Shieda menahan rasa. Kolam matanya yang berkaca-kaca, semakin basah. Apabila dia menggetap bibir, setitis air mata menitis ke pipi.
"Allah...."Hati mana yang tidak sakit. Jiwa mana yang tidak merana? Sudah acapkali Azman berbuat begini. Kerap kali juga, Shieda bertahan sekadar diam dan menggetap gigi. Setiap kali, dia hanya mampu berkeluh dan menyimpan segalanya di dalam hati.
"Kenapa abang buat begini? Sampainya hati...."
Ramai orang kata, kunci penting dalam hubungan cinta adalah percaya dan setia. Sebab itu, Shieda selalu percaya kepada Azman. Walaupun sudah banyak kali lelaki itu telat menjemputnya pulang dari pejabat, dia pilih mahu percaya suaminya memang terpaksa bekerja lebih masa.
Apabila Azman menghantar pesanan ringkas meminta dia pulang sendiri kerana ada hal kerja, dia tetap diam. Dia masih berpegang pada prinsip diri. Maka, dia tebalkan muka meminta rakan pejabat yang tinggal berselang taman supaya menumpangkan sehingga ke hujung jalan.
Tetapi, semakin hari ketenangan hatinya kian goyah. Berselang hari, sangsinya mula berakar. Lebih teruk, apabila ada teman mengkhabarkan terjumpa Azman di sebuah kedai pakaian di ibu kota, ragu di hati bercambah-cambah!
"Allah, beratnya dugaan-Mu kali ini. Pinjamkan aku secebis kekuatan, ya Tuhan."
* * *
"Shieda, hari ni abang kena kerja lebih masa. Awak boleh balik sendiri?"
"....""Tak perlu sediakan makan malam. Nanti abang makan di luar."
"...."
Tergesa-gesa, Azman menamatkan panggilan. Sebaik menyimpan telefon, seorang wanita cantik mendekatinya sambil tersenyum manis.
Tenang, Azman menegakkan tubuh lalu membalas senyuman si wanita. Kemudian, dia beriring dengan wanita itu ke deretan kain meter pelbagai warna dan corak.
Tidak jauh dari situ, seorang wanita lain tertegak dengan mata terbuntang. Dia memicingkan mata, berusaha mendapat gambaran jelas mengenai perlakuan sepasang manusia itu.
"Azman?"
* * *
YOU ARE READING
Sayang Shieda
Short StoryCerita ini disiarkan di majalah Usrati Isu 5, pada Oktober 2014