"Shieda, hari ni abang kena kerja lebih masa. Awak boleh balik sendiri?"
"...."
"Tak perlu sediakan makan malam. Nanti abang makan di luar."
"...."
Tergesa-gesa, Azman menamatkan panggilan. Sebaik menyimpan telefon, seorang wanita cantik mendekatinya sambil tersenyum manis.
Tenang, Azman menegakkan tubuh lalu membalas senyuman si wanita. Kemudian, dia beriring dengan wanita itu ke deretan kain meter pelbagai warna dan corak.
Tidak jauh dari situ, seorang wanita lain tertegak dengan mata terbuntang. Dia memicingkan mata, berusaha mendapat gambaran jelas mengenai perlakuan sepasang manusia itu.
"Azman?"* * *
Segala rasa pahit bermula di situ. Shieda tidak keruan apabila dikhabarkan cerita Azman dan perempuan cantik di kedai kain. Hatinya luluh, apabila kepercayaan yang diberi langsung ditidakkan si belahan jiwa.
Rakan-rakan yang selalu tidak selesa dengan sikapnya yang hanya diam dengan segala perlakuan Azman, mula mencurah perisa supaya dia lebih curiga.
"Aku dah cakap, jangan percaya sangat dengan orang lelaki. Aku dulu dah kena dengan Abang Mat. Menyesal tak sudah!"
Shieda hanya memandang kosong wajah tidak puas hati si sahabat. Beg tangan pemberian Azman dicapai lalu didakap erat-erat.
Tidak cukup dengan itu, seorang teman lain menghulur pula magnet kecewa, "Itulah, orang lelaki memang susah nak setia. Kalau kita, kena hentam teruk-teruk. Tapi, apabila melibatkan kaum Adam, semua salah berbalik kepada kita. Tak pandai jaga hati suami. Balik-balik, itu sahaja yang orang keliling cakap."
Bingung, Shieda menjauhkan beg tangan daripada pelukan. Corak geometri merah-hitam beg kulit itu dipandang sepi.
'Abang, apa yang patut saya buat sekarang? Adakah abang seperti yang mereka ceritakan?'
Tetapi, seorang temannya menyanggah keras, "Kita tak boleh buat spekulasi. Entah-entah, itu memang hal kerja."
"Bincang hal kerja di kedai kain? Pelik!"
Tidak berputus asa, si rakan yang suka berbaik sangka menyanggah lagi, "Siapa tahu, itu memang cara kerja syarikat Azman?"
Shieda semakin keliru. Dia hanya mengangguk dan menggeleng. Tidak tahu mahu terus positif atau percaya kepada cerita-cerita yang menggeruhkan hati.
Sudahnya, Shieda hanya mengempang air mata dan teresak-esak di pantri. Beg tangan tadi kembali dipeluk rapat-rapat.* * *
YOU ARE READING
Sayang Shieda
القصة القصيرةCerita ini disiarkan di majalah Usrati Isu 5, pada Oktober 2014