Bab 3

989 8 2
                                    

          MAIN QUADRANGLE sekali lagi menjadi saksi majlis konvokesyen Universiti Chicago. Kali ini, musim bunga mengiringi minggu majlis konvokesyen yang diadakan di kawasan lapang yang luas dan terbuka itu.

Jubah graduan berwarna hitam tampak kontra dengan hijau rumput yang memenuhi hamparan lapang majlis konvokesyen itu.

Masing-masing tampak gembira meraikan hari bersejarah itu bersama rakan-rakan seangkatan. Namun, tidak bagi Armel Aisya. Hatinya dirundung seribu satu rasa persis sedang berada di majlis pengebumian.

Dua minggu sebelum majlis konvokesyen, dia menerima panggilan mamanya menyampaikan khabar yang hamper membuatkan jiwanya separuh gila. Kelantangan suara mamanya membahas kesalahan-kesalahannya terdahulu dari corong telefon masih terngiang-ngiang di telinga. Setiap khilafnya diungkit. Deria dengarnya seperti mahu lumpuh menadah amarah yang berapi-api daripada mulut Raziqah.

Sungguhpun begitu, dia tidak melihat sebarang kewajaran dan relevan akan 'hukuman' Raziqah dengan kesalahannya. Langsung tidak masuk akal.

Sebaik sahaja pulang ke Malaysia, dia akan dikahwinkan dengan lelaki pilihan mama dan papanya. Jiwanya terselam jauh ke dasar yang dalam. Mana mungkin kedua-duanya sanggup menjahanamkan masa depannya begitu sahaja. Tak mungkin!

"Armel, what's with you? Stand up!" tegur Belva rakan sekelas yang berasal dari Sepanyol dengan wajah ceria. Tangannya memberi isyarat menyuruh Armel bangun.

Armel terpinga-pinga. Dia melingas ke kiri dan ke kanan. Semua pelajar sudah bangun memberi tepukan gemuruh pada canselor yang tampil memberi ucapan. Lantas dia bangun. Satu per satu wajah pelajar lain dipandang. Tidak ada seorang pun monyok seperti dia. Semuanya ceria dan gembira meraikan hari itu.

GERAK-GERI Raziqah tidak lepas dari pandangan Zahirin. Raziqah ambil roti, buka penutup botol jem, capai pisau, sapu jem pada roti dan menghulurkan roti kepadanya. Sepanjang waktu itu, wajahnya serius tanpa senyuman. Namun, isterinya itu buat tidak peduli sahaja dengan pandangannya. Terus menyisip minuman di dalam cawan.

"Kot ya pun awak nak gertak Armel tu, tak payahlah sampai cakap nak suruh kahwin. Awak ni main lepas cakap aje. Kita kata dengan abang Iqbal nak kenal-kenalkan aje budak-budak tu. Nanti apa pulak kata abang Iqbal."

"Anak awak tu kalau tak gertak, kalau tak ugut, bukannya nak mendengar kata. Biarkan aje! Tahulah macam mana saya nak uruskan nanti," ujar Raziqah.

Zahirin menggeleng. Anak dengan mak sama aje, degil. "Kita nak kenalkan dia orang cara elok. Bukan memaksa. Awak cakap macam tu, nanti kang dia tak nak balik Malaysia macam mana? Awak dah tahu anak awak tu keras kepala, awak nak cucuk-cucuk dia lagi kenapa?"

"Itulah awak... sikit-sikit nak menangkan anak awak tu. Tengoklah bila dah besar, buat perangai tak senonoh. Saya malu, abang. Malu dengan kawan-kawan, dekat saudara-mara. Maknya bukan main ajar anak orang siang malam tapi anak..."

"Saya bukan nak menangkan, tapi awak tu... Cara awak tu tak betul. Saya kalau boleh, biarlah tunggu dia balik dulu baru slow talk dengan dia. Ini tak, belum apa-apa lagi awak dah bukak mulut. Tunggulah dulu kot ya pun," Zahirin mengeluh.

"Tak apalah, abang. Biar saya aje yang cakap dengan Zill nanti. Tak pun, biar saya aje yang cakap dengan abang Iqbal."

"Nak cakap apa pulak? Awak jangan nak merepek. Jangan buat malu saya." Tindak tanduk Raziqah tidak boleh diramal juga. Sifat liberalnya itu ada waktu memeningkan kepala. Seperti juga Armel, apa sahaja ingin terlintas di kepalanya akan terus diluahkan tanpa mengira orang-orang di sekeliling.

"Lah... tujuan asal kita memang nak jodohkan dia orang kan?"

"Kita? Bukan idea awak ke?" Wajah Zahirin beriak ragu.

Rindu Awak 200%Where stories live. Discover now