Menurut cerita orang-orang tua, kisah Puteri Lindungan bulan bermula apabila Sultan Acheh iaitu Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam telah bermimpi bertemu dengan kedua-dua gadis jelita. Keinginan baginda ingin memiliki gadis-gadis di dalam mimpinya amatlah kuat sehinggakan baginda telah berjumpa dengan seorang nujum. Nujum tersebut memberitahu bahawa kedua-dua gadis itu adalah anak Sultan Kedah yang ketika itu dipimpin oleh Sultan Sulaiman Syah. Kedua-duanya sangat cantik, namun Puteri Zaleha yang menjadi idaman Sultan Acheh kerana dikhabarkan Puteri Zaleha mempunyai darah bewarna putih. Rombongan meminang telah dihantar kepada Sultan Kedah untuk menyunting Puteri Zaleha.
Sultan Kedah tidak dapat menolak permintaan Sultan Acheh disebabkan kekuatan tentera mereka yang sangat ramai dan kuat. Akhirnya tanpa pengetahuan Sultan Acheh, Puteri Zaleha telah ditukar dengan anaknya yang seorang lagi iaitu Puteri Mariam. Hal ini kerana Sultan Kedah tidak suka akan perihal Sultan Acheh yang kaki perempuan. Puteri Zaleha disembunyikan di sebuah lubang yang agak terpencil sehingga dikatakan cahaya bulan pun tidak dapat menembusi tempat tersebut.
Maka perkahwinan Sultan Acheh dengan Puteri Mariam pun berlangsung dengan gemilangnya tanpa sebarang perasaan syak wasangka daripada baginda Sultan.
Tidak berapa lama kemudian berlaku peristiwa di mana Puteri Mariam terhiris jarinya dengan kacip pinang dan mengeluarkan darah merah. Apabila berita ini sampai kepada Sultan Acheh, baginda berasa marah dan rasa dikhianati. Sebuah bala tentera dihantar untuk melancarkan perang terhadap Sultan Kedah. Disebabkan kekuatan tentera Acheh begitu hebat akhirnya Kedah jatuh ke tangan Acheh. Keadaan ini sudah dapat dijangka oleh Sultan Sulaiman dan beliau telah membuat persediaan rapi untuk anakdanya Puteri Zaleha dengan membina kubu di bawah Istana sebagai tempat persembunyian puteri.
Sultan Sulaiman bersama-sama dengan para pembesar telah ditawan dan dibawa ke Acheh. Dalam perjalanan, apabila Sultan Kedah melihat bulan baginda berdoa supaya puterinya yang berada di dalam kubu dapat dilindungi. Segala usaha tentera Acheh mencari Puteri Zaleha gagal sama sekali walaupun telah memusnahkan Istana kota Sultan Sulaiman. Dipercayai Puteri Zaleha dilindungi oleh bulan kerana dikatakan pintu masuk ke dalam kubu amatlah gelap dan tentera Acheh tidak dapat memasukinya.
Setelah beberapa lama, Sultan Sulaiman Syah akhirnya mangkat semasa dalam tawanan dan Puteri Zaleha juga telah mangkat apabila dikatakan berada terlalu lama di dalam kubu tersebut. Makam Puteri Zaleha terletak di atas bukit kecil di Kota Siputeh, Jitra. Makam ini diberi gelaran sebagai Makam Puteri Lindungan Bulan disebabkan oleh peristiwa tersebut dan dikhabarkan kejadian lindungan bulan masih berlaku ke atas Makam Puteri Lindungan Bulan ini sehingga hari ini.
YOU ARE READING
Legenda Melayu
Historical FictionKisah-kisah mengenai lagenda yang terdapat dimalaysia diantaranya Mahsuri,Dayang Bunting,Puteri Gunung Ledang dan lain-lain!! Rujukan dari orang-orang lama tempatan dan internet