Melihat Jembalang Air

274 7 0
                                    


Datuk menghadapi peristiwa itu dengan tenang. Dan ular terus menghampirinya. Datuk cabut golok perak di pinggang.

"Kalau kau berniat baik kau lalu, kalau niatmu buruk kau berhenti." Sebaik sahaja datuk mengakhiri cakapnya itu ular sudah pun berada di depannya. Ular pun pangung kepala. Bagaikan kilat datuk mencantas kepala ular. Badan ular terus dikerat tiga. Jatuh ke dalam perut sungai satu-satu. Barulah puas hati datuk. Malam bertambah dingin. Daun-daun pokok di kiri kanan jalan bergerak-gerak diterajang oleh angin. Bunyi suara burung hantu bersahut-sahutan. Di selang-seli dengan raungan anjing yang mendayu-dayu.

Datuk merenung ke dalam sungai. Datuk lihat air sungai yang mengalir tenang itu bergolak dan berombak. Datuk pasti di tempat air yang beralun dan berombak itulah bangkai ular yang dipotongnya jatuh. Makin lama, makin kuat alun dan gelombang air sungai itu bersama dengan bunyi yang hebat. Datuk terdengar bagaikan ada orang mandi di situ. Datuk termenung. Belum pernah dia berhadapan dengan hal-hal begitu. Mata datuk terus juga merenung pada air sungai yang beralun dan berbunyi dengan teliti. Datuk berdebar juga. Terniat dalam hatinya mahu meninggalkan tempat tersebut. Niat itu mati dengan sendirinya, bila timbul desakan dalam hatinya untuk mengetahui apakah benda dalam perut sungai.

Dalam suasana agak kelam-kabut itu. Datuk terpandang, air sungai mula melimpah ke tebing. Di tengag-tengah sungai itu timbul satu lembaga besar hitam, badannya sebesar kerbau jantan. Lembaga itu terus timbul. Setiap kali lembaga itu bergerak. Air terus bergelombang merempuh pokok-pokok keladi di tebing sungai. Semuanya tumbang. Macam selalu, bila berhadapan dengan perkara-perkara yang aneh datuk akan membaca ayat suci al-quran. Kali ini datuk membaca ayat 'Kursi' dengan khusuk. Semasa dia membaca ayat-ayat itu lembaga di dalam sungai terus mengamuk dan bertempik, bagaikan suara gajah. Datuk tidak peduli. Dia terus membaca. Bila ayat itu habis dibaca. Suasana di dalam sungai kembali normal. Air sungai terus mengalir tenang. Daun-daun pokok tidak bergerak meskipun angin malam bertiup.

"Syaitan ?" kata datuk sambil meninggal kan tempat tersebut. Datuk terus mendapatkan anak buahnya. Mereka berkumpul kerana hari sudahpun beransur cerah. Datuk terus membawa anak buahnya ke surau dan menunaikan sembahyang subuh. Lepas sembahyang subuh mereka pun berpecah meneruskan kerja masing-masing. Separuh dari pada anak buahnya terus ke Paya Besar menoreh getah dan separuh lagi pergi ke tempat perusahaan membuat batu-bata di Jalan Parit. Banyak juga anak buah datuk yang menjadi buruh di syarikat perusahaan itu.

Datuk tidak pula menceritakan apa yang dialaminya pada orang-orang kampung. Walaupun begitu, ada juga orang kampung yang mengalami peristiwa seperti yang datuk alami itu bila berjalan malam di jambatan besi tersebut. Jambatan besi itu masih ada lagi hingga sekarang, terletak di antara Kampung Pulau Kabung dengan Kampung Mandi Upeh. Tapi , peristiwa ganjil seperti yang dialami oleh datuk itu tidak berlaku lagi.

Di kiri kanan jambatan besi itu kini sudah penuh dengan rumah kediaman. Kadang-kadang jambatan itu jadi tempat persinggahan anak muda pada setiap malam, selepas mereka menonton wayang di Pekan Sitiawan, Air Tawar atau Bruas. Dan kalau diceritakan kisah-kisah aneh pada mereka. Mereka tidak akan percaya, malah mereka akan mengetawakan pada orang yang menceritakannya.

Sebulan selepas dari peristiwa yang aneh itu, pada satu malam rumah datuk didatangi oleh seorang pemuda Udin namanya. Dia meminta jasa baik datuk untuk membuat air penawar pada anak kecilnya yang sudah seminggu menangis malam.

"Agaknya perut anak kau kembung," kata datuk sambil merenung muka Udin.

"Sudah berbotol minyak angin saya lumurkan ke perutnya." Jawab Udin dengan tenang. Datuk terdiam kerana dia tahu, dia bukanlah seorang dukun atau pawang, tapi kerana dia merupakan orang yahng tertua di kampung tersebut, dia dianggap tahu dalam hal-hal kedukunan.

"Bawa saja anak kau ke klinik," datuk mengesyurkan. Udin terdiam sejenak. Muka datuk direnungnya lama-lama.

"Malam klinik dah tutup."

Siri Bercakap Dengan Jin - Karya Tamar JalisWhere stories live. Discover now