Manusia Berkepala Anjing

253 8 0
                                    


Imam Hamid mengedutkan dahinya hingga berlapis empat. Dia renung muka datuk. Dia renung muka saya hingga kepucatan yang terhampir di wajahnya hilang.

"Mustahak ke ?" soalnya agak ragu.

"Memang mustahak, perkara yang mahu diceritakan ni ada hubungannya dengan diri Pak Imam."

"Dengan diri saya ?"

"Iya," datuk angguk kepala.

Tanpa banyak bicara Imam Hamid mengikut datuk dan saya ke rumah. Kami bertiga duduk bersila di anjung rumah. Macam selalu datuk bila berbual suka bersandar. Sebelah kakinya berdiri lutut. Ini memang amalan datuk. Menurut datuk duduk begitu bukan duduk yang kosong. Duduk yang ada makna. Susah kalau musuh mahu menyerang, payah hantu syaitan mahu mengoda.

"Apa dia perkara yang mustahak tu?" Imam Hamid mula mendesak. Datuk tersenyum. Serentak dengan itu nenek pun meletakkan tiga cawan kopi di depan kami.

"Begini," datuk menggeliat dan terus bercerita : Anjang Dollah sudah mati, pagi esok kita terpaksa uruskan mayatnya untuk di tanam. Dia mati dibunuh syaitan yang dibelanya." Imam Hamid terkejut. Kemudain dia senyum. Sepasang matanya merauti paras datuk. Saya cuma diam sahaja. Tidak baik campur orang tua-tua bercakap.

"Pemintaan saya diberkati Allah." Itu yang terhambur dari mulut Imam Hamid. Matanya bercahaya memandang muka saya.

"Dengan apa Pak Imam membinasakan kerja laknat tu, "datuk terus bertanya. Imam Hamid gosok batang hidungnya beberapa kali.

"Dengan ayat Quran, kau harus tahu tidak ada kuasa yang dapat mengatasi kekuasaan Tuhan, lagi pun dalam Quran sudah lengkap semuanya. Kerja jahat memang tidak diberkati Tuhan." Itulah yang diberitahu oleh Imam Hamid pada datuk. Datuk angguk kepala. Imam Hamid pun terus bercerita pada datuk tentang diri Anjang Dollah. Menurut Imam Hamid, Anjang Dollah memanglah dukun yang tidak bersih. Ia tidak mengamalkan ilmu kedudukannya untuk kebaikan manusia. Dia bekerja bergurukan syaitan. Kerjanya mengorek kubur perempuan mati beranak, suka ambil kain kapan rambut orang yang baru mati beranak.

"Agaknya dia dukun sihir Pak Imam," dengan mendadak datuk bersuara. Imam Hamid mengakuinya sambil berkata : " Dia sudah dipengaruhi syaitan sanggup mengambil darah orang mati beranak untuk makanan syaitan yang dipeliharanya."

"Siapa pula yang di belanya tu ?" saya tanya. Datuk merenung dengan marah pada saya.

"Hantu itu, adik perempuannya sendiri, dia potong kepalanya dan hal tu tak dikesan oleh sesiapapun."

"Dahsyatnya," ujar datuk.

"Memang dahsyat dan aku menduga dia akan mengorek kubur anak aku. Jadi aku bersedia untuk menghantarkannya." Imam Hamid berhenti bercerita. Dia minta diri untuk pulang ke rumahnya. Mula daripada malam itulah datuk mendapat tahu, bahawa Imam Hamid bukan sebarang orang. Dia banyak ilmu dunia dan akhirat. Sifat orang terpuji pada diri Imam Hamid kerana dia tidak mahu menunjukkan kebolehannya di mata orang ramai. Inilah yang mengkagumkan diri datuk.

Sebaik sahaja Imam Hamid pulang. Saya dan datuk tidak dapat tidur. Rumah datuk diganggu dengan bermacam-macam cara. Pintu rumah datuk terbuka dengan sendiri. Kelambu datuk terbakar sendiri. Paling mengerikan bila rumah dibaling dengan batu dan kayu. Datuk tidak bertindak dia cuma membiarkan sahaja. Dia cukup tenang duduk di tengah rumah. Bila datuk mahu pergi ke perigi untuk mengambil air sembahyang. Dia terkejut. Ruang luas di anjung rumahnya penuh dengan daun buluh dan batang pisang.

"Syaitan, semuanya kerja syaitan," keluh datuk. Dia terus ke perigi. Saya juga ikut ke perigi. Kami sembahyang subuh bersama. Selesai sahaja datuk sembahyang semua daun pisang dan batang buluh hilang. Pagi itu, kami berdua segera pergi ke tanah kubur. Sampai sahaja di kawasan tanah perkuburan. Imam Hamid dan beberapa orang kawannya sudah berada di situ. Mayat Anjang Dollah sudah dimasukkan ke dalam guni. Dua orang anak muda sudapun mengandar guni yang berisi mayat Anjang Dollah.

Siri Bercakap Dengan Jin - Karya Tamar JalisWhere stories live. Discover now