Warkah 1

355 7 5
                                    

Kehadapan sahabatku,

Maaf berjuta kali maaf. Setelah berbelas-belas tahun kau hilang daripada pandangan, aku masih tidak mampu lagi menitipkan sepucuk surat pun buatmu dan keadaan ini adalah sangat memalukan. Maka, di sini sepucuk surat cinta telah aku cuba-cuba karang pada musim tengkujuh ini khas buatmu. Jika dihitung-hitung, sebenarnya sudah beratus-ratus pucuk surat telah cuba aku karang sebelum ini namun hasilnya seringkali menghampakan. Segala bait ayat, perkataan dan huruf-huruf yang terhasil tidak satu pun menepati makna cintaku kepadamu.

Ini adalah percubaanku yang ke seratus tiga kali untuk menulis surat cinta dan jujur aku nyatakan di sini, hasilnya tetap meloyakan. Aku tidak tahu badi apa yang menimpa diriku sehingga payah sungguh untuk aku meluahkan perasaan cintaku kepadamu melalui sepucuk surat. Adakah disebabkan aku seorang wanita dan kau seorang lelaki maka surat berbaur cinta seharusnya ditulis oleh para lelaki dahulu. Wanita hanya membalas sahaja? Ah, itu sememangya pantang larang yang mengarut! Atau adakah mereka sebenarnya sudah lama tahu bahawa tidak akan pernah berbaloi menulis surat kepadamu kerana mereka, kau dan juga aku sangat menyedari bahawa surat ini tidak akan pernah sampai ke tanganmu apatah lagi dapat membacanya. Namun, jangan pernah berharap bahawa aku akan menghiraukan segala kata mereka. Aku akan tetap menulis surat cinta ini untuk kau. Biar mereka tahu bahawa surat ini merupakan tanda kewujudanmu walaupun mereka tidak pernah dan tidak akan dapat melihatmu.

Sahabat,

Mengarang surat cinta bukan sesuatu yang mudah bagi diriku, lebih-lebih lagi untuk seorang sahabat khayalan yang tidak pernah wujud pada mata manusia lain. Jikalau kau dapat merasai walau sekelumit keperitan menghasilkan surat ini, sudah tentu kau akan menangis lalu berdoa pada Tuhan agar mampu membaca surat ini walau hanya sekali. Dan mungkin pada waktu itu akulah manusia pertama yang akan tertawa kegembiraan meraikan kemenangan kita yang berjaya membuktikan bahawa cinta itu ada di mana-mana tanpa perlu memperlihatkan siapa pun pemilik dan yang akan memilikinya.

Proses yang berlaku semasa surat ini mula-mula dizahirkan tidaklah semudah yang disangkakan. Pelbagai emosi yang bercampur baur bermain-main sepanjang surat ini dihasilkan. Kemarahan, kekecewaan, kemurungan dan kesedihan segalanya sebati menjadi satu perasaan yang aneh walaupun sedikit-sedikit timbul juga perasaan gembira dan teruja memandangkan ini surat untuk sahabat yang paling disayangi.

Namun, ia bukanlah semudah yang disangka. Selama lima jam tiga belas minit setiap hari selama tujuh tahun, tidak pernah sepucuk surat cinta pun dapat aku karang sehingga habis. Alangkah manisnya jika dengan sepatah perkataan dapat mengungkapkan segala perasaanku terhadapmu. Namun sayang seribu kali sayang, aku tidak mampu. Sayangku mungkin melebihi segala perkataan yang ada di muka bumi ini. Aduhai... kedengarannya seakan melampau-lampau. Namun jika kau percaya kata-kataku maka benarlah ia.

Sahabatku,

Siapalah aku ini. Aku hanyalah seorang pembantu rumah yang bekerja dengan sebuah keluarga yang ketua rumahnya berpangkat seorang Datuk yang diambil setelah sepuluh orang pembantu rumahnya yang dari negara seberang berturut-turut hilang tanpa jejak mengikut teman lelaki Bangladesh mereka. Aku hanyalah seorang pembantu rumah yang tiap-tiap pagi membancuh kopi yang kadangkala tidak pernah berusik pun oleh para penghuni rumah tersebut kerana mereka sering kali menyangka diri mereka terlalu sibuk sehingga tanpa disedari ada sekelumit rasa terkilan dalam diriku walaupun segala cawan, peralatan dan serbuk kopi itu merupakan hasil wang mereka juga.

Secara klisenya, aku hanyalah wanita biasa yang tiada rupa mahupun harta! Apatah lagi bahasa yang seharum bunga bakawali untuk menulis surat cinta kepada sahabat baik sendiri.

Maka, dengan alasan-alasan tersebut aku sangat terdesak untuk menulis kepadamu surat cinta ini sepanjang yang boleh. Sekurang-kurangnya surat ini akan menjadi sesuatu yang paling manis yang pernah berlaku sepanjang aku hidup. Dan, dalam diam aku mengakui hakikat itu.

Sepucuk Surat Pada Musim Tengkujuh untuk Sahabat KhayalankuWhere stories live. Discover now