LOCENG PINTU BERBUNYI. Iana Sabira yang kebetulan sedang duduk di ruang tamu pergi ke pintu untuk meninjau melalui lubang intip. Razman rupa-rupanya. Iana berteriak memanggil teman serumahnya, Deena.
"Huh? He's here?" Majalah Galaxy melayang entah ke mana. Deena Alena berlari menuju ke cermin di tepi tangga. Wajah kacukan Arab itu dibelek-belek bagi memastikan tiada cela yang kelihatan.
Sementara itu, Iana membuka pintu dan menyambut Razman, teman lelaki Deena. Bau Polo Blue by Ralph Lauren semerbak memenuhi ruang tamu rumah itu sebaik sahaja Razman melangkah masuk. Iana mengerutkan muka dan gosok hidung.
Sesudah Deena turun, Iana segera naik ke tingkat atas untuk memberi peluang buat Deena dan Razman bermesra. Tidak lama kemudian, Deena melaung memberitahu akan pemergiannya. Iana dengar bunyi pintu ditutup.
Iana Sabira menghembus nafas berat. Perlahan-lahan dia bangkit dari katil lalu menuju ke almari pakaiannya. Bahagian yang atas sekali dibuka lalu sebuah kotak sederhana besar dikeluarkan. Berat sedikit.
Isi di dalam kotak dikeluarkan satu persatu. Hatinya mulai sebak. Nafas Iana tersangkut. Air mata bertakung di bibir mata namun segaris senyuman turut terukir di wajah yang indah itu.
Setelah menatap dan membelek-belek isi kotak, sekali lagi Iana menghembuskan nafas berat. Isi kotak yang bertaburan di atas katil dikemaskan semula. Kemudian, kotak itu ditutup rapi dan disimpan kembali di tempat asalnya.
Hajat untuk mencapai novel terpaksa dibatalkan apabila telefon bimbitnya berbunyi. Telefon yang terletak di tepi lampu tidur dicapai.
"Hello?"
"Hello!"
"Siapa tu?"
"Ini Azlanlah, sayang."
"Oh, Lan. Kenapa?"
"Emm... Lan ingat nak ajak Sab dinner," nada Azlan merayu.
"Sekarang dah pukul sepuluhlah, sayang intan payung!" Iana tertawa kecil sebelum menyambung, "dah masuk waktu supper."
"Err... macam tu, kita pergi supper lah!" Azlan masih mengharap.
Iana ketawa lagi sebelum menjawab, "kita dinner esoklah. Lagipun Sab ada kerja nak siapkan."
"Okaylah. Esok pukul lapan Lan jemput ya?" Suara Azlan kedengaran girang.
"Baiklah. Maaf ya malam ni tak dapat."
"Tak apa. Bye sayang! I love you!"
"Bye!"
Iana meletakkan gagang telefon. Buku tebal berwarna merah jambu di tepi meja tulisnya dicapai. Setelah menulis sesuatu ke dalam buku itu, Iana mencapai tuala lalu ke bilik air.
Selesai membersihkan diri, dia mengenakan skirt hitam paras peha dengan baju DKNY yang sedikit ketat, juga berwarna hitam. Kemudian, disarungkan juga sehelai jaket potongan pendek. Wangian Johnson's Baby Morning Dew disapu ke pergelangan tangan, leher, dada, tengkuk dan belakang telinganya. Wangian yang lembut dan harum itu menjadi pilihannya sejak kecil lagi.
Selepas itu, telefon bimbitnya dicapai. Butang-butang di telefon ditekan lalu dia menunggu panggilan disambung.
"Hi, Jaz! Sab dah siap ni." Kepalanya diangguk-anggukkan.
"Okay. Twenty minutes only!" Dia merengek. Pura-pura manja.
Panggilan diputuskan. Dia mula membelek wajahnya di cermin. Iana kurang suka menggunakan makeup. Pada usia muda ini, dia lebih selesa santai. Kadang-kadang saja Iana bersolek. Itu pun hasil tangan orang lain kerana Iana memang tak betah dengan alat solek.
Rambut paras bahu yang agak perang itu disisir rapi. Tatkala memintal hujung rambutnya itu, hatinya tiba-tiba sebak. Namun kesayuan itu segera diganti dengan benci berserta dendam yang membara.
Farhan. Izhar Izhan Farhan! Air mata yang mula bergenang disapu lembut.
Media
• Iana & Deena's penthouse living room
YOU ARE READING
IANA SABIRA: Curang
ChickLitAda perempuan yang memang suka pasang ramai selagi belum jumpa yang satu. Iana Sabira contohnya. Bacalah kisah Iana Sabira berdating sana sini tapi tak payah ikut perangainya kalau tak mahu dapat kekasih curang. Eh, nanti! Tak ada kena mengena. Cum...