#1

81 3 0
                                    

Hujan mencurah lagi. Agaknya memang lumrah apabila menjelang Tahun Baharu Cina, hujan akan turun hampir setiap hari. Jafni gelisah di atas katil. Lenanya terganggu. Jafni bangkit dari pembaringan lalu menuju ke arah jendela. Angin dingin berhembus lembut tatkala jendela dibuka luas. Gelap dan sunyi. Hanya bunyi katak bersahutan. Agaknya bunyi katak itu yang mengganggu tidurnya. Nyanyian katak yang sumbang itu agak nyaring juga. Besar juga peti suara seekor katak hingga suaranya boleh sampai ke bilik Jafni di tingkat atas rumah teres dua tingkat itu.

Jafni menutup semula jendela. Tempias hujan di luar sudah mula masuk ke dalam bilik. Dia kesejukan. Perlahan-lahan menghampiri katil, Jafni kembali berbaring di atas tilamnya yang empuk. Berbaring berbantalkan lengan. 'Bukan bunyi katak yang mengganggu,' fikir Jafni. Selama ini dia tetap lena didodoi irama katak-katak yang mungkin sedang mencari pasangan. Lantas, kerana apa maka malam ini sukar sekali melelapkan mata? Jafni menjeling jam di dinding. Sudah pukul empat pagi.

Dia teringat sesuatu. Oh, tidak! Bukan sesuatu tapi dia teringat seseorang! 'Mengapa harus ada kesal?' Hati Jafni merintih lagi. Entah untuk kali yang keberapa. 'Aku tak cintakan dia. Jadi aku tak rugi apa-apa!' tegas Jafni di dalam hati.

Sudah tiga bulan Jafni bersendirian tanpa isteri di sisi. Munirah, isteri yang setia diceraikannya dengan talak satu. Dengan alasan tidak mahu terus menyeksa Munirah, talak dilafazkan di mahkamah syariah, disaksikan kedua ibu bapa mereka. Bukan main marah lagi ibu bapa Jafni dengan keputusan itu. Mereka sayangkan Munirah seperti anak sendiri. Kala berselisih semasa keluar dari mahkamah, dengan wajah lembut Puan Asmah dan Encik Dahlan menyapa. Mereka malu dengan keluhuran hati ibu bapa Munirah. Tidak marah atau kecewa sedikit pun dengan tindak-tanduk anak mereka. Patutlah Munirah pun boleh bertenang. Anak-beranak itu memang berhati mulia! Jafni sahaja yang menolak tuah.

Jafni meraup wajahnya. Cuba menenangkan perasaannya sendiri. Sebak sungguh mengenangkan kemarahan Puan Rosni. Sebagai anak tunggal yang selama ini dimanjakan oleh Puan Rosni, sehari tak mendengar suara Puan Rosni pun dia boleh gelisah. Inikan pula Puan Rosni sengaja mogok suara dengannya. 'Mak, maafkan Jafni!' rintih Jafni dalam hati. Jafni tiba-tiba jadi takut. Ada satu lagi masalah! Dia teringat panggilan Ellysa pagi tadi.

"Berapa lama lagi I nak tunggu? Dulu kata tunggu habis iddah. Sekarang tunggu apa pula?" suara Ellysa membentak-bentak di hujung talian. Wanita ini kalau tidak dilayan beginilah jadinya. Ingat dunia dia yang punya!

"I bukan tak nak cepat-cepat kahwin dengan you tapi you tahu kan I baru sahaja lepas bercerai. Kalau I kahwin dengan you sekarang, apa pula kata parents I. I cerai dengan Munirah ni pun dia orang dah mengamuk sakan. You nak parents I tuduh you musnahkan rumah tangga I?" pujuk Jafni. Dia cuba bersabar.

Rasional alasan Jafni takkan difahami Ellysa. Gadis Iban yang menjadi kegilaan Jafni itu mahu semua kehendaknya dituruti. Dia sudah menunggu selama tiga tahun. Tempoh itu bukan sekejap. Bukan mudah melihat kekasih sendiri bersama orang lain di depan mata. Ellysa tidak sanggup lagi menanti. Dia ingin Jafni segera menjadi miliknya. Sudah puas menahan sakit hati dan cemburu. Dia cuma ingin ikatan yang sah antara dia dan Jafni. Takkan itu pun Jafni susah nak buat?

"You jangan bagi banyak alasan kat I, okey. Kalau you takut nak bagitahu parents you, biar I sahaja yang bersemuka dengan mereka. Dear, sampai bila you nak I jadi gundik you sahaja? I nak jadi isteri you lah!" Ellysa tetap tidak mahu mengalah. Jafni harus diikat segera. Bukan dia tidak kenal perangai buaya Jafni. Kalau dibiar bebas, tidak mustahil Jafni boleh bermain mata dengan wanita lain. Dia tahu sangat tentang perangai Jafni itu. Kalau tidak ada rupa dan harta agaknya sudah lama Ellysa ditinggalkan.

Jafni hanya berdiam. Malas mahu bertingkah kata. Dia tidak mahu bergaduh disebabkan perkara itu. Dia dan Ellysa sudah sepakat untuk berkahwin setelah semuanya reda. Kenapa sekarang ingin cepat-cepat dilangsungkan? Dia tidak mahu emaknya marah lagi padanya. Kemarahan Puan Rosni bukan boleh dibuat main! Sekarang ini pun Puan Rosni sudah melancarkan perang setelah dia menceraikan Munirah. Hendak cari pasal lagi? Ish... Jafni tidak berani.

"I settle satu-satu dulu, okey? Jangan risau, I sayangkan you. Walau apa pun yang berlaku, I'm yours, dear," Jafni mula memujuk Ellysa. Kalaulah Ellysa benar-benar ingin menemui kedua orang tuanya, nampaknya Jafni kena bertaubat dan membayar segala hutangnya kerana tidak mustahil selepas itu dia akan dibunuh ayahnya! Huh, nauzubillah min dzalik! Dia masih mahu hidup. Dia masih mahu enjoy.

Jafni duduk menghadap laptop di atas katil. Dia tidak mahu duduk di kerusi dekat meja yang ada di sisi katilnya. Lebih selesa duduk di tilam empuk. Laptop diletakkan di atas riba. 'Dah nama pun komputer riba, haruslah diletak di atas riba.' Jafni bermonolog sendiri. Dengan kaki melunjur, badan yang kepenatan disandarkan di kepala katil. Setelah duduk dalam keadaan yang selesa, tangannya lincah menaip id dan password e-melnya. Satu persatu e-mel diperiksa. Dia risau akan terlepas mana-mana jemputan ceramah. Kerjaya sebagai consultant memang memerlukan Jafni untuk sentiasa peka dengan jadual ceramah dan sebarang jemputan daripada pihak yang inginkan perkhidmatannya.

Jafni perasan sesuatu. Dia tidak lagi menerima e-mel daripada LUNA seperti selalu. Bahkan semua e-mel daripada blogspot tidak menyatakan LUNA ada membuat ulasan pada mana-mana post di blognya. Jafni kehairanan. Apabila dibelek-belek tarikh terakhir dia menerima e-mel daripada LUNA ialah sebulan yang lalu. Itu pun bukan madah cinta atau lirik lagu seperti yang biasa LUNA kirim kepadanya. Hanya ucapan selamat tinggal. Mengapa agaknya?

'Ah, sedangkan Ellysa yang aku layan dengan baik pun sudah bosan menunggu, inikan pula perempuan yang aku tak pernah ambil kisah tentang kewujudannya!' Jafni menganggap itu merupakan sebab LUNA menghilangkan diri. Biarlah, mungkin dia sudah ada seseorang yang istimewa lalu perasaanya terhadap Jafni lenyap begitu sahaja.

Tiba-tiba Jafni rasa ingin berjumpa dengan peminat rahsianya sejak bertahun-tahun itu. Tetapi sekarang LUNA sudah hilang. Hilang membawa cintanya. Begitu juga dengan Munirah. Dia juga menghilang sejak diceraikan. Walaupun Munirah tahu dia masih berhak untuk tinggal di rumah Jafni sepanjang tempoh iddahnya, dia tetap keluar dari rumah itu. Jafni mengeluh. 'Kenapa aku baru terasa kehadiran orang yang cinta pada aku setelah mereka tidak lagi menemani aku?'

Bodoh bukan perkataan yang tepat untuk ditujukan kepada Jafni. Dia sudah penat – jasmani dan rohani. Fikirnya, dia mampu menanggung rasa sakit akibat keputusan yang dibuatnya sendiri. Dia yang meninggalkan tetapi dia juga yang merasai kesakitan itu.

Jafni melakukan prosedur menutup laptop. Dia mengeliat seketika. Saat mahu menyambung semula tidur yang terganggu, terdengar azan subuh berkumandang dari surau yang hanya beberapa langkah dari rumahnya. Dengan malas, langkah dihayun ke bilik air untuk mengambil wudhu'. Dia mahu ke surau. Jafni tahu, di situ ada ketenangan yang dia cari.

ijW


Biar Dia PergiWhere stories live. Discover now