Assalamualaikum Warahmatullah. Bismillahirrahmanirrahim. Alhamdulillahi Robbil A'lamin. Segala pujian tertentu kembali pada Allah, Wasolatu Wassalamu A'la Asyrafil Anbiyai Wal Mursalin, Walhamdulillahi Rabbil A'lamin. Seperti mana kita dengar sabda Nabi SAW, wanita yang menjadi penghulu Syurga iaitu:
1) Siti Maryam bint Imran RA,
2) Asiyah (Isteri Firaun) RA,
3) Siti Khadijah bint Khuwalid RA,
4) Siti Fatimah bint Nabi Muhammad (SAW).Jadi kita sudah bincang tentang dua tokoh pada part yang lepas iaitu Siti Maryam dan Asiyah RA, kini kita akan bincang pula tentang Siti Khadijah dan juga Siti Fatimah RA. Dalam ringkasan, Siti Maryam RA seperti dibincangkan merupakan wanita yang sangat bertaqwa kepada Allah. Seorang yang benar benar solehah. Siang malam beribadah dan tumpukan segala hanya kepada Allah. Tidak ada masa untuk memikirkan tentang hal dunia, mahupun tentang hal ajnabi. Tidak pernah berjumpa ataupun bersembang sekali pun dengan ajnabi. Malah hanya jumpa dia dalam biliknya adalah pakciknya iaitu Nabi Zakariah. Tidak pernah berdua-duaan dengan lelaki ajnabi. Pakaiannya sangat menutup aurat dan mempunyai Haya' iaitu perasaan malu yang cukup tinggi. Dan apabila beliau diuji oleh Allah iaitu untuk mengandung tanpa suami. Dia tetap bersabar dan kuat apabila dia digelarkan perempuan zina, perempuan luar nikah dan sebagainya. Difitnah dia telah berzina, Nauzubillah, sebab bayi yang dilahirkan tanpa seorang ayah. Tapi lihat statusnya hingga Allah muliakan beliau hingga jadikan satu surah yang dinamakan Surah Maryam.
Lagi satu pula adalah Asiyah yang dimana menjadi isteri kepada lelaki yang paling jahat iaitu Firaun Laknatullah. Yang cuba paksa isterinya untuk murtad dan ikut sembah dia sebagai tuhan. Meskipun hidup dalam istana besar dengan harta mewah, tetapi itu semua tidak dapat menipu Asiyah. Asiyah tetap pilih Allah, RasulNya dan agamaNya. Hingga akhirnya, Asiyah dibunuh dengan cukup kejam sebab degil untuk murtad. Jadi inilah dua tokoh yang telah kita ceritakan pada part lepas. InshaAllah, part ini kita akan ceritakan tentang lagi dua. Dan kita akan bermula dengan Siti Khadijah bint Khuwalid.
Sayyidatina Khadijah bint Khuwalid Al Ummul Mukminin RA merupakan isteri yang sangat taat dan sentiasa berbakti kepada suaminya iaitu Nabi Muhammad SAW. Dikisahkan, Khadijah RA merupakan seorang yang kaya kerana ayahnya, Khuwalid merupakan saudagar yang kaya. Apabila Khuwalid meninggal dunia maka Khadijah ambil alih perniagaan ayahnya dan menjadi seorang yang kaya. Sayyidatina Khadijah RA telah berkahwin dengan suami yang pertama lalu suami pertamanya meninggal dunia. Lalu Khadijah kahwin dengan suami yang kedua, dan pernikahan tersebut tidak lama. Maka Khadijah merupakan seorang yang janda. Sayyidatina Khadijah RA mempunyai perniagaan yang bagus di Kota Mekah dan mempunyai seorang hamba yang sangat dipercayai iaitu Maisarah. Dan dikatakan Rasulullah SAW (yang masih belum diutuskan lagi) pun kerja di bawah Sayyidatina Khadijah RA.
Dan diringkaskan cerita, Sayyidatina Khadijah RA tertarik dengan sifat dan personaliti Rasulullah SAW yang sangat baik, amanah dan boleh dipercayai. Tidak pernah mengambil kesempatan untuk curi harta Sayyidatina Khadijah RA ketika berdagang di luar negara. Sangat amanah dan berakhlak baik. Sayyidatina Khadijah RA walaupun dilamar oleh ramai lelaki yang berharta dan berstatus tetapi semua itu ditolak. Maka dia pun bercadang untuk melamar Rasulullah SAW. Sebab itu perempuan jika ada lelaki yang soleh dan baik akhlak dan agamanya. Tidak jadi satu kesalahan untuk pihak perempuan buat lamaran tersebut. Tetapi Sayyidatina Khadijah RA sangat segan untuk buat lamaran tersebut maka dia gunakan pihak tengah iaitu sahabat dia yang bernama Nafisah bint Manbah. Maka Nafisah pun pergi dan hampiri Rasulullah SAW dan minta kebenaran untuk bertanya soalan peribadi maka Rasulullah SAW membenarkan. Nafisah pun bertanya, kenapa Rasulullah SAW tidak bernikah lagi? Jawab Rasulullah SAW, ia adalah tentang isu kewangan. Lalu Nafisah bertanya lagi jika ada seorang wanita yang cantik lagi berharta dan ingin nikah dengan Rasulullah SAW, adakah Baginda mahu? Maka Rasulullah SAW bertanya siapakah orangnya? Maka jawab Nafisah, Khadijah bint Khuwalid. Baginda SAW bersetuju. Maka bernikahlah Rasulullah SAW dan Siti Khadijah. Dikatakan Rasulullah SAW dalam umur 25 tahun dan Siti Khadijah berumur 40 tahun. Tetapi ada ulama yang berpendapat Siti Khadijah masih dalam umur 28 tahun. Wallahualam, khilaf ulama.