kalau kamu perasan, aku menulis bukan waktu aku bergoyang kaki. aku menulis waktu kamu tinggalkan aku sementara, untuk memberi nafkah pada yang satu lagi..dan waktu sebegini, tinggal lah aku bersama tulisan-tulisanku berserta pena yang hampir habis dakwatnya...
ada satu ketikanya, kekasihku. aku merasa berdosa bila akalku menyuruh hatiku berhenti mahukan mu. menyuruh aku memandang lelaki yang separuh nyawanya menunggu aku dibalik tirai hijab yang memisahkan dunia aku bersama kamu dengan yang lain. menyuruh aku meruntuhkan harapan-harapan aku yang kamu pernah berikan.
semuanya kerana masa, masa yang terlalu sedikit untuk aku dengan kamu. Dengan hati yang terlalu cemburu melihatkan kamu biasa gembira tawamu dan membiarkan yang lain menyaksikan kebahagian kalian. Sedang aku, masih lagi disembunyikan dibalik dinding yang kamu bina asalkan tidak dilihat mereka. Aku mengerti kekasihku, akan niat dan mahumu, memegahkan aku kelak dengan barakah yang bakal diperoleh. Dan setiap kalinya aku bertanyakan tentang keberadaan waktu itu, kamu bilang,
" bersabar lah kekasihku, waktu itu bakal tiba cuma perlukan kesabaran kita .."
Aku masih memegang kata-katamu. Walhal bila ditinggalkan beberapa minggu, aku dihenyak rasa bersalah bila membalas pesanan-pesanan ringkas sahabat aku yang mesejnya banyak melibatkan hati dan perasaan...... aku masih cuba meneguhkan hati menunggu kamu biarpun ada yang berjanji menabur ayat serupa gula untuk menjadikan aku suri dihati mereka. Aku masih menunggumu, kekasihku...
Tidaklah aku mahu menjadi gadis yang bodoh pergi ke lelaki yang lebih ada masanya dengan aku tapi belum tentu dia seperti kamu. Biarpun kamulah yang punyai sedikit masanya denganku, tapi tiap kalinya aku sedih atau senang, waktu aku cantik atau wajahku dibalik lumpur, kamu yang selalu ada. Masih ada, dan tidak berganjak sedikitpun.... Biarlah aku masih disembunyikan dibalik dinding binaan kamu, biarlah mereka tidak mengetahui keberadaan dan kewujudan aku dalam hari-hari kamu, asal aku masih kamu puja ditiap malam-malam kita, kekasihku. Aku mencintai kamu apa adanya dirimu.