Tak sangka... tak sangka ayah menghalang penyatuan kami. Aku dan Carissa dah lama bersama. Hanya kerana dia dari bangsa lain, ayah aku tidak merestui? Daddy dan Mommy Carissa sendiri merestui hubungan kami.
Aku cintakan Carissa pada pandangan pertama sewaktu dia sedang sibuk mencari punca air. Aku yang sedang sibuk mencari gandum untuk kaumku terlihat dia yang kelihatan sedikit kebingungan.
Pada mula perkenalan, dia tidak biasa berbahasa bangsaku. Tapi setelah diajar, dia dapat menangkap dengan cepat.
Carissa sebelum ini hidup bagai pelarian setelah terperangkap didalam sebuah karung kepunyaan seorang manusia. Sedar-sedar sahaja, dia telah berada di dalam KLIA dan melarikan diri dari cengkaman manusia. Puas dia mencari pertolongan. Akhirnya Daddy dan Mommy mengambil dia sebagai anak angkat. Walaupun mereka tidak hidup berkelompok, tetapi pertolongan antara satu sama lain itu perlu bagi survival mereka di dalam dunia manusia kerana dalam dunia mereka, hanya perlu pokok dan tanaman untuk hidup. Kini, setelah manusia mula menjajah, mereka terpaksa hidup dengan manusia.
Manusia kini makin pandai. Perangkap, dan pelbagai racun digunakan untuk menghapuskan mereka. Mereka harus bersatu untuk hidup.
"Awak, saya..minta maaf. Mungkin sebab saya bukan dari sini dan saya hanya ada Mommy dan Daddy aje. Bukannya keluarga sebenar saya"
"Tak Carissa, Leman akan cari jalan supaya kita tetap dapat bersatu."
Ya.. Namaku Leman. Walaupun aku berasal dari kampung, aku dapat berhijrah ke bandar bersama kaumku yang lain. Kami sudah membina empayar yang besar di dunia manusia. Semua manusia dengki dengan kejayaan kami. Setiap hari ada sahaja kematian yang dilaporkan dari kaum kami. Kami makin kekurangan anggota.
Hadirnya Carissa ini boleh membantu ayahku. Tetapi dia terlalu degil dan ego hanya kerana dia mempunyai kuasa besar dalam kaum kami.
Apa salahnya kami bersatu? Sekurang-kurangnya kami dapat mengembangkan empayar dan menghapuskan kuasa manusia?
Aku sayangkan Carissa. Aku mesti mencari jalan untuk bersama dengannya.
Persetankan segala apa yang ayah fikirkan.
"Daddy dengar tak jauh dari sini, manusia membuka sebuah hutan untuk kaum kita".
Kata-kata Daddy mengejutkan aku. Manusia bersatu dengan kami? Biar betul? Aku tak sangka..
Mungkin aku patut keluar dan hidup bersama Carissa di sana.
---
"Kalau ayah tidak merestui kami, biar kami pergi. Biar kami lari dari sini"
"Pergilah! Kau akan menyesal Leman. Jangan kau cuba minta bantuan ayah. Kau bukan anak aku lagi"
Aku tarik Carissa dan terus berjalan keluar.
Percubaan terakhir aku untuk memujuk ayah berakhir dengan ayah membuang aku dari keluarga. Biarlah ayahku dengan ego dia.
Carissa menangis. Eh eh, over pulak dia ni. Aku yang patut nangis apesal dia pulak nangis?
Kami pulang ke rumah Carissa dan menyiapkan diri untuk berhijrah ke hutan simpan buatan manusia. Mungkin mereka benar-benar sudah ingin berbaik dengan kami.
"Leman, aku dengar ayah kau tempatkan bodyguard di setiap pintu keluar untuk menghalang kau. Bodyguard besar-besar. Kau pun tak mampu nak melawan", Luna dari puak Mommy dan Daddy memaklumkan kepada aku.
"Eh? Kata aku akan menyesal. Dia pasang bodyguard pulak? Dia ke yang menyesal buang aku?"
"Aku tak tahulah.. tapi kau mesti berhati-hati"
"Baiklah sahabat. Semoga kita berjumpa lagi".
Carissa memeluk Luna dan menangis. Begitu lembut hati Carissa. Dah dua kali dia menangis harini.
----------
Eh, pintu satu ada bodyguard tapi dah mati. Siapa yang bunuh mereka? Aku berlari ke arah pintu kedua dan terlihat dua bodyguard berbadan besar baring terlentang, tidak bernafas.
Aku terbau gas. Gas beracun. Manusia punya angkara.
Aku dan Carissa melarikan diri ke pintu ketiga, pintu terakhir. Bau gas kurang disini tetapi dua pasang bodyguard telah mati. Sungguh kejam manusia. Aku ingatkan dengan adanya hutan simpan, semua manusia sudah mula menghargai kami. Rupanya tidak.
Aku merasakan gegaran.. aku melihat ke atas.
Dan...
*pssssstttttt*
Air beracun disembur ke arahku dan Carissa. Menggelupur kami untuk menyelamatkan diri.
*pssssssstttt*
Air beracun disembur lagi dan aku melihat Carissa semakin lemah. Aku cuba mencapai Carissa.
Carissa mati.
Aku berada dekat dengan Carissa dan cuba menghargai masa terakhir aku dengannya. Sebelum menutup mata, aku terdengar suara manusia. Walaupun aku tidak mengerti bahasanya, aku percaya itu sumpah seranah..
Selamat tinggal dunia.
Sekurang-kurangnya kami mati bersama.
-------------------------------
"HAH! Mati pun kau lipas. Apasal banyak sangat lipas kat pintu ni? Tadi dua dekat pintu dapur, dua lagi dekat pintu bilik air ni empat dekat pintu masuk. Eh eehh dia bergerak lagi"
Selepas menyembur kali kedua, Haryati tersenyum.
"Mati pun lipas ni"
--------Inspirasi nama.
Carissa = Cockroach.
Leman, Luna = Lipas.
:P