Assalamualaikum Warahmatullah. Bismillahirrahmanirrahim. Alhamdulillahi Robbil A'lamin. Segala pujian tertentu kembali pada Allah, Wasolatu Wassalamu A'la Asyrafil Anbiyai Wal Mursalin, Walhamdulillahi Rabbil A'lamin. Kita bersyukur kepada Allah dan berharap kali ini kita mendapat ilmu yang bermanfaat. InshaAllah.
Alhamdulillah, kita sudah bincangkan pada usrah yang lepas berkenaan beberapa Sahabat Nabi ﷺ, antaranya adalah 4 Khalifah ar-Rasyidin, selepas itu 10 Sahabat yang dijamin syurga dan diikuti dengan Sahabat Nabi ﷺ yang lain. Tapi sepanjang ini, kita tidak pernah bincang tentang wanita, adakah wanita ini memang tiada tokoh untuk kita ambil pengajaran darinya juga? Atau hanya lelaki yang boleh menjadi mulia di sisi Allah dan wanita itu tidak apa-apa darjat? Maka jawabnya sudah tentulah tidak, Islam adalah agama yang hormati dan muliakan para wanita. Sebab itu kita ingin kongsikan pula tokoh wanita pada malam ini, InshaAllah. Jadi itulah tajuk kita, iaitu "4 Wanita Penghulu Syurga."
Mungkin ada yang tahu siapakah 4 orang ini? Tapi 4 orang ini cukup mulia di sisi Allah dan masing-masing mempunyai kisah yang tersendiri. Jadi siapakah 4 orang ini? Ia berdasarkan hadis Nabi ﷺ, Rasulullah ﷺ bersabda, "Wanita penghuni syurga yang paling utama adalah Khadijah binti Khuwailid, Fathimah binti Muhammad, Maryam binti Imran, dan Asiyah binti Mazahim istri Firaun." [Hadis sahih riwayat Ahmad, Thabrani, Hakim, Thahawi dalam Shahih Al Jami'As Saghir no.1135 dan Silsilah Al Hadits Al Shahihah no.1508].
Tapi jangan salah faham, bagaimana pula dengan wanita lain, adakah mereka tidak mulia? Bukan, malah ramai lagi wanita yang mulia, antaranya seperti isteri Nabi Ibrahim, isteri Rasulullah ﷺ iaitu Ummul Mukminin dan Sahabat-Sahabat Nabi yang wanita, mereka pun cukup mulia. Sebab itu dalam hadis, Ali Ibn Abi Talib riwayatkan bahawa Rasulullah ﷺ bersabda, "Sebaik-baik wanita adalah Maryam (ketika zamannya), dan sebaik-baik wanita adalah Khadijah (ketika zamannya)." [Sahih Al-Bukhari].
Jadi, InshaAllah kita akan kongsikan satu persatu. Part ini kita akan kongsi dua tokoh sahaja, iaitu Siti Maryam dan Asiyah (isteri kepada Firaun). Kita mulakan dengan Sayyidatina Maryam binti Imran RA. Yang seperti kita tahu, dialah ibu kepada Nabi Isa AS. Dia merupakan seorang wanita yang sangat mulia hingga namanya dijadikan nama surah dalam al-Quran iaitu surah Maryam. Siti Maryam RA adalah seorang perempuan yang sangat soleh dan menggunakan sepanjang hayatnya hanya untuk beribadah kepada Allah. Ada ulama' yang berpendapat Siti Maryam adalah nabi, jangan pelik, sila baca dahulu. Seperti yang kita tahu rasul dan nabi ini hanya lelaki dan tidak ada perempuan, tapi menurut segelintir ulama mengatakan jika perempuan boleh jadi nabi, maka Siti Maryam adalah nabi. Walaubagaimana pun pendapat ini lemah dan bukanlah pendapat yang dipersetujui oleh ramai ulama, bukan pendapat yang jumhur. Kita mengatakan Siti Maryam hanya wali Allah yang sangat mulia di sisi Allah dan bukanlah nabi. Yang kata Siti Maryam adalah nabi, itu cuma pendapat yang lemah ya. Wallahualam.
Siti Maryam RA merupakan anak perempuan yang satu satunya daripada keluarga Imran yakni ayahnya. Imran RA merupakan lelaki yang bertaqwa dan dia bersama isterinya teringin jadikan anak mereka untuk menjadi hamba yang soleh juga. Ingat semua, apabila kita ingin mempunyai anak, niatkan dan berdoa kepada Allah supaya anak kita akan menjadi hamba Allah yang soleh dan hamba Allah yang memperjuangkan Islam. Dan apabila isteri Imran mengandung, Imran meninggal dunia dan tidak sempat melihat anaknya dilahirkan. Maka Siti Maryam pun dilahirkan tetapi tidak sangka Allah SWT memberikan mereka anak perempuan, kerana perempuan agak susah untuk masuk ke tempat ibadah yang dinamakan sebagai kuil.
Zaman dahulu, mereka ikut ajaran Nabi Musa dan Kitab Taurat. Asalnya kuil ini tempat sembah Allah dan ikut agama Islam. Tapi kini kuil sudah ikut agama yang telah diubah oleh manusia. Maka pihak kuil membenarkan Siti Maryam untuk masuk kuil dan tinggal disana tapi dengan syarat, mesti ada seseorang untuk menjaganya. Maka Nabi Zakariah iaitu pakcik kepada Siti Maryam pun menawarkankan diri untuk menjaganya.