BAB 1

1K 34 11
                                    

"Dah melolong azan tu baru kau reti nak balik?"

"Bukannya pergi mana pun lepak kat tepi bus stop je."

"Eloklah kenapa tak tidur aje kat situ?"

"Apanya mak ni, Salim jumpa kawan je lah bukan buat apa pun."

"Bila aku cakap ada je nak menjawabnya. Engkau dah lupa hari ni hari apa ya?"

Salim mencampakkan baju dan seluarnya ke dalam mesin basuh dan cepat-cepat dia masuk ke bilik air. Air paip dibukanya semaksima yang mungkin dengan harapan dia tidak dapat mendengar leteran dari emaknya yang berusia separuh abad itu. Salim duduk bersila di bawah kepala paip dan membiarkan air mengalir di badannya. Warna air karat jelas kelihatan.

Sudah menjadi kebiasaan belia yang tinggal di kampung untuk melepak di tepi-tepi simpang jalan sambil menikmati pemandangan makwe-makwe kilang yang turun dari bas. Secara tak langsung dapat banci kenderaan yang keluar masuk kampung. Tak kan lah Salim mahu melawan arus dengan duduk di rumah sambil membaca novel setebal kamus dewan.

Lama juga Salim membiarkan air paip mengalir di badannya dan sambil itu juga dia cuba mengingatkan apa yang diperkatakan emaknya tadi. "Hari ni hari apa ya?". Soalnya sendirian. "Oh malam jumaat agaknya." Jawabnya sendiri. Sudah menjadi kebiasaan bagi keluarga Salim bila tiap-tiap kali Khamis malam Jumaat keluarganya akan membaca Yassin bersama-sama. Mungkin atas sebab itu jugalah emaknya berleter. Lagipun sebagai abang yang sulung dia perlulah menunjukkan tauladan yang baik kepada adiknya yang masih kecil.

Sambil menggosok-gosok badan Salim melihat di celah-celah atap zink bilik air yang bocor. Langit yang tadinya bewarna jingga telah bertukar menjadi gelap. Suasana kembali tenang tiada lagi bunyi leteran dari emaknya yang kedengaran cuma air paip yang mengalir di badannya. Perlahan Salim menutup paip air. Salim hairan ke mana menghilang suara emaknya, tadi bukan main bising mengalahkan bertih jagung.

" Emak oo mak". Laung Salim dari dalam bilik air dengan harapan emaknya akan menyahut laungannya itu. Senyap. Tiada balasan. Sekali lagi dia melaung memanggil emaknya namun masih lagi tiada jawapan. Kedengaran cuma bunyian unggas dan cengkerik bernyanyi riang di paya belakang rumah.

"Emak jangan main-mainlah Salim tahu mak ada tu". Rayu Salim mengharap emaknya cuba menguji keberaniannya.

"Janganlah main-main mak, malam jumaat ni."

Nah, dengan tiba-tiba baru dia teringat mengenai malam Jumaat. Bukan mengenai kesedapan tentang kewajipan suami isteri, bukan juga mengenai rancangan Forum Perdana tetapi tentang "hari pelepasan". Satu hari yang tidak mahu ditempuhi oleh penduduk kampung. Hari di mana bomoh Mudasir melepaskan khadam-khadam peliharaannya untuk tempoh satu malam bermula selepas azan maghrib hingga berakhirnya azan subuh keesokan paginya. Orang-orang kampung kata upacara ini merupakan salah satu perjanjian di antara bomoh Mudasir dengan jin-jin peliharaannya.

Orang kampung pun tak dapat melakukan apa-apa. Nak dihalau bomoh itu jugalah yang memberikan pertolongan kepada orang kampung. Segala macam penyakit bomoh itu sembuhkan dan tidak dikenakan apa-apa bayaran. Nak harapkan rawatan dari klinik kesihatan yang paling hampir pula 30 kilometer. Ada juga doktor dari bandar datang ke kampung tapi itu pun sebulan sekali. Jadi mahu atau tidak memang bomoh Mudasir sajalah yang menjadi tempat berubat penduduk kampung.

"Adik oooo.. adik tolong ambikkan tuala abang!"

Laung Salim kini memanggil adiknya pula. Tangannya mula menutupi kontolnya yang kecut menahan kesejukan kerana berada terlalu lama di dalam bilik air.

"Cepatlah jangan main-main, abang terajang kau nanti. Sejuk dah ni". Salim cuba menggertak dengan harapan adiknya akan menyahut panggilannya. Lama menanti Salim mulai risau kenapa sahutannya tidak berjawab. Hatinya berbisik " hari ni hari pelepasan ke?! Sudah!"

PROJEK MENENTANG JEMBALANGWhere stories live. Discover now