Krikk...
Perlahan Encik Azhar membuka pintu bilik itu. Dibuka luas, namun tidak pula beliau melangkah masuk. Encik Azhar sekadar tercegat di muka pintu. Matanya menghayati setiap inci pemandangan dalam bilik itu.
Katil bujang, dengan motif langit pada cadarnya. Kemudian, pandangannya beralih memandang meja belajar di sebelahnya. Terdapat beberapa buah buku rujukan tersusun secara bertingkat. Kemas dan bersih sekali keadaannya.
. . . .
Dan pada saat itu, wajahnya berubah suram. Aliran tangisan ditahan sedaya termampu. Langkahnya dibuka, berjalan perlahan mendekati katil. Dengan penuh berhati-hati, Encik Azhar melabuhkan punggung, dan kemudiannya baring sehingga posisi badannya berkeadaan selesa. Matanya tertancap pada siling, memandang kosong tanpa sebab untuk seketika. Keluhan berat kemudian dilepaskan. Tangan kanannya menyeluk poket seluar, mengeluarkan sepucuk surat yang dilipat kecil.
Kepada ayah.
Lama Encik Azhar merenung tulisan pada surat itu. Tulisan anak terunanya.
Lipatan kemudian dibuka satu persatu, mendedahkan isinya.
Ayah...
Pada saat ayah baca surat ini, Radhi sudah tiada lagi di dunia ini.
Tatkala bebola matanya membaca bait itu, fikirannya menerawang mengenangkan saat lalu. Saat egonya menjadi punca kehilangan satu jiwa yang disayangi.
Suatu penyesalan buat Encik Azhar.
* * * * * * *
Dua tahun lalu...
Radhi menghempas sehelai kertas pada meja kopi. Raut wajahnya jelas meluahkan amarah. "Ayah, ini apa?"
"Kertas." Encik Azhar membalas selamba, sambil menghirup kopi O hangat.
"Ha. Ha. Pandai ayah buat lawak, ya!" Radhi buat muka jengkel. Encik Azhar sekadar berdiam. Radhi menyambung perbualannya sambil menonjolkan wajahnya yang tidak senang, "Ayah tahu Radhi tak pernah mohon masuk ke IPG, bukan?"
"Oh. Baguslah kamu mengaku. Ayah sendiri pun sudah agak kamu takkan buat begitu!"
Tangan Radhi kuat menghempas meja sehingga ia bergegar. "Dan ayah sendiri pun patutnya sudah tahu yang Radhi tak mahu ke situ!"
Ya. Kata Radhi itu benar. Bukannya Encik Azhar tidak tahu mengenai hal itu. Dia sudah lali dengan impian Radhi untuk menjadi seorang pereka fesyen. Bahkan, Radhi juga pernah menjuarai beberapa pertandingan rekaan baju yang dianjurkan oleh majalah fesyen tempatan. Malah, ada ura-ura yang mengatakan Radhi mendapat perhatian oleh beberapa ahli pereka fesyen terkenal tempatan. Tetapi, dia tahu...
Itu impian yang tidak realistik, bahkan sudah jelas bahawa hampir tidak semua berpeluang untuk menjadi seperti Dato' Jimmy Choo. Itu adalah suatu kebodohan bagi mereka yang cuba melayari jalan itu, sekalipun mereka sedarkan hakikatnya.
Hanya kerana sedikit kejayaan yang diperolehi, mereka menyangkakan bahawa diri mereka berbakat? Sama taraf seperti para professional di luar sana?
Sungguh manusia dari spesis ini bodoh, delusif dan buta!
Sudah ada jalan senang, mengapa mahu pilih jalan yang susah?
Atas sebab itu, Encik Azhar perlu selamatkan Radhi dari menjadi mangsa kebodohan itu. Kerana itulah tanggungjawabnya sebagai seorang bapa.
"Ayah buat semua ini demi kebaikan kamu!"
"Baik! Apa kebaikannya?" Nada suara Radhi penuh ego, tanpa sebarang perasaan hormat terhadap ayahnya. Amarah sudah benar-benar mengusutkan fikirannya.
YOU ARE READING
SUICIDE LETTER - DIM -
AléatoireTiada guna menyesal. Tiada guna menangis. Segalanya telah terjadi. Anaknya sudah mati. Bunuh diri, katanya. Yang tinggal hanya nukilan terakhir darinya. Dia hanya mampu membaca. Nukilan yang menceritakan punca segalanya.