Bab 1

1.6K 24 2
                                    

PALUAN kompang yang bergema menyambut kedatangan mempelai, menarik perhatian tetamu yang hadir. Masing-masing berpusu-pusu mahu melihat pasangan raja sehari yang sedang diarak ke pelamin yang dihias cantik di luar rumah.

Selesai sesi bergambar bersama rakan-rakan, sanak-saudara dan sebagainya, Nazneen dan Fahmi dibawa ke meja makan beradab bersama keluarga Fahmi yang lain. Kedua-dua mereka yang mengenakan persalinan berwarna kuning emas tampak ceria melayan sahabat handal dan saudara mara yang hadir.

Zill Faezrul menarik kain pengesat yang tersangkut di bahu untuk mengesat tangan yang basah.

"Abang Zahar, saya nak ke depan sekejaplah. Nak tengok-tengok orang sekejap. Kot-kot ada anak-anak mak cik yang berkenan ke nanti mana tahu, kan?" seloroh Faezrul. Sudah sejam dia duduk di situ membersihkan pinggan-pinggan kotor. Punggungnya sudah naik kematu. Kepalanya juga terasa berpinar-pinar seperti hendak pitam.

"Pergilah, Zill... Mana tahu ada jodoh terpijak hang kat depan tu. Tak payah hang nak cari jauh-jauh lagi dah," balas Azhari kemudian tersengih memandang sepupunya itu.

Faezrul hanya ketawa kecil lantas bingkas mengatur tapak ke depan rumah untuk melihat Nazneen dan Fahmi yang masih duduk di meja makan pengantin.

Seketika matanya menyorot ke arah wajah Iqbal yang sedang duduk di anjung rumah berbual-bual dengan tetamu. Tanpa mengendahkan ayahnya, dia menapak mendekati Nazneen dan Fahmi yang baru sahaja selesai menjamu selera. Renek-renek peluh di dahi dikesat dengan tuala di tangannya.

"Selamat pengantin baru," sapa Faezrul lantas bersalaman dengan Fahmi. "Eeii... jangan-jangan. Badan berpeluh ni. Hilang bau minyak wangi pengantin tu kang." Faezrul menghalang tatkala Fahmi mahu mendakap tubuhnya.

"Alah, bukan peluh orang lain pun. Peluh abang ipar sendiri jugak. Peluh berkat orang kata," balas Fahmi sambil ketawa mengekek. Didakap juga tubuh Faezrul yang sudah basah bermandikan peluh itu.

"Banyaklah hang punya berkat!" Bahu Fahmi ditepuk Faezrul.

"Hai adiknya dah lepas, abangnya pulak bila lagi?" Terdengar-dengar suara saudara-mara yang di sekelilingnya menegur.

"Abang saya ni nak tunggu puteri bongsu dari kayangan datang pinang dia dulu, mak cik. Kalau tak ada, tak kahwinlah dia sampai ke tua," sampuk Nazneen sambil menepuk-nepuk bahu Faezrul.

"Hang tengok bini hang ni. Kalau bab-bab mengata, nombor satu," ujar Faezrul, memandang Fahmi sambil menuding jari ke arah Nazneen.

"Habis tak betul apa Neen cakap? Sepatutnya abang tu dah kahwin, dah ada anak dah. Tengok, Neen yang kahwin dulu. Nasib baik tak payah bagi cincin langkah bendul. Kalau tak, lari bajet kahwin kita kan, abang?" gurau Nazneen bersahaja sambil memaut mesra lengan Fahmi.

Bukan tidak ada yang berkenan mahu bermenantukan Faezrul. Malah pernah beberapa kali abangnya itu dirisik makcik-makcik di kampung untuk dijodohkan dengan anak-anak gadis mereka. Namun, sikap Faezrul yang tidak ambil pusing akan orang dan keadaan sekeliling langsung tidak memberi sebarang impak kepada dirinya.

Bila dijinak-jinakkan dengan perkara kahwin, ada sahaja alasannya untuk mengelak dan paling ekstrem dia boleh menjadi seperti seketul batu. Langsung tidak mahu bercakap.

Beberapa minit kemudian, Faezrul kembali menyambung kerjanya, mengutip pinggan-pinggan kotor dan membersihkan meja pengantin.

Nazneen dan Fahmi perlu beredar untuk melayan sanak saudara dan kenalan yang lain. Tambahan lagi, jurugambar-jurugambar yang ditempah oleh mereka sedang menanti untuk outdoor shooting.

Menjelang petang, tetamu mula beransur pulang.

"Zill, kemari sekejap..." Iqbal menggamit ke arah anak lelaki tunggalnya yang sedang membersihkan sampah sarap di laman.

Rindu Awak 200 %Tempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang