Di markas Cyberaya MATA, jauh di bawah permukaan bumi, kelihatan tiga orang sedang membincangkan tentang sesuatu. Setiap mereka berpangkat tinggi, dan setiap mereka juga mempunyai gelaran tertentu. Sinaran lampu kecil di siling menjadi satu-satunya sumber cahaya. Kini, mereka sedang membuat keputusan berkenaan maklumat yang telah mereka dapati.
"Ini di luar bidang kuasa kita. Kita tidak boleh bertindak terburu-buru," General Rama mengurut dagunya, matanya tidak berganjak. Beliau merupakan ketua bahagian penyiasatan dan juga Teras Neuro.
"Saya akui, kita tidak pernah berhadapan situasi seperti ini. Tapi, ini mungkin peluang kita," Doktor Tan, lelaki dalam kot makmal, memberi pendapat. Beliau ialah kunci utama seksyen Tekno. Wajahnya terselindung di bawah pencahayaan yang malap.
"Saya setuju. Kita tidak boleh membiarkan sahaja peluang ini pergi," tambah Ketua Inviso, Nora. Wajahnya juga tidak kelihatan. Bukan kerana pencahayaan, tetapi topeng di mukanya. "Sebagai seorang Neuro, bukankah patut kamu lebih memberi perhatian terhadap perkara ini?"
"MATA masih lagi dalam fasa pemulihan. Kita tidak boleh mengambil sebarang risiko," jawab General Rama perlahan.
Suasana menjadi senyap buat seketika. Entah mengapa, meja elektronik di antara mereka bertiga memancarkan satu hologram. Imej seorang budak, hanya dua belas tahun, terapung tanpa sokongan di hadapan mereka.
"Bagaimana dengan dia? Kejayaannya sebelum ini telah membuktikan kebolehannya sebagai seorang ejen." Nora melihat lelaki bermisai kerinting itu ke dalam mata.
"Ejen Ali..." sekali lagi, General Rama mengurut dagunya. Beliau tampaknya sukar membuat keputusan. "Mungkin,"
"Dengan bantuan, ia akan berjaya," Doktor Tan menyambung perbualan.
Mereka bertiga berdiam buat kali kedua.
General Rama akhirnya memecahkan kesepian itu. "Memandangkan persetujuan telah dicapai, MATA akan melantik Ejen Ali untuk menyiasat fenomena ini. Dia akan dihantar ke Pulau Rintis bersama ejen tambahan bagi menjayakan misi." Beliau merenung imej yang semakin menghilang itu.
![](https://img.wattpad.com/cover/84529477-288-k912704.jpg)
YOU ARE READING
Ejen I.R.I.S.
Fiksi PenggemarAli, seorang budak lelaki dua belas tahun, ialah seorang pelajar di SRT Cyberaya 1. Di luar, dia dikenali ramai sebagai anak kepada salah seorang tiga peneraju Cyberaya. Dalam gelap pula, dia dikenali sebagai Ejen Ali, ejen MATA. Setiap minggu, dia...