Jam menunjukkan pukul 10 malam. Mesyuarat yang dihadiri Dayana, Dato' Arifin dan beberapa orang lain yang bertempat di sebuah hotel baru sahaja selesai. Dato' Arifin ada mempelawa Dayana untuk sertai mereka makan malam tetapi ditolak baik oleh Dayana. Bimbang ibunya risau, Dayana mahu pulang ke rumah dengan segera.
Dayana menghidupkan enjin kereta jenis Honda City miliknya. Keretanya meluncur laju melalui jalan besar seterusnya memasuki sebuah simpang sebatang jalan kecil yang merupakan laluan menuju ke rumahnya.
Jalan raya kelihatan lengang dan sunyi. Tidak kelihatan mana-mana kenderaan melalui jalan tersebut. Dayana mula merasakan bosan. Bagi menghilangkan rasa tersebut, dia menghidupkan radio. Siaran Era Fm menjadi pilihan. Dayana melayani lagu yang dimainkan sambil menyanyi kecil. Sedikit mengubati kebosanan dan kesepiannya.
Dayana sempat mengerling jam di dashboard. Waktu menunjukkan hampir pukul 10.30 malam. Suasana jalan raya yang sunyi itu membuatkan fikiran dia diserbu dengan bayangan yang menakutkan. Lantas volume radio ditingkatkan. Berharap perasaan takut yang mula menguasai diri hilang.
Dayana memandu dengan berhati-hati apabila melalui jalan yang gelap. Kereta yang dipandu pada kelajuan 70km/sejam. Dalam hatinya juga berharap akan ada mana-mana kenderaan melalui jalan itu.
Selang beberapa minit pemanduan, tidak jauh dari lokasi kereta Dayana berada, kelihatan seseorang sedang berdiri di bahu jalan. Dayana cuba memerhati dengan lebih jelas.
Seorang wanita lengkap memakai baju kurung berwarna putih sedang berdiri dengan wajahnya tidak berapa nampak disebabkan rambut panjangnya menutupi.
Dayana berfikir sendirian. Masa-masa begini tidak ada bas yang akan lalu. Tambahan pula dengan jalan raya yang sepi dan gelap, risau juga sekiranya pekara yang tidak diingini menimpa dirinya.
Tanpa menunggu lama, Dayana memasang signal kiri dan perlahan-lahan keretanya diberhentikan di hadapan wanita itu. Wanita itu merenung Dayana. Dayana turunkan cermin tingkap.
"Kakak nak ke mana ni?" soal Dayana.
"Saya nak pulang ke rumah. Dari tadi tunggu bas, tapi tak sampai-sampai pula." balas wanita itu.
"Rumah kakak di mana? Mari saya hantarkan." pelawa Dayana.
"Rumah kakak tak jauh. Cuma terus saja ikut jalan ini. Ada lah lebih kurang dalam 5km" beritahu wanita itu.
Tanpa bertanya lagi, Dayana mempelawa wanita itu masuk ke keretanya. Wanita itu mengambil tempat duduk belakang.
"Ehh, dah macam driver teksi pula aku," gumam Dayana dalam hati.
Sejurus kereta mula bergerak, bau harum mula menerjah hidung. Dayana seakan terkesima dengan bau wangi tersebut. Dia merasakan mungkin itu bau wangian yang dipakai wanita itu.
"Kakak tadi dari mana?" Dayana memulakan perbualan.
"Kakak baru pulang dari rumah anak tadi. Saja pergi melawat."
"Kakak seorang saja?"
"Iya," ringkas wanita itu menjawab.
Dayana melihat wanita itu dengan menggunakan cermin belakangnya. Kelihatan wanita itu merenung tajam ke arah Dayana lalu perlahan-lahan bibirnya mengukir senyuman. Rasa tidak sedap hati mula terbit.
"Masuk simpang depan itu ya," suruh wanita itu.
Dayana akur dengan arahan wanita itu. Sebaik saja tiba di simpang itu, Dayana memutarkan stereng ke arah kiri. Kereta membelok dan bergerak beberapa meter, sebelum disuruh berhenti oleh wanita itu.
"Eh, sini ke, kakak?" tanya Dayana kehairanan. Tidak kelihatan pun sebuah rumah di situ.Wanita itu tidak menjawab.
Dayana menoleh ke belakang, wanita itu sudah hilang dari tempat duduk!
