Bagaimana Akhirnya Aku Jatuh Cinta

542 43 6
                                    

Nama aku Adam Benjamin bin Adam Edward. Aku dilahirkan dalam keluarga yang langsung tak tahu apa-apa tentang Islam. Perkara yang asas itu tahulah, itupun rasa malas gila nak buat. Mama dan papa aku muallaf. Mama aku berasal dari Manilla, Filipina tetapi menetap di Malaysia sejak kecil lagi. Papa pula berdarah Australia. Hasil daripada perbezaan dua negara itu, maka lahirlah aku sebagai seorang lelaki yang digilai oleh ramai wanita kerana paras rupaku yang menepati ciri-ciri lelaki idaman setiap wanita. Cewahh! Namun, imanku senipis kulit bawang kerana dari kecil aku tidak mempraktikkan cara hidup seorang Muslim dalam kehidupan seharian. Senang kata, aku Islam tetapi hanya di atas kad pengenalan.

Sejak kecil, aku mendapat semua benda yang aku mahukan. Tetapi selama 17 tahun aku hidup di muka bumi beratapkan langit biru ciptaan Ilahi ini, aku masih tidak dapat merasakan ketenangan. Hati aku terasa kosong, seperti ada sesuatu yang hilang. Lalu aku pujuk diri dengan isi hati yang kosong dengan hiburan. Aku tidak terfikir langsung mahu mendekatkan diri dengan Pencipta yang memegang hati ini. Sehinggalah suatu hari, aku mengenali dia, Nur Insyirah atau aku panggil Iron Lady. Dia seorang pelajar perempuan yang berjaya memikat hati aku yang keras macam batu. Sejujurnya aku tidak pernah menyedari kewujudan dia di sekolah sebelum ini. Beberapa kali juga aku kena heartshot daripada dia. Dia punya heartshot... Pergh, tepat tembus ke dalam hati aku yang sememangnya hitam, karat, dan rapuh dengan dosa. Kadang-kadang, aku rasa macam maruah aku dipijak sesuka hati pun ada. Tetapi entah mengapa, aku tidak mampu bertukar watak setiap kali berhadapan dengan Insyirah. Setiap kali aku memandang wajahnya, terasa satu ketenangan menyelinap masuk ke dalam hati yang akhirnya membuatkan aku kehilangan kata-kata. Benarlah, cinta itu buta sehingga aku tidak sedar ada cinta yang lebih utama, iaitu cinta kepada sang Pencipta rasa cinta.

Ini kisah aku. Kisah bagaimana akhirnya aku jatuh cinta...

Loceng berbunyi menandakan waktu rehat telah tamat. Cepat-cepat aku mengatur langkah ke kelasku yang berada di tingkat tiga. Fuh, setiap hari perlu naik dan turun tangga. Itu belum dikira dengan hari di mana kebanyakan mata pelajaran bukan berjalan di dalam kelas, sama ada pelajar dikehendaki bergerak ke makmal, bengkel, surau atau pusat sumber. Memang membakar lemak yang degil betul. Tetapi aku hairan kenapa pelajar perempuan sering merungut apabila menaiki tangga. Bukannya tangga ini mengemukkan mereka pun. Haila, perempuan memang sukar difahami. Semua perkara tak kena di mata mereka!

Ketika aku dalam perjalanan naik ke tingkat tiga, aku menyedari terdapat dua orang pelajar perempuan yang tidak aku kenali turut mendaki tangga di belakangku. Bibirku lantas mengukir senyuman. Konon mahu tunjuk gentleman sangat, aku memberhentikan langkah seraya berganjak ke tepi. Senyuman paling manis aku hadiahkan kepada dua orang pelajar yang aku lihat manis dengan tudung labuh sekolah yang tersarung di kepala mereka. Niatku bukan mahu mengorat mereka tetapi hanya mahu mengambil hati sahaja memandangkan aku adalah pelajar lelaki yang sangat dikenali. Jadi untuk menjaga imejku sebagai pelajar paling popular, aku haruslah menunjukkan sikap yang baik kepada semua warga sekolah ini, tak ke?

"Ladies first," ujarku lembut bersama senyuman yang masih menghiasi bibir. Gadis berkaca mata memandangku dengan kerutan di dahi. Mungkin hairan kerana masih ada lagi lelaki gentleman abad ini. Haha, perasan gila kau ini, Ben! Manakala seorang pelajar lagi hanya menundukkan kepala sambil memeluk dua buah buku log di tangannya. Dia langsung tidak mengangkat muka, sebaliknya dia turut beralih ke tepi lalu memberi isyarat supaya aku meneruskan langkah.

Kali ini giliranku pula yang mengerutkan dahi melihat reaksi gadis itu. Aku kembali memandang rakannya yang berkaca mata. Gadis itu menayang senyuman nipis sambil menjongketkan bahunya. Aku tidak tahu pula gadis yang sedang memeluk buku log itu adalah spesies lain daripada perempuan lain. But sorry to say, Adam Benjamin bukan seorang lelaki yang mudah berputus asa. Dengan suara yang lembut aku berkata, "Eh, takpe. Ladies first, kan?" Beria-ria tanganku mempersilakan mereka mendahului langkahku namun kedua-dua pelajar tersebut masih tidak berganjak.

Cerpen: Bagaimana Akhirnya Aku Jatuh CintaWhere stories live. Discover now