PAGI-PAGI LAGI aku sudah berjalan laju-laju ke kedai kopi Puan Biyanka. Nampaknya aku sudah terlewat dua belas minit daripada kebiasaannya. Aku memakai kemeja jingga dan jeans lusuh yang bukan kegemaranku. Saat kakiku melangkah laju-laju dan titis-titis peluh mula timbul di dahi, sempat aku mendongak ke arah awan. Kelihatannya seperti mendung. Tidak mungkin awan juga cuba mengejek hatiku yang sememangnya mendung sejak dari malam semalam.
Tidaklah aku ingin menyalahkan sesiapa pun atas kelewatanku ke kedai kopi Puan Biyanka. Walaupun pada hakikatnya mungkin ada di antara kalian yang menyangka segalanya berpunca daripada wanita tua yang tinggal setentang dengan rumahku itu. Pada mulanya aku juga ingin menyalahkannya. Bagai sengaja mengganggu tidurku dan tidak pula muncul-muncul dalam mimpiku membuatkan aku bangun pagi dalam keadaan lesu dan tidak bermaya. Namun, nampaklah kejamnya aku jika mempersalahkan dirinya membuta tuli sedangkan namaku pun dia tidak pernah tahu.
Saat aku melangkah ke kedai kopi Puan Biyanka, terlihat senyuman Anjelika menjemputku. Manis sama seperti manisnya kopi bancuhannya. Jika kebiasaannya aku duduk di meja tengah kedai kopi itu, tetapi tidak pada hari ini. Aku mengambil tempat di meja kedua dari belakang di tepi tingkap dan duduk menghadap pintu depan kedai kopi tersebut. Bukan seperti kebiasaannnya apabila mataku hanya mencuci mata ke arah dapur Puan Biyanka. Hari ini atau mungkin esok dan seterusnya aku mahu melayan perasaan sambil menghadap pintu depan kedai kopi Puan Biyanka. Kadang-kadang aku benci dengan perasaan aku ini yang tiba-tiba menjadi sangat sensitif tidak tentu hujung pangkalnya.
Tepat pada waktu Alfonso si tukang gunting membuka kedai guntingnya ketika itulah pintu kedai kopi Puan Biyanka ditolak. Siapa lagi yang mampu membuat dadaku gemuruh pada saat itu melainkan wanita tua yang tinggal setentang dengan rumahku itu.
Hampir-hampir sahaja kopi yang aku hirup tersembur dan mengenai Puan Biyanka yang sedang menghidang karipap perisa kacang hijau yang bukan kegemaranku memandangkan karipap kacang tanah yang aku pesan sudah habis diborong Encik Lalo. Semuanya gara-gara kelewatanku tadi.
Tuhan memang benar-benar memakbulkan doaku. Dadaku bergemuruh dengan dahsyatnya pada hari ini. Bukan sahaja kerana kedatangan wanita tua itu ke kedai kopi Puan Biyanka tetapi seorang lelaki muda yang turut mengiringinya juga membantu menambah gemuruh di dalam dadaku ini.
Memang benar, kalian memang bijak. Itulah lelaki yang semalam menari dengan wanita tua tersebut. Walaupun tidak jelas wajahnya aku lihat semalam tetapi mataku dan ingatanku belum pernah rosak lagi. Cuma yang tidak aku jangka adalah tentang keadaan lelaki tersebut.
Berkaca mata hitam dan bertongkat.
Ah, buta rupa-rupanya!. Dalam hati aku tertawa sinis dengan kecacatannya itu, walaupun timbul sedikit cemburu apabila mengenangkan adegan menarinya dengan wanita tua itu semalam.
Adakah sememangnya sudah ditakdirkan apabila pada hari ini aku duduk di meja kedua dari belakang sambil menghadap pintu depan kedai kopi Puan Biyanka, maka wanita tua itu duduk di meja asalku lalu terus sahaja menghadap ke arahku. Cuma, pada waktu-waktu tertentu ada beberapa perkara yang menjengkelkan.
Pertama, setiap lima saat kepala si buta itu seringkali menjadi penghalang untuk aku menatap wajah wanita tua itu. Kedua, wajah wanita itu tidak bercakap sepatah pun sebaliknya hanya mengangguk sekali sekala dan tersenyum tawar mendengar cerita si buta itu. Selebihnya dia hanya memandang dengan wajah yang muram ke arah cermin tingkap kedai kopi Puan Biyanka. Semuram langit pada hari ini. Semuram warna biru gelap bajunya.
Itulah rutin hidupnya pada setiap pagi selama dua minggu berturut-turut. Bersama-sama si buta itu duduk di meja asalku. Mendengar sahaja si buta itu bercerita tanpa sepatah pun mahu mencelah. Cuma, ada ketikanya dia tersenyum nipis. Pada waktu-waktu tertentu pula dia berwajah serius mendengar cerita si buta itu.
YOU ARE READING
Pohon Mangga Rumah Michelle
General FictionDia tidak menyangka kehadiran wanita tua yang berpindah ke kawasan perumahannya mampu mengubah hidupnya.