Jantung Dayana mula berdegup kencang. Tiba-tiba bulu romanya meremang. Dia merasakan sesuatu yang tak disangka.
Mata Dayana mula memandang di kawasan sekitar tersebut. Ianya bukan kawasan rumah yang dijangkakan olehnya, tetiba sebuah tapak perkuburan.
Dayana mula beristighfar. Cuba mengembalikan semula kekuatan dan semangat yang terasa terbang melayang. Serentak itu, kedengaran suara mengilai yang amat menakutkan. Tanpa membuang masa, Dayana cepat-cepat meninggalkan kawasan perkuburan tersebut.
***********************
"Kan saya dah cakap semalam. Suruh Dayana pergi berteman, tapi degil, keras kepala," kata Afif selepas dia dan rakannya lain mendengar kejadian yang dialami Dayana pada malam semalam. Dayana membuka cerita ini kepada stafnya ketika mereka berkumpul di kaunter resort.
"Cik Dayana," Dayana membetulkan panggilannya kepada Afif. Afif tidak memberi sebarang respon.
"Nasib baiklah Cik Dayana tidak terjadi apa-apa. Menakutkan betullah," kata Nadia pula. Dayana hanya tersenyum kesal.
"Lain kali kalau nak pergi meeting pun, pastikan jangan balik lewat, melainkan kalau berteman," nasihat Afif. Dia benar-benar risau dengan Dayana.
"Baiklah, Afif. Pandai lah saya jaga diri nanti. Thanks lah sebab ambik berat," balas Dayana tidak berapa gemar dengan nasihat Afif tadi.
"Bagus!" kata Afif sambil tersengih.
"Ehh, sudahlah. Saya nak masuk ofis ni. Ada kerja sikit. Apa-apa cari saya dekat sana," kata Dayana. Serentak itu, Afif tiba-tiba membuat isyarat salute menandakan dia mengerti.
"Tak payah nak tabik sangatlah, Afif," ujar Alif melihat reaksi Afif tadi. Nadia hanya ketawa kecil.
************************
Fariz sedang sibuk mengangkat cadar yang lama mahu ditukarkan yang baru menuju ke stor barang. Dia baru selesai mengemas sebuah bilik yang baru saja ditinggalkan tetamu. Selepas dia meletakkan cadar itu di stor sebelum dicuci oleh pekerja lain, dia mahu menuju ke tandas.
Dalam perjalanan menuju ke tandas, dia terlihat Rohaizat sedang berjalan menuju ke suatu tempat. Fariz mula berasa tidak sedap hati. Tanpa berfikir panjang, dia mengekori gerak gerinya.
"Eh, dia nak pergi hutan itu buat apa?" gumam Fariz sendirian. Dia mengekori perlahan-lahan.
Fariz sejak dari dulu merasakan ada sesuatu pada Rohaizat. Lelaki itu sejak bekerja di resort ini, orangnya amat misteri. Rohaizat jarang bercakap dengan orang lain. Dia selalu bersendirian melakukan kerja. Jarang sekali melihat dia berbual-bual dengan staff yang lain. Cuma ada seketika dia bercakap dengan Dayana saja, itupun mungkin hanya mendengar arahan Dayana.
Rohaizat sudah pun masuk ke pinggir hutan melalui celah-celah semak yang sudah dijadikan lorong bagi memudahkan orang melaluinya. Sampai di satu kawasan yang sedikit lapang, kelihatan Rohaizat sedang mengaut-ngaut sesuatu.
Fariz membuntangkan mata melihat perlakuan Rohaizat. Dia menyorok di sebalik pokok-pokok di situ.
"Alaaa.. Bakar sampah rupanya" desis hati Fariz selepas melihat apa yang dilakukan Rohaizat.
"Buat orang suspen saja dia ini," Fariz sedikit lega lalu meninggalkan kawasan itu. Sedikit sesal kerana sibuk-sibuk mengekori Rohaizat tadi.
YOU ARE READING
Bisikan Dari Neraka
Mystery / Thriller"Apabila Dendam Menguasai Hati, Darah Menjadi Buruan." Afif bekerja di sebuah resort berhampiran pantai yang terkenal di Melaka. Pekerjaannya tidak seindah disangka. Pembunuhan misteri melibatkan entiti berpakaian hitam dan bertopeng yang sering ber...