"Kau tak penat ke layan dia?"
Aku menyoal Amir yang tekun mencedok saki baki mee yang masih ada dalam kuah kari dipenuhi taugeh.
"Kalau aku penat, dah lama aku berambus."
Pendek dan padat.
"Hm, make sense. Tapi, dia dah tak nak kau kan? Dia layan kau macam sampah kot."
Masih mencedok. Mee kari yang berharga RM13.50 betul-betul tak mahu dibazirkan. Tak kiralah masin, terlebih taugeh atau dihidang dalam sekecil-kecil mangkuk sekalipun, tetap akan dihabiskan. Itu Amir yang aku kenal.
Dua keping tisu ditarik keluar dari kotak lalu mulutnya dilap. Nescafe ais disedut beberapa kali sebelum telefon bimbitnya pula dicapai. Sikit pun dia tak pandang aku.
"Sebab aku tahu dia sayang aku lagi."
"Tapi dia dah banyak kali cakap dia dah takde apa-apa perasaan dekat kau kan?"
"Sebab aku tahu dia tengah emo, sebab tu dia cakap macam tu."
"Kau nak dia cakap berapa kali baru kau ambil serius? 44 kali?"
Giliran aku mencedok sesudu mee kari. Masin, jadi lepas suapan pertama aku berhenti sekejap dan biarkan rasa masin hilang sebelum diteruskan dengan suapan kedua. Amir masih menyedut nescafe ais.
"Cantik kan minah ni?"
Sekeping gambar yang dimuat naik di laman sosial Inztagrom berbekalkan nama akaun Putreey Chomel ditunjukkan kepada aku. Tertera gambar seorang gadis bertudung corak harimau bintang berwarna merah jambu, sambil menjinjit beg tangan berwarna biru yang dipadankan dengan kasut tumit tinggi yang juga berwarna biru. Mukanya dipalingkan ke kiri dengan caption "Live life to the fullest"
What the heck?
"Cantik kan?" Sekali lagi Amir menyoal.
"Dia tak pandang depan pun weh. Macam mana kau tahu cantik?"
"Entah. Aku rasa dia cantik."
"Rasa?" Aku tersenyum sinis. "Macam kau rasa si Min tu still sayang kau walaupun hakikatnya dia dah tak ingin dekat kau?"
Amir memandang aku.
"Apa masalah kau ni? Kau jealous aku dengan Min ke apa?"
"Wei, mangkuk. Mee kari masin pun kau telan tak kira berapa tan garam dia letak dalam tu, apatah lagi bila si Min tu terang-terang cakap dah tak berkenan dekat kau."
Masih memandang.
"Tak ada kena mengena."
"Memang tak ada kena mengena pun! Buat apa aku nak cakap benda yang ada kena mengena kalau semua yang aku cakap satu haram pun kau buat tak endah. Dasar daun keladi! Suruh orang nasihat, lepas tu orang dah nasihat tak nak dengar. Lepas tu meroyan dekat aku kenapa Min buat macam tu, macam ni. Dah, aku nak blah."
Amir aku tinggalkan terpinga-pinga.