#2

53 2 0
                                    


2

Restoran Papadome, Matang (7 Februari 2013)

Senak perut Tarmizi menahan gelak. Sambung belajar? Dia tersalah dengarkah? Rasa lucu dipendamkan sahaja. Dia tidak sampai hati mahu ketawa lebih-lebih lagi apabila melihat wajah di hadapannya yang bertambah serius. Muncung sedepa!

"Moon tahu Abang Miji nak ketawakan Moon. So just let it out!" bentak Munirah tidak puas hati.

Apa yang lucu sangat? Seingatnya tadi dia tidak pun membuat sebarang persembahan lawak minggu ini. 'Abang Miji sudah gila,' rumus Munirah. Agaknya Tarmizi berasa lucu mengenangkan hasrat Munirah untuk menyambung pelajaran peringkat diploma di sebuah kolej swasta. Apa salahnya?

"Abang Miji bukan nak ketawakan Moon. Impian Moon memang baik. Memang bagus. Tapi Abang Miji rasa pelik, mengapa sekarang? Mengapa tidak dari dulu lagi? Umur Moon sekarang dah dua puluh tiga tahun, kan? Dah ada anak pun. Tak menyusahkan ke? Moon kena bekerja, jaga anak dan sekarang Moon perlu bahagikan masa untuk belajar." Suara pujukan Tarmizi tidak diendahkan Munirah.

Sebenarnya Munirah lebih suka masanya diisi dengan pelbagai aktiviti. Kalau banyak masa terluang, banyak ruang untuk dia kembali mengingati memori yang sedaya upaya dia lupakan. Sekurang-kurangnya, tumpuan terhadap tugas sebagai seorang pembantu tadbir, seorang ibu dan pelajar akan melekakannya dari mengingati kenangan pahit itu. Dan lebih penting dari itu, dia sebenarnya ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. CGPA yang diperolehi di peringkat STPM dahulu tidak cukup untuk melayakkan Munirah memasuki mana-mana IPTA. Disebabkan hal itulah Munirah mahu menjalani peperiksaan semula. Kali ini dia nekad untuk belajar bersungguh-sungguh.

Munirah memandang lurus ke hadapan. Tidak mahu menatap wajah Tarmizi yang masih dengan sisa-sisa senyuman yang ditahan-tahan sejak tadi. Makan malam yang sepatutnya berlangsung dalam suasana yang mesra tiba-tiba menjadi suram. Munirah sudah merajuk. Dia pura-pura mengacah anaknya, Zarith Sofia yang berada dalam pangkuan.

Tiba-tiba Munirah terpegun. Di hujung restoran itu ada seorang lelaki bersama seorang wanita yang saling berbalas renungan. Wanita yang mengandung itu meyakinkan Munirah bahawa pasangan tersebut merupakan suami isteri. Hatinya dipagut rasa cemburu. Alangkah beruntungnya wanita itu!

"Mengapa diam? Merajuk?" tanya Tarmizi setelah Munirah lama mendiamkan diri. "Abang Miji bukan nak halang Moon, Abang Miji cuma risau Moon tak mampu. Siang Moon bekerja, malam Moon belajar. Abang kasihankan Moon dan Sofia. Kalau siang memang ada yang jaga Sofia, bila malam macam mana?" pujuk Tarmizi lagi. Tarmizi tahu, tiada guna menghalang keputusan Munirah. Dia seorang yang tegas. Sekali-kali tidak akan mengubah keputusan sekalipun tindakan itu akan melukakan hatinya sendiri dan insan-insan yang menyayanginya.

Sama seperti keputusan yang dibuat tiga tahun dahulu. Mahu menerima pinangan keluarga Jafni, seorang playboy, kasanova! Semua ahli keluarga dan rakan-rakan meminta Munirah fikirkan keputusannya masak-masak. Berlainan pula tanggapan Munirah. Jafni bukan playboy, dia cuma pencinta wanita. Hendak kata apa lagi? Tengoklah sekarang, apa sudah jadi? Dirinya ditinggalkan setelah melahirkan Zarith Sofia. Dasar keras kepala!

"Abang Miji jangan risau. Moon dah bincang dengan mak. Dia janji akan tolong Moon jaga Sofia. Buat sementara waktu ini, ayah dan mak akan tinggal bersama Moon di Kuching. Bukannya lama, tiga tahun sahaja." Munirah menerangkan rancangannya kepada Tarmizi. Wajah kemelayuan teman lelaki kakaknya itu ditatap. Walaupun ibunya berketurunan cina, wajah Tarmizi sedikit pun tidak mewarisi kecerahan kulit bangsa itu. Cuma matanya yang sepet itu membuktikan dia bukanlah Melayu tulen. "Moon takkan susahkan Abang Miji. Moon tahu Abang Miji dah buat macam-macam untuk Moon. Kali ini, biarkan Moon berdikari."

Tarmizi menggeleng. Bukan itu yang dirisaukannya. Dia tidak pernah rasa terbeban membantu Munirah. Wanita cekal itu sudah dianggap seperti adiknya sendiri. Walaupun suatu ketika dahulu hatinya pernah terusik dengan kehadiran Munirah. Perkara itu biarlah menjadi rahsia dan hanya dia dan ALLAH sahaja yang tahu.

"Abang Miji tak nak Moon fikir macam itu. Kalau Moon sudah nekad, Abang Miji akan bantu Moon capai cita-cita Moon. Jangan anggap Abang Miji macam orang lain. Kita dah lama kenal. Dah macam keluarga."

"Terima kasih Abang Miji. Abang Miji baik sangat terhadap Moon. Tak terbalas rasanya budi Abang Miji. Moon doakan Abang Miji cepat-cepat kahwin dengan Kak Suriya supaya ada orang yang boleh jaga Abang Miji pula," ucap Munirah bersungguh-sungguh. Doa itu benar-benar lahir dari hatinya. Sudah tiba saatnya Abang Miji berumah tangga. Dia pun bukannya muda lagi.

"Kenapa nak kahwin cepat-cepat? Kalau Abang Miji tak kahwin dengan Suriya, Moon tak boleh jaga Abang Miji?" Tarmizi menjongket kening sambil melemparkan senyuman penuh makna.

Munirah tertunduk.

"Oh, ya! Jafni ada datang jumpa Moon tak lepas bercerai ni?" Tarmizi cepat-cepat menukar topik perbualan. Dia tidak mahu Munirah perasan rahsia hatinya.

"Jumpa Moon nak buat apa? Moon bukan isteri Jafni lagi," jelas Munirah bernada sayu. Namun hatinya tidak seirama dengan bibir yang berbicara. Menyebut nama Jafni menyebabkan rasa sakit tetapi rasa sakit itu terasa indah di hati. Seolah-olah dengan hanya menyebut nama, seluruh rasa rindunya terlerai.

"Maksud Abang Miji, ada tak dia jumpa anak dia ini? Memanglah tanggungjawab dia pada Moon berakhir sejak tempoh iddah habis tapi dia masih ada tanggungjawab pada Zarith Sofia." Tarmizi menegaskan suara. Baginya Munirah terlalu berlembut.

"Dia bank in duit setiap bulan. Cukuplah, Abang Miji. Sofia pun memang tak pernah kenal dia. Biar sampai bila-bila Sofia tak tahu siapa ayah dia. Itu mungkin yang terbaik untuk Sofia." Air mata Munirah menuruni pipinya. Cinta yang mendalam terhadap Jafni menguburkan segala kebencian.

'Jafni, rindukah kau padaku?' Anak dalam pangkuan didakap erat. Mengalirkan rasa kasih seorang ibu yang telah ditinggalkan.

R�][M��


You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Jan 05, 2016 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

Biar Dia PergiWhere stories live. Discover now