#3 : Surat Akim
Assalamualaikum wbt.
Hai, apa khabar saudari? Saya tahu awak mesti terkejut kan menerima surat ini dari saya. Sebelum awak merenyuk buang dan mentongsampah-kan surat ini, saya harap awak baca surat ini dari mula sampai habis.
Saya selalu memerhatikan awak. Ketekunan awak membuat kerja-kerja awak mengagumkan saya. Mungkin awak tak perasan, tapi saya selalu berada dekat dengan awak. Betul lah bagai dikata orang kadang-kadang jauh di mata namun dekat di hati dan kadang-kadang dekat dengan orangnya tapi tak disedari.
Saya tidak bermaksud untuk menakutkan awak. Saya hanya minta sedikit, sedikit ruang bagi saya untuk berkenalan dan memulakan persahabatan dengan awak. A friend in need is a friend indeed, itulah yang saya harapkan. Saya ikhlas.
Saya tahu kalau awak sudi berkawan dengan saya sekiranya awak memakai selendang biru esok. Saya tunggu kelibat awak. Awak tak perlu berkata apa-apa. Terima kasih
Yang Benar
Akim Alfian
SHA melipat surat tersebut. Seraya ingatannya berputar peristiwa 2 jam yang lalu. Hampir terkesima dia melihat jejaka bert-shirt Adidas biru itu menyelitkan nota berwarna kuning itu di bawah buku teks Human Development miliknya, di kafe HS tadi. Segera jejaka itu berlalu dengan kawan-kawannya. Dia mengenali salah seorang dari kawannya itu. Ridzwan dari kelas EAP. Ah, aku tak berminat langsung untuk berkenalan dengannya. Aku datang sini nak belajar. Nak penuhi hajat terakhir Han. Han nak Sha belajar rajin-rajin kan? Jadi pensyarah, macam abah. Dean selalu jadikan abah sebagai idolanya. Sha bertekad nak teruskan usaha Dean. Kalau Dean tak berkesempatan, biarlah Sha jadi pensyarah, gantikan tempat Dean.
Sha menatap jadual dihadapannya. Ah nasib baik! Esok tiada kelas atau kuliah yang perlu dihadirinya. Bermakna aku tak perlu bersua muka dengan Akim Alfian atau memakai selendang biru esok. Tak perlu! Sha menghempas badannya ke katil. Tangannya mencapai patung beruang pemberian Han dan memeluknya. Mata dipejamkan dan entah bila, Sha pun terlena.
“Sha, kamu takde kelas ke? Moh ikut aku jap.” “ Nak pergi mana Tini?” “ Alaa.. moh la. Temankan aku kejap. Pergi cucuk duit. Aku tak confident la bawak kereta sorang-sorang” Tini cuba memujuk Sha. Tini memang begitu. Walaupun sudah memiliki lesen kereta, dia masih tidak yakin untuk memandu seorang. Selalunya Tini akan mengajak beberapa rakannya untuk menemankannya ke mana-mana.
“Mehlah Sha, aku belanja kamu breakfast ye. Lepas tu kita keluar tengok wayang. Aku belanja. Aku nak pergi ambil Fadhil kat Gombak ni. Temankan aku ye.” Sungguh-sungguh Tini mengajak Sha. “Ok kalau kamu tak nak tengok wayang, kita pergi ambil Fadhil then aku hantar kamu balik, ok?” Sha menggaru kepalanya yang tidak gatal. Sebenarnya dia pun merasa agak bosan hanya menghabiskan masa di bilik sahaja, sementelah jadualnya agak kosong hari ini. “Oklah, aku ikut, bagi aku bersiap kejap ok? “
“Ok, jangan lama sangat.kesian Fadhil dah tunggu lama kat Gombak tu. Sayang kamu!” Tini pun meninggalkan Sha untuk memberi ruang bagi Sha bersiap. Sha bersiap ala kadar sahaja, mencapai jeans dan blaus dan juga tudung yang sudah siap digosok. Mengenakan bedak nipis, mascara dan sedikit glos bibir, Sha cukup dengan penampilan sederhananya itu. Sha mencapai tas tangannya dan melangkah keluar dari kamarnya.
“By the way, Fadhil kata dia bawak kawan.” “Ye ke? “ Balas Sha, acuh tak acuh. “ Aah, kata dia kawan dia tu budak UIA jugak. Actually, bukan kawan pun. Sepupu dia rasanya” “Perempuan ke lelaki?” “Entah, dia tak cakap pulak.” Satria NEO oren yang dipandu Tini melunsur di Jalan Gombak menuju ke rumah Fadhil di Taman Pinggiran Gombak. Fadhil merupakan teman lelaki Tini dan bekerja di UIA sebagai Pegawai Kewangan. Sudah dua tahun Fadhil dan Tini berkenalan dan bakal mengikat tali pertunangan, cuti semester nanti.
Sha mengelamun sepanjang perjalanan. Seketika, dia teringat surat semalam yang diterimanya dari Akim. Sha ketawa kecil sendiri, mengingatkan pesanan Akim supaya memakai selendang biru jka berminat menjadi kenalannya. memang Sha berselendang biru hari ini, kerana kocoh-kocoh hendak bersiap cepat menemani Tini. Kebetulan, hanya selendang biru itu sahaja yang tidak perlu digosok lagi. Tapi, Sha yakin, dia tak akan menemui Akim, kerana tidak berada di kawasan UIA.
“Haa., tu pun Fadhil dengan sepupu dia, mesti tunggu lama dah”