Dikatakan, kisah Mahsuri yang sinonim dengan Pulau Langkawi, berlaku sekitar pemerintahan Sultan Abdullah Mukarram Shah III (1778-1797) dan Sultan Ziyauddin Mukarram Shah II ibni al-Marhum Sultan Muhammad Jiwa Zainal Azilin Muadzam Shah (1797-1803) di Kedah, yang mana pada waktu itu, ibu bapa Mahsuri yang bernama Pandak Mayah dan Endak Alang baru saja berhijrah ke Langkawi dari Selatan Thailand, demi mencari masa depan yang lebih baik.
Kelahiran Mahsuri itu sendiri disulami dengan keajaiban apabila dikatakan sebenarnya Pandak Mayah dan Endak Alang tidak mempunyai anak walaupun telah lama berkahwin. Namun pada suatu hari, Pandak Mayah menemui kerak nasi yang mengeluarkan bunyi seakan bayi menangis sewaktu berehat setelah mengerjakan sawah. Kerak nasi tersebut dicampur sedikit dengan nasi yang ditanak, dan untuk berberapa lama, akhirnya Endak Alang hamil. Dan sewaktu Mahsuri dilahirkan dikatakan padi menguning seakan emas yang berkilauan. Kehadiran Mahsuri dalam kehidupan pasangan miskin itu membuka pintu rezeki yang luas apabila Pandak Mayah menemui lubuk kemenyan dan juga sarang burung layang-layang, yang kemudiannya menjualnya kepada pedagang-pedagang Cina dari Pulau Pinang. Sejak dari itu kehidupan tiga beranak itu berubah dan Pandak Mayah mula digelar Orang Kaya Pandak Mayah.
Mahsuri dididik dengan segala nilai seorang gadis melayu sejati, pelajaran agama yang cukup serta dikatakan juga Mahsuri diajar bersilat demi mempertahankan diri. Akhirnya Mahsuri membesar sebagai seorang dara pingitan yang menjadi sebutan dan rebutan kerana sifatnya dan tentunya kejelitaannya yang dikatakan cukup luar biasa. Kemahsyuran Mahsuri bukan setakat terbendung di Kampung Mawat dan Mukim Ulu Melaka-tempat tinggalnya, malah seluruh Pulau Langkawi. Namun selain dari kemahsyuran yang disebut orang, sedikit sebanyak membuahkan rasa iri hati terutamanya di kalangan kaum wanita, yang tidak senang melihat kebanyakan lelaki memuji-muji Mahsuri.
Ini termasuklah Datuk Pekerma Jaya Wan Yahya, Penghulu Langkawi iaitu wakil Sultan Kedah di Langkawi. Dan pastinya mengundang rasa resah yang meluap-luap dari isterinya, Wan Mahora. Rasa amarah membara apabila Wan Mahora mendapat tahu yang suaminya menyimpan hasrat untuk memperisterikan Mahsuri sebagai isteri kedua. Namun, Wan Darus, adik lelaki tunggal Wan Yahya juga menyimpan hasrat untuk memperisterikan Mahsuri. Demi mengelakkan rumah tangganya goyah, memandangkan Wan Yahya adalah pembesar di pulau itu, Wan Yahya merestui akan niat Wan Darus, walaupun dalam diam Wan Yahya masih menyimpan keinginan terhadap Mahsuri.
Majlis perkahwinan berlangsung dengan secara besar-besaran dan penuh meriah. Wan Mahora menerima Mahsuri sebagai iparnya walau pun jauh disudut hati, cemburu masih ada. Maka, bermulalah kehidupan Mahsuri sebagi isteri kepada Wan Darus dan dalam pada masa yang sama menyebabkan kekecewaan di hati kebanyakan lelaki yang gagal memilikinya, dan juga wanita, tentunya kerana kejelitaan yang dimiliki Mahsuri dan bersuamikan Wan Darus, yang dikatakan juga seorang pahlawan yang gagah perkasa serta tak kurang tampannya.
Namun dalam pada masa yang sama hubungan Kedah dan Siam bertambah keruh. Siam mula menakluki utara Kedah, menyebabkan perang berlaku. Baginda Sultan memerintahkan tentera dikerah dari setiap ceruk rantau negeri Kedah demi mempertahankan negeri. Dan dalam pada masa yang sama Mahsuri sedang hamil anak yang sulung. Datuk Pekerma Jaya memeperintahkan orang-orang Langkawi dikumpulkan untuk membantu tentera Kedah yang sedang berperang dan ini termasuklah Wan Darus.
Dengan hati yang berat Mahsuri terpaksa melepaskan suaminya yang tercinta pergi, tambahan pula Mahsuri seperti dapat merasakan yang beliau seperti tidak akan dpat berjumpa suaminya lagi. Untuk menghilangkan rasa rindu terhadap suami, Mahsuri berpindah ke rumah ibu bapanya, tambahan pula beliau sedang sarat mengandung. Setelah cukup sembilan bulan sepuluh hari, maka lahirlah tanda cinta antara Mahsuri dan Wan Darus, seorang bayi lelaki yang dinamakan Wan Hakim.
Namun, langit tidak selalunya cerah. Kedamaian hidup Mahsuri bakal berubah apabila seorang pendatang tiba berlabuh di pantai Langkawi, seorang lelaki muda bernama Deramang. Deramang dikatakan berasal dari sebuah tempat bernama Batu Bara di Acheh. Beliau mendapat perhatian oleh ayah Mahsuri, Pandak Mayah dan beliau ditawarkan bekerja untuknya membantu bercucuk tanam dan bertani. Namun selain dari rajin dan gigih, Deramang memiliki bakat semulajadi yang luar biasa iaitu kebolehan berdendang dan bersyair. Kebolehannya itu menarik perhatian penduduk setempat berkumpul dirumah Pandak Mayah hampir setiap malam, dan dengan ini menaikkan nama Mahsuri sekeluarga.
YOU ARE READING
Legenda Melayu
Historical FictionKisah-kisah mengenai lagenda yang terdapat dimalaysia diantaranya Mahsuri,Dayang Bunting,Puteri Gunung Ledang dan lain-lain!! Rujukan dari orang-orang lama tempatan dan internet