"Hello, kamu yang duduk di sana... ya kamu..." tudingan jari Cikgu Kamarul betul-betul menghala ke arah Naim. Selajur menyedari dirinya menjadi perhatian semua pelajar kelas 5A, dia berdiri sebagai tindak balas positif dari sapaan Cikgu yang merenungnya dengan mata helang. Guru berusia separuh abad itu memandangnya tajam. Naim seolah-olah buntu, seperti dia baru bangun dari lena yang panjang. Tergaru-garu dia ketandusan idea untuk berbicara.
"Hello... kamu Naim, berada di mana sekarang? Apakah kamu merasakan subjek yang saya ajar ini, membosankan?" Soal cikgu Kamarul lalu mendepakan kedua-dua lengannya mengharapkan perhatian pelajar tidak mengular ke dunia lain.
"Maaf cikgu, saya terleka tadi..." Naim yang merasa bersalah kerana tertangkap menghayal sewaktu pengajaran Cikgu Kamarul, mula menjana akal mencari alasan.
"Saya memikirkan latihan memanah petang ini..." dia tertunduk sesudah menyatakan alasan yang dirasakan logik.
Suasana kelas 5A menjadi sepi serta merta. Cikgu Kamarul yang terkenal garang itu, memangang lurus ke arah Naim tanpa reaksi yang mampu dibaca oleh pelajarnya yang lain."Saya tidak akan mampu melarang kamu dari berfikir tentang aktiviti kesukaan kamu. Kerana saya memahami, setiap insan memiliki minat dan kesukaan sendiri. Malah, saya juga sangat meminati sukan memanah. Tapi, bila kita melakukan sesuatu tanpa mempedulikan perkara yang sewajarnya diutamakan. Itu satu kesilapan besar, Naim!" Kata-kata Cikgu Kamarul semakin lunak dipendengaran. Naim mengangkat wajah yang ditundukkan sejak tadi, lalu membalas pandangan mata cikgu yang masih berdiri di depan kelasnya itu.
Terasa di hati Naim, lelaki yang bernama Cikgu Kamarul dan digelar sebagai Mr.Carl itu sebenarnya menegur dalam lembut bahasa lidahnya. Marahnya bertapis halus, tidak langsung menerbitkan rasa malu oleh empunya diri yang berulah. Suara nasihatnya tegas, berhias kata-kata semangat. Itulah sebenarnya yang menghukum Naim. Rasa bersalah terhadap guru yang cukup menjaga air mukanya. Rasa bersalah, kerana tidak mempedulikan tunjuk ajar Cikgu Kamarul.
"Maafkan saya cikgu, saya berazam... tidak akan mengabaikan penerangan cikgu lagi... saya akan tumpukan perhatian semasa cikgu mengajar, itu janji saya..." suaranya kedengaran penuh penyesalan."Tak usah berjanji kepada saya... tapi berjanjilah kepada diri sendiri. Yang nak SPM tu kamu, bukan saya..." Cikgu Kamarul mengemaskan buku sastera yang digunakan sebagai rujukan, lantas meninggalkan kelas 5A.
"Ingat... fokus pada sesuatu, maksudnya perkara lain dikosongkan dari minda... bukan dihujung garisan waktu baru nak fokus..." Itu pesanan terakhir sebelum cikgu itu meninggalkan Naim di lapang sasar.
Garisan waktu bagaikan sampai ke penamatnya apabila Naim terpilih mewakili negeri dalam acara kesukaannya. Anak panah dan busur kejap dalam genggaman. Sedetik lagi anak panah itu akan membelah angin, bidikan pada sasaran 90 meter di depannya bakal menentukan. Layakkah dia menyandang juara. Saat anak panah dilepaskan, target face berwarna kuning, merah, biru, hitam dan putih betul-betul difokuskan.
Zappp....berdesup anak panah yang runcing hujungnya melekat pada target butt yang diperbuat dari jerami. Sasarannya tepat dihujung garisan waktu. Titik tengah kuning 'inner circle 'bull eye' di situ bidikanya tepat. Hakim memanah selajur merekodkan catatan terbaik yang pernah dilakukan untuk 10 tahun kebelakang.
"Tahniah Mr. Carl... student you memang bagus..." Cikgu Kamarul tersenyum menerima ucapan tahniah dari hakim memanah kebangsaan. Sekilas dia memandang Naim, seulas senyuman dihadiahkan.
YOU ARE READING
Garisan Waktu
Randomusaha tidak sia-sia andai api semangat juang terus membara tanpa padam walau sedetik