Prolog

266 4 2
                                    


Sebuah banglo yang kusam tersergam megah di balik rimbunan pepohon liar. Laju sahaja langkahnya menginjak laluan bongkah-bongkah konkrit heksagonal yang kelabu dan merah pudar itu. Kelibat seorang budak perempuan berkebaya merah menggamit perhatiannya. Tangan kecil melambai-lambai memberi isyarat agar dia terus menapak. Gelak tawa kecil kedengaran sekali-sekala memecah sepi pagi yang disulami cahaya mentari. Deretan bunga ros memenuhi taman dengan lebah-lebah berterbangan seiring dengan kupu-kupu putih kepaknya.

Mereka melalui sebuah kolam buatan manusia yang luas namun tidak berfungsi. Akar-akar kayu berlingkar memenuhi jubin putih yang membentuk perimeter oktagonal kolam yang punya patung Cupid di tengah-tengahnya dalam posisi membidik panah cinta ke udara.

Akhirnya, mereka tiba di sebidang padang yang luas dengan sekumpulan kanak-kanak berpakaian putih mengelilingi sebatang pokok besar sepuluh pemeluk lelaki dewasa diameternya. Mereka berkejaran antara satu sama lain dan membaling capal masing-masing ke arah pohon besar itu. Kehadiran budak perempuan berkebaya merah membantutkan permainan mereka dan suasana menjadi muram tiba-tiba.

Tangan kecil menuding ke arah pokok besar itu dan seraya itu jugalah dahan-dahan pokok bagaikan hidup. Dahan-dahan pohon yang berbelit-belit uratnya mula bergerak sepertimana gerombolan ular gergasi yang mahu mencekup mangsanya. Satu-persatu tubuh kanak-kanak berpakaian putih disambar lalu dijerut ganas sehingga memburaikan isi perut mereka. Pohon itu dan persekitarannya bermandikan darah dan cebis-cebis daging manusia. Angin kencang bertiup dari segenap arah. Langit mula kelabu dengan awan-awan hitam.

Budak perempuan berkebaya merah menyeringai menampakkan wajahnya yang berubah menjadi kosong tanpa mata dan hidung. Hanya mulutnya yang ternganga luas menampakkan deretan gigi kuning yang runcing. Tawanya mengilai-ngilai.

Ketakutan.

Kadir ketakutan dan hanya mampu terduduk di atas padang hijau yang kini dipenuhi cebis daging manusia itu. Tawa budak perempuan berkebaya merah bagai tiada penghujungan.

Kadir mengangis semahu-mahunya. Dia tahu, mimpi ngeri itu tidak berakhir begitu sahaja.

MONARKIWhere stories live. Discover now