"Bingailah, ni aku dah jumpa satu resipi nak buat megi sedap woih!" kata Borhan menidakkan statement Aziman.

"Apa-apalah, habiskan cepat megi kau, kita kena datang awal ke fakulti, lupa?" sambil mulutnya mengunyah roti gardenia coklat 70 sen. Kelewatan mungkin.

Borhan menepekkan telapak tangannya ke dahi dek kerana lupa tentang Karnival Serba Boleh yang diadakan oleh fakultinya. Inilah dia Borhan, dah lah pelupa, roommate pun takda untuk ingatkan dia.

"Kau ni parah dah ni Han, kena kawin awal kau ni, sarapan dah la megi, pelupa, bingai pulak tu. Sekurangnya bini kau boleh jaga makan minum kau, jaga kau, ingatkan kau blablablabla...." ayat seterus dari Aziman itu dia tidak diendahkan kerana sudah lali ditelinganya. Megi itu segera dihirupnya sehingga hanya meninggalkan sisa-sisa minyak dari kuah kari tadi.

Borhan menyaukkan beg sandangnya lalu bergegas keluar bilik dan menuju ke stesen bas menunggu bas bersama Aziman sambil melambai-lambai ke arah biliknya tempat dimana meginya berada.

Megi BorhanWhere stories live. Discover now