BERDOSA besarkah kalau masih bujang pada usia 33? Kalau bukan dosa, salah besarkah? Kalau bukan salah, menjadi pantangkah?
Kalau dicongak, pada usia 25 tahun ke bawah ramai yang kata terlalu awal untuk berkahwin. Kalau sekitar 26 hingga 29 tahun pula ramai yang kata jangan risau, kan masih muda.
Masuk saja usia 30, tiba-tiba sahaja mencari jodoh itu menjadi suatu aktiviti mandatori. Apatah lagi pada usia 33. Bukan tanggungjawab si dara dan sang bujang sahaja, malah orang sekeliling mereka turut merasa terpaksa memikul beban yang sama.
Iya, terpaksa!
Kalau tidak, masakan makcik, pakcik, sepupu, rakan, jiran, bekas guru, rakan sekerja, pakcik jaga di pejabat, makcik penjual nasi campur di kawasan perumahan dan orang yang baru 30 minit dikenali ketika sama-sama menaiki tren laju ETS ke Ipoh begitu bersusah-payah hendak memperkenalkan seseorang?
Sungguh berat bebannya.
Pada tanggal 20 September, 2016 itu, saudari Ellie Arenawati Aziz yang bakal menginjak ke usia 33 tahun sudah bersedia menjawab soalan yang selalu diajukan padanya. Malah dia punya puluhan jawapan istimewa, kalau berani cubalah tanya!
(Nota khas untuk pembaca: Untuk tujuan suka-suka, kita anggap sajalah ada seorang makcik, Puan Bidah binti Salah - bercermin mata seperti mantan menteri kewangan wanita, berpakaian pula seperti emak-emak yang hendak menghantar anaknya mendaftar masuk kursus matrikulasi - yang mengacukan soalan keramat, "Bila nak kahwin?" kepada Ellie ketika sama-sama menunggu giliran di kaunter bank.)
Antara jawapan Ellie (pilihan editor):
A. Belum tahu. Tukang tilik di Pasar Seni cuti pula.
B. Lepas manusia mendarat di Marikh. Kekasih saya kan penganut Scientology.
C. Sebenarnya, saya dah kahwin. Dengan teman lelaki khayalan saya.Pilihan A dan B memang sahihlah termasuk dalam kategori 'tipu sunat', tapi untuk Ellie, pilihan C itu sebenarnya berlandaskan kebenaran.
YOU ARE READING
Jejaka Jelmaan Jemala
ChickLit[COMPLETE] Kalau lelaki itu cuma jejaka jelmaan jemalanya sahaja, bagaimana dia boleh muncul di depan mata? Naik Volkswagen Beetle buruk pula tu! All rights reserved.