Suatu petang aku bergerak ke Stesen Bas Titiwangsa untuk hantar adik yang nak pulang ke kampung. Tiket bertolaknya jam 7.30 malam selepas waktu berbuka puasa.Sampai disana jam 6.50 p.m, agak awal dari waktu bas bertolak. Tak mengapalah biar sampai awal daripada lambat, nanti kelam kabut pula.
Tiket dan bag semua sudah ada. Tiada barang yang tertinggal. Cuma yang tiada ialah makanan nak berbuka nanti.
"Tak nak pergi makan dulu kat kedai?" Aku mempelawa sambil menunjuk kearah kedai makan berdekatan.
"Takpelah nanti takut terkejar-kejar pulak." kata adik.
Lalu dia pergi membeli kuih di tepi-tepi jalan. Memang biasanya ramai peniaga kecil-kecilan yang berniaga di kaki jalan stesen bas pekeliling ni.
Kemudian kami duduk di pondok bas sambil menunggu waktu berbuka. Ada lagi 20 minit sebelum azan maghrib.
Tiba-tiba seorang lelaki datang duduk disebelah dan menyapa. Pakaiannya kelihatan agak lusuh, mukanya kusam dan matanya agak kemerahan seperti orang tak cukup tidur.
"Bang, boleh tolong saya tak? Biar saya cerita dulu lepas tu kalau abang tak nak tolong pun takpe lah." lelaki betopi hitam itu cuba membuka kata.
"Tolong apa?" spontan aku membalas.
"Macam ni bang, saya ni dari saya dengan kawan saya sorang lagi nak balik Jengka ni, balik nak puasa dan raya kat sana. Dah lama tak balik kampung. Keje kat bengkel. Kitorang tak cukup duit nak beli tiket. Dah cuba minta tolong kat orang tapi tak ramai nak tolong..." dia cuba menjelaskan keadaan dirinya.
Dalam masa yang sama aku cuba intai-intai mana kawan yang dimaksudkan. Tak kelihatan pula. Kesian pula. Aku tak tahu berapa gaji pekerja bengkel ni tapi yelah, kesian bila orang dah lama tak balik kampung.
"Dah 5 hari kitorang tidur kat sini bang. Cari duit pun dengan jaga parking malam-malam kat sini. Dapatlah RM5-6, lepas la nak makan minum je. Ni je yang tinggal." sambil menunjukkan wang kertas RM15 ditangannya.
"Tiket ke Jengka berapa ringgit?" aku bertanya.
"RM18 bang sorang."
Aku terus teringat yang dalam wallet ada RM11 je. Tadi memang keluar duit tapi dah belanja beli barang dapur dengan housemate sebelum datang sini.
Aku pun keluarkan sekeping RM10 dari wallet. Tinggallah sekeping kertas berwarna biru itu sunyi disitu. Kemudian spontan pandang adik yang dari tadi curi dengar.
"Ada RM10? Pinjam, nanti Along bayar balik."
Dia lalu menghulurkan kepingan kertas biru 10 keping. Sekarang cukuplah RM20. Tanpa fikir panjang dan tanpa sempat 'sangka buruk' apa-apa, aku terus saja bagi.
"Nah, ni je yang saya ada. Pergilah beli tiket tu."
"Banyak ni bang. Ambik la RM10, saya ambik RM10 jadilah." dia cuba menghulur kembali.
"Takpelah. Ambik je buat beli tiket. Tak payah nak mintak kat orang lain dah nanti."
Akhirnya dia ambil dan tiba-tiba kawannya datang mendekat. Kelihatannya sedang menggalas beg yang agak sarat isinya.
"Terima kasih bang. Banyak dah ni tinggal RM1 je lagi. Nanti saya boleh dapat, minta tolong sorang dua lagi." katanya sebelum beredar.
Entah kenapa kata-katanya itu menyentak dada. Terus aku teringat sekeping kertas biru yang masih ada dalam dompetku tadi. Itulah yang masih berbaki.
"Kejap, nah ada lagi RM1. Sekarang dah boleh beli tiket 2 orang. Selamat balik kampung."
Terpancar raut wajah gembira dari mereka berdua. Entah apa yang mereka fikirkan agaknya waktu itu, aku pun tak tahu. Mereka lalu pergi.
Tinggal beberapa minit sebelum berbuka, tiba-tiba seorang lelaki menyapa.
"Bang, abang ada bagi duit ke kat lelaki tadi? Dia kata nak balik kampung?"
"Ha'ah." jawabku ringkas.
"Tadi dia mintak juga kat saya dengan orang ramai. Orang cakap diorang tu tipu je bang."
Aku terdiam. Memang aku dari awal langsung tak terfikir dia mungkin menipu atau apa sahaja yang buruk-buruk.
"Takpelah bang." aku membalas dengan senyuman ringkas.
Mungkin aku ditipu, mungkin betul lelaki tadi jujur? Macam-macam persoalan bermain di hati. Tapi itu semua langsung tak penting bagiku.
Sebab dari awal lagi aku memang dah niat nak bersedekah. Apatah lagi dalam bulan Ramadhan ni, besar pahalanya.
Lagi besar pahalanya sebab niat nak lepaskan orang Islam dari kesusahan dunia. Moga-moga Allah tolong aku pula masa aku susah nanti. Sabda Nabi terlintas difikiran sekaligus memujuk hati untuk terus positif.
Kalaupun aku ditipu, aku dapat pahala sedekah dan dia pula dosa menipu. Sebenarnya aku tak rugi apapun walaupun pulang dengan dompet kosong.
Monologku terhenti dek laungan azan Maghrib. Kami berbuka dengan gembira dan bersyukur, Allah hadirkan peluang buat pahala di waktu-waktu mustajab berdoa. Waktu berbuka puasa.
YOU ARE READING
Warna-Warni Kehidupan
Historia CortaAda banyak situasi dan pengalaman yang kita hadapi dalam hidup. Setiap satunya punya isi tersemnunyi bagi yang mahu merenung dan mengambil pelajaran. Warna-warni kehidupan catatan hidup seorang insan.