Ustazah Ainul Mardhiah 3

8.5K 20 0
                                    


Sudah sebulan masa berlalu. Pada mulanya ramai pelajar tidak suka menghadiri Kelab Remaja Islam termasuk aku. Kadang-kadang aku tidak suka akan sikap Ustazah Sofia yang suka mengenaku. Namun, keperibadian Ustazah Sofia yang lembut dan sopan itu benar-benar membuat aku kagum kepadanya. Kepetahan Ustazah Sofia membidas tentang agama, caranya berdiskusi, mempamerkan emosi, mengatur diksi amat menarik minat para pelajar yang menghadiri Kelab Remaja Islam tersebut. Pernah sekali berlaku perdebatan tentang agama antara Zaihana sekumpulan dengan Ustazah Sofia. Namun, mereka gagal mematahkan hujah-hujah Ustazah Sofia yang sudah nyata dan kukuh dengan bukti-bukti ayat suci Al-Quran serta bersumberkan hadis yang sahih.

"Ustazah, bagaimana hendak berwuduk jika tiada air?" Tanya Rafiuddin pelajar tingkatan 1.

Ustazah Sofia tersenyum lalu bersuara, "Kak Ainul, kamu boleh menerangkannya, bukan?" Tanya Ustazah Sofia kepadaku. Aku tersentak. Sekali lagi Ustazah Sofia ingin mengenakan aku di hadapan pelajar Islam.

Aku bangkit lalu menuju ke hadapan surau. Jantungku berdegup kencang apabila banyak anak mata memerhatikan aku. Aku geram melihat Ana Farhah dan Insyirah yang sudah ketawa mengekek di belakang.

"Caranya ialah berta... tayammum," beritahuku gugup.

"Boleh kamu tunjukkan bagaimana bertayammum? Anggaplah di atas meja ini ialah debu tanah yang suci," beritahu Ustazah Sofia membuat aku sakit hati kepadanya.

Aku menepuk selamba kedua-dua belah tanganku dengan kuat sambil menerangkannya. Biar Ustazah Sofia itu tahu bahawa aku tidak suka akan usikannya.

"Jika kamu menepuk dengan kuat, sudah tentu seluruh badanmu berhamburan dengan debu," sindir Ustazah Sofia kepadaku. Terdengar pecahan ketawa para pelajar menggema di ruang udara surau sekolah. Wajahku merah menanggung malu. Itulah, siapa suruh mencari nahas tadi!

xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx

USTAZAH AINUL MARDHIAHWhere stories live. Discover now