Bab 8

572 5 0
                                    

"ILHAN nak keluar sekejap, pa," beritahu Ilhan sambil tersengih-sengih ketika Zahirin dan Raziqah sudah bersiap-sedia untuk makan malam.

"Nak ke mana pulak? Mama dah masak ni. Kot ya pun, makanlah dulu. Macam tak menyempat sangat nak keluar tu kenapa? Dahlah jarang balik. Dah balik asyik nak merayap aje kerjanya," bebel Raziqah sambil memandang tepat ke wajah anak terunanya itu.

Ilhan hanya tersengih. Tahu akan nasibnya yang bakal dibebel. Dia sudah lali dengan sifat Raziqah yang satu itu.

"Ilhan janji dengan kawan pukul 8.30. Ni dah pukul 8.15, ma. Tak apalah, balik nanti Ilhan makan. Ilhan dah lambat ni." Dia menilik jam di tangan. Seolah-olah sudah kesuntukan masa. Walhal dia sengaja melepaskan diri dari momen makan malam itu. Dah tentunya ceramah Raziqah dan Zahirin akan berkumandang.
Ditambah-tambah pula dengan mulut Armel yang boleh tahan menjawab. Tak sanggup aku nak mendengarnya.

"Budak bertuah ni. Kita dah masak untuk dia, dia nak keluar pulak. Hisy!" Geram Raziqah dengan anak sulungnya itu. Balik bercuti pun bukan tahu nak lekat kat rumah. Meraban tak kira masa.

"Sorrylah, ma. Ilhan memang betul-betul dah janji dengan kawan ni. Lagipun, Armel kan ada? Okeylah, Ilhan pergi dulu." Tanpa menanti lagi Ilhan terus membuka langkah beredar dari situ. Bimbang kalau Raziqah akan terus memaksa dan membebel.

"Hai, satu-satu perangai anak-anak awak ni. Semua ada trademark masing-masing. Sorang macam ni, sorang macam tu. Kalau elok tak apa jugak, ini buat serabut perut aje. Nasib baik ada dua orang aje. Kalau ada 12, tak cukup nafas saya gamaknya," leter Raziqah sambil menyenduk nasi ke pinggan. Pinggan Ilhan diambil lalu diletakkan di tepi.

"Kalau tak elok, anak sayalah. Kalau baik semuanya anak awak. Hai nasib, nasib..." Tergeleng-geleng kepala Zahirin. Namun, dia tidak ambil hati dengan kata-kata Raziqah. Sudah masak dengan perangai Raziqah yang suka membebel. Mulutnya sahaja pot pet pot pet, tapi hatinya baik. Peranannya sebagai suami, hanya perlu bersabar dan terus bersabar menadah telinga dengan leteran Raziqah.

Satu jelingan maut dilemparkan pada Zahirin. Tiba-tiba kelibat Armel muncul. Dengan rambut kerinting menggerbang yang dibiar tidak berikat dan berbaju pijama belang-belang, sikit lagi boleh buat kedua-dua orang tuanya pitam. Dengan selamba dia menarik kerusi di hadapan Zahirin.

"Haa Mel... ni mama masak masakan kesukaan Mel. Ikan kerisi masak asam pedas Melaka. Mesti Mel rindu masakan mama, kan?" Zahirin bersuara. Cuba menceriakan suasana antara mereka tiga beranak.
Armel membatu. Sekilas wajah Raziqah dikerling. Ibunya itu cukup bersahaja membuat reaksi tidak peduli.

Hatinya terasa bagai dicubit dan dicengkam-cengkam. Namun, dia tidak berani bersuara. Pasti sahaja dia akan kalah. Dan lagi dia tahu betapa dasyatnya kalau mama mengamuk dan betapa tertekannya kalau mama sudah mengamuk. Jadi, adalah lebih baik dia diam sahaja.

"Abang mana?" soal Armel tatkala melihat kerusi Ilhan yang masih kosong.

"Abang keluar. Dah... makanlah. Nanti sejuk, tak sedap pulak gulai mama ni," tutur Zahirin lagi. Seketika dia mengerling Raziqah yang senyap dari tadi. Kemudian pandangannya terkalih semula pada Armel. Kepalanya menggeleng.

"Rambut tu, fesyen jenis apa? Mama tak pernah nampak pun tengok orang kat Malaysia ni buat rambut macam tu? Kalau ada pun yang duduk-duduk tepi jalan tu yang berambut macam tu," tempelak Raziqah tanpa memandang wajah Armel.

Bagai mahu tercekik nasi di celah kerongkong Zahirin mendengar suara Raziqah yang amat tajam intonasinya.

"Ramai aje kot buat hairstyle macam ni." Pantas mulut Armel menjawab. Hatinya mendongkol geram. Sudu yang berisi nasi yang dibawa ke mulutnya sengaja digigit kuat, menzahirkan rasa geramnya. Sebetulnya selera dia langsung tidak ada waktu ini. Nasi yang dikunyah rasa macam butir-butir pasir.

Rindu Awak 200 %Tempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang