"Kalau kau sayang dia, kenapa kau buat dia macam tu?" soal aku kepada Eda.
"Aku buat apa?"
"Kau marah-marah dia, kau layan tak layan."
"Bukannya aku marah dia saja-saja."
"Habis tu?"
Eda tiba-tiba ketawa. Dahi aku serta merta berkerut.
"Dahlah, Nep. Kau cakap macam-macam pun dia dah bawak hati dia. Hati dia dah mati, dah keras. Aku pujuk takat yang aku mampu je."
"Kau menyesal kan?"
Eda mencucuh baki rokok yang tinggal. Lama dia diam. Tasik buatan manusia yang jadi tempat aku dan dia selalu habiskan masa kelihatan suram. Biasanya, ada satu, dua orang yang akan berkayak. Sekurang-kurangnya, ada juga hiburan bila kayak yang sepatutnya ada atas air tiba-tiba ada atas tebing. Bila ada hiburan, terubat sikit rasa duka.
Tapi sekarang, tak ada. Bila tasik jadi suram, hati yang duka jadi lagi suram. Lebih-lebih lagi Eda.
"Hati aku sakit, Nep."
"Ya, aku tahu. Itu normal. Kalau kau tak sakit, maknanya kau tak normal. Maknanya kau tak sayang dia. Maknanya kau tak kisah pun pasal kau dengan dia."
Eda keluarkan lagi sebatang rokok. Aku tak halang. Berbuih mulut aku sekalipun, rokok juga yang dicari kalau kepalanya tengah serabut. Dah dapat rokok, baru aku dicari. Itu pun kotak rokok setia ada dalam poket.
Masih diam. Bukan niat aku untuk desak dia, tapi aku cukup kenal Eda. Dia ada cerita lama yang katanya tak ada seorang pun tahu. Cerita lama tentang kepercayaan. Cerita lama bagaimana dia jadi berhati-hati dengan orang yang ada potensi untuk dia sayang sepenuh hati.
Cerita lama macam mana ibunya sendiri tak mengaku dirinya sebagai anak.
"Kau nak tahu tak?"
Asap rokok dihembus penuh nikmat. "Apa dia?"
"Kau terkesan dengan cerita lama kau, kan?"
Eda ketawa sinis. "Cerita lama, cerita lamalah. Yang kau nak cakap pasal benda tu kenapa?"
"Sebab cerita lama tu lah kau layan dia acuh tak acuh, kau kata jangan serius sangat. Sebab tu jugak, dia jadi pendendam. Satu hari, dia meletup, kau juga yang sakit. Mendapat, kan?"
Sekali lagi Eda terdiam. Aku tak pasti sama ada apa yang aku perkatakan menusuk dalam hati dia, atau dia sedang menikmati setiap sedutan rokok yang tinggal.
Selepas beberapa sedutan terakhir, puntung rokok dijentik lalu dipijak. Dua buah batu dicapai.
"Kau tengok ni."
Satu batu dilontar ke dalam tasik. Terus terbenam.
Batu kedua turut dilontar. Juga terus terbenam.
"Dah nampak aku baling tadi?"
"Nampak."
"Kau faham apa yang aku nak sampaikan?" soal Eda.
"Hah?"
Satu lagi batu dikutip lalu dilontar. "Aku nak baling batu ni, tapi aku nak dia melantun atas air sebelum terbenam. Kau tengok eh?"
"Okay." Aku menggaru kepala yang tak gatal.
Cubaan Eda gagal. Tanpa melantun, batu itu terus terbenam. Dia mengambil semula tempat duduk di sebelah aku. Rokok ketiga dikeluarkan lalu dinyalakan.
"Kalau aku tak beritahu kau, kau tahu tak apa yang aku cuba buat dengan dua batu yang aku baling mula-mula tu?"
Aku tersenyum. Eda turut tersenyum.
"Hati tu penting, Nep. Tapi, apa yang ada dalam hati tu lagi penting. Aku belajar dari pengalaman aku, aku belajar dari cerita lama aku. 5 tahun hati aku sakit sebab aku simpan apa yang ada dalam hati aku. Aku berhenti belajar sebab aku simpan apa yang ada dalam hati aku. Mak aku tak mengaku aku anak sebab aku simpan apa yang ada dalam hati aku."
Laju aku nampak Eda menyeka air mata yang tak sempat jatuh.
"Aku jadi diri aku sendiri, aku jadi seorang yang berterus-terang, sebab aku tak nak cerita lama aku jadi cerita yang berulang-ulang."
"Aku faham, Eda. Tapi kenapa kau tak beritahu dia?"
"Sebab aku hormat dia, Nep. Benda pertama dia cakap dengan aku masa aku kenal dia, dia tak suka cerita pasal benda lama. Itu sebab dia, Nep."
Eda terus menyeka air matanya. Aku tahu rasa sakit yang dia tengah rasa. Tiba-tiba timbul rasa menyesal bila aku ungkitkan pasal cerita lama dia.
"Bila aku sendiri belajar dari cerita lama aku, tapi dia pulak yang jadi diri aku yang dulu. Dia simpan semua benda. Dia pendam semua benda. Akhirnya, jadi macam sekarang."
Bahu Eda aku tepuk.
"Dia kata dia dah bagi diri dia peluang untuk faham aku, tapi aku? Tiba-tiba dia kata yang dia dah cuba. Aku sendiri tak tahu yang dia tengah bagi diri dia peluang. Habis aku punya peluang siapa nak bagi?"
"Eda.." Air mata Eda aku seka perlahan.
"Dia jadi pendendam, tapi mangsanya aku, Nep. Dia buat keputusan, tapi mangsanya aku. Apa pilihan yang aku ada?"
Eda tiba-tiba bangun. Rokok yang masih berbaki separuh dijentik jauh. Sebiji batu dicapai lalu dilontar. Perkara yang sama dibuat berulang kali. Tak ada yang melantun sehinggalah batu yang kelima dilontar.
Aku tersenyum. Eda hanya berdiri memandang cubaanya yang akhirnya berjaya.
"Orang kata, kita takkan tahu hasilnya sampai kita berhenti mencuba. Aku dah buat batu tu melantun. Tapi, macam mana pula dengan hati yang dah mati?"
Eda menghela nafas berat. Rokok yang keempat dibakar.
"Kau pernah cakap kan kau nak quit smoking?"
Giliran Eda tersenyum dengan air mata yang masih bersisa.
"Ya, aku nak quit. In fact, dia yang yang motivasikan aku untuk quit."
"Then, asal kau start balik? Non-stop pulak tu aku tengok."
"Bila seseorang datang dalam hidup kita, sama ada kita ubah dia, atau dia ubah kita. Aku dah berubah, tapi sebab dia juga, aku berubah semula."
Aku bangun lalu membersihkan seluar yang sedikit kotor. Eda aku ajak pulang.
"Nep,"
"Apa?"
"Aku dah buat silap. Dan aku takkan stop sampai aku dapat betulkan balik silap aku."
Sebiji batu lagi dicapai.
"Dah nak balik dah ni. Tak payahlah baling-baling lagi."
Eda berlari lalu berdiri beberapa meter jauh dari aku. Batu yang dipegang sedari tadi dilempar ke arah aku.
"Woih!!" Sempat aku menutup muka.
Eda tersenyum sambil berjalan ke arah aku. "Nampak tak bahayanya kalau orang tak tahu apa yang ada dalam fikiran kita, dalam hati kita?"
"Pecahlah kepala aku kalau kau betul-betul baling tadi!"
"Macam tu jugalah hati aku, Nep. Dah pecah. Sebab dia tak beritahu apa yang dia pendam."