MALAM

132 4 0
                                    

Malam kian lewat. Suasana gelap bagaikan air kopi pekat tanpa susu menyelubungi alam. Di kala ini, aku bersendirian memandu kereta kuningku. Menelusuri jalan raya yang lengang tanpa ada sebarang kenderaan lain melaluinya.

Kerana masih belum mengantuk, aku di sini. Memandu tanpa arah tuju. Tapi, apa yang pasti aku mahukan menenangkan fikiran. Setiap orang ada cara mereka tersendiri dalam mencari ketenangan yang diingini. Bagi aku pula, dengan memandu berseorangan begini di kala waktu malam dapat memberi rasa tenang yang aku cari-cari.

Takut? Entah. Tak pula aku takut untuk berseorangan memandu pada waktu-waktu begini. Meskipun kini tengah kecoh dengan gangguan dari satu entiti yang berbadan manusia biasa tetapi memiliki wajah seram bersama dengan mata terjulur keluar serta sepasang taring yang menghiasi bibir kering pucat, aku buat-buat biasa je. Kalau kita kuat semangat, takdenya bende tu nak kacau.

Aku terus memandu. Jalan yang kosong membuatkan aku rasa seperti jalan raya ini aku yang punya. Aku memandu selaju yang aku mahu. Pedal minyak kutekan sepuas hati. Keretaku memecut laju. Kelajuan ini membuatkan aku gembira. Seronok sangat!

Tiba-tiba, dalam jarak 100 meter dapat aku lihat sekujur tubuh sedang terbaring di atas jalan raya. Segera aku tekan brek. Nasib baik sempat. Kalau tidak, tak pasal-pasal pula aku terlanggar orang tu.

Tapi itu orang ke? Aku memerhati dengan lebih teliti. Mata kukecilkan. Susuk tubuh itu aku nilai.

Nampak macam orang. Tapi kenapa dia baring atas jalan? Dah ngantuk sangat ke sampai tak sempat-sempat nak sampai rumah dulu untuk tidur?

Mungkin dia kena langgar lari. Kesiannya. Tak berhati perut betul la orang yang langgar dia ni. Sampai hati biarkan macam tu je. Aku mula berhajat untuk keluar membantu.

Tapi, kejap...

Macam mana pulak kalau itu orang jahat yang menyamar kena langgar, tapi bila ada orang nak tolong tiba-tiba datang kawan-kawan dia lalu rompak orang yang nak tolong tu? Boleh jadi jugak. Macam tu la modus operandi perompak dekat jalan raya lengang sekarang ni.

Hampir setengah jam juga aku berada dalam dilema. Setelah menimbang tara apa yang patut, aku ambil keputusan untuk tolong orang tu. Biar la aku memperjudikan keselamatan diri aku demi melakukan kebaikan. Aku ni jenis mudah kesian pada orang yang tengah susah.

Aku pun keluar dari kereta. Menapak perlahan-lahan ke arah orang (kalau orang la. Tapi aku yakin itu orang) yang terbaring atas jalan tu.

Bila sampai dekat orang tu, aku pun bertinggung untuk tengok keadaan dia. Bahunya aku tepuk.

"Encik tak apa-apa ke?"

Orang (lelaki) yang terbaring tu bukak mata tiba-tiba lalu terus duduk. Rupa-rupanya ada parang kat tangan dia. Dia terus hala parang tu kat leher aku. Ah, sudah...

Tapi bila dia tengok aku (atau mungkin belakang aku kot, aku pun tak pasti yang mana satu), terus berubah riak muka dia. Jadi takut. Dah kenapa pulak?

Dia bangun cepat-cepat lepastu terus lari. Laju macam pelari olimpik pulak tu. Telinga aku sempat tangkap suara dia masa menjerit.

"Hantu! Hantu!"

Hantu?

Oh, lupa pulak. Mesti dia terkejut sebab tengok mata terjulur keluar dengan taring aku ni.

Hahahaha....

~TAMAT

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Jan 07, 2016 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

SERAM TAK?Where stories live. Discover now