BAB 1 : SEGALANYA BERMULA

166 0 1
                                    

Aku keluar daripada ruang pertapaanku setiap hari, sebaik sahaja balik dari luar rumah. Bilik tidur saiz sesuai untuk orang bujang sepertiku. Terletak bersebelahan dengan dapur, dalam rumah teres dua tingkat, pinggiran bandar Shah Alam. Bilik ini menjadi kesayanganku, mudah keluar masuk ke dapur, terutama jikalau kelaparan berjaga malam.

Di dapur rumah sewaan kami yang sederhana ini, aku melihat 'ratu hatiku' menyiapkan sarapan untuk kami sekeluarga.

"Assalamualaikum Ummi," aku menyapa, sambil tersenyum.

"Waalaikumusalam, mari duduk Along. Kita sarapan bersama. Sebelum itu, tolong panggilkan Abi dan adik-adik," pinta puan Lily.

"Baik Ummi."

Sepuluh minit berselang, kelihatan dua anak comel lelaki dan perempuan, memegang kuat tanganku di kiri kanan. Sempat lagi bergurau sesama sendiri, sambil menuruni tangga. Risau takut jatuh, segera aku mendukung adik perempuanku. Adik lelaki terus mengusik kaki kembarnya yang terjuntai.

"Acik, usah tarik kaki Acu ni, jatuh nanti. Acik good boy," aku melarang lembut.

Sayangku kepada dua adik kembarku, sama sahaja ketika adik keduaku seusia mereka. Umur mereka baru sahaja mencapai lima tahun, sudah merengek hendak ke sekolah. Diikuti dari belakang, gadis sunti tiga belas tahun, berlenggang-lingguk menuruni tangga. Abiku Khair Zaman, telah bersedia menunggu, di kerusi kepala meja makan.

"Amboi Angah! Ini hendak ke sekolah atau cari pasangan. Wangi sungguh," tegurku dengan nada menyindir.

"Abi..., Along asyik hendak menyindir Angah je. Semuanya Angah buat, tak betul. Acik dan Acu sahajalah yang baik, bijak."

"Angah, tidak baik merajuk macam itu, Along itu sayang semua adik-adiknya. Betul juga kata Along itu, Angah berwangian ini hendak ke mana?"

"Hari ini ada lawatan ke Pusat Sains Negara, Abi."

"Betullah, apa Along cakap, Angah ini kecil lagi dah mengedik."

"Sudah tu, mari semua duduk makan. Along baca doa."

"Acik hendak baca Ummi."

"Acik pandai baca ke?"

"Pandai Abi, Acik dah belajar di sekolah, kan Acu," minta sokongan. Acu hanya mengangguk.

"Semua tadah tangan," arah Acik, apabila melihat semua ahli keluarganya sudah duduk, bersedia untuk sarapan bersana.

Abi dan Ummi tersenyum sesama sendiri. Aku memeluk manja Acik, sebelum menadah tangan. Angah masih mencerut muka. Acu hanya tersengih, turut menadah tangan. Begitulah setiap pagi di rumah keluargaku.

Gurauan kemesraan, menghiasi suasana ruang makan. Aku begitu gembira sekali, tambahan pula hari ini keputusan Sijil Pelajaran Malaysia diumumkan. Sebelum ke sekolah untuk mengambilnya, aku menyalam Ummi dan Abi seperti biasa.

"Tahniah! Khair Zawawi. Awak antara pelajar cemerlang sekolah ini," ucap guru kelas 5 Sains 1 sambil menyerahkan slip keputusan.

Selepas menerima ucapan tahniah daripada kawan-kawanku. Aku segera pulang, untuk menyampaikan berita baik ini kepada ummi dan keluargaku. Sebaik sahaja sampai di rumah, aku segera mendapatkan ummiku di dapur. Berita gembira ini, biar ummi yang tahu dahulu.

"Assalamualaikum Ummi, lihat ni," menunjukkan slip keputusan sambil memegang mesra bahu puan Lily.

Setelah melihat keputusan itu, puan Lily tersenyum. Bangga dengan kejayaan anak sulung, untuk menjadi contoh anak-anak lain. Keputusan aku perolehi, membolehkan aku memohon memasuki mana-mana pusat pengajian tinggi. Akhirnya aku berjaya diterima, memasuki Universiti Malaysia Kelantan. Bermulalah kehidupanku sebagai seorang siswa.

RINDU DENDAM CINTAWhere stories live. Discover